RAKYAT MAHU AT TAKIRI SERAH JAWATAN.BUKAN SERAH GAJI


Ibarat kata, daripada 32 juta rakyat Malaysia yang ada, 35 juta tidak setuju dengan kompaun RM1000 yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia semalam terhadap Khairuddin Attakiri atas kesalahannya tidak menjalani kuarantin diri selepas pulang dari luar negara.
Itulah gambaran bagaimana negara bagai bergegar sejak petang menolak hukuman kompaun yang dikenakan KKM terhadap Attakiri itu.
Suara desakan rakyat yang mahukan KKM mengenakan hukuman lebih berat boleh didengar di mana-mana di seluruh negara, khususnya di alam maya.
Suara yang cuba membela dan mempertahankan Attakiri pun jadi terdiam dan senyap sunyi dibuatnya.
Sebagai menteri yang sepatutnya menjadi contoh teladan kepada rakyat, didenda RM1000 kerana tidak menjalani kuarantin diri sebaik kembali dari luar negara amatlah tidak patut berbanding pakcik dan makcik tua yang dikenakan denda RM12,000 serta RM8,000.
Lantaran itu, semua orang mahukan Attakiri diberikan hukuman lebih berat, apatah lagi beliau telah menghadiri sekurang-kurangnya 12 program sepanjang tempohnya engkar kuarantin itu.
Lebih mendukacitakan, mereka sedar denda itu bukan saja tidak adil berbanding apa yang diterima rakyat biasa, malah seperti menunjukkan ada campurtangan pihak lain untuk menyelamatkan Attakiri.
Memandangkan selama ini Attakiri mengelak daripada memberi sebarang ulasan, tiba-tiba KKM memaklumkan denda itu sudah pun dibayar pada 7 Ogos lalu.
Tidakkah ini pelik namanya kerana pendedahan tentang Attakiri tidak menjalani kuarantin baru didedahkan pada 18 Ogos dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah pada 19 Ogos pula mengatakan akan menyiasatnya dengan teliti.
Tiba-tiba diumumkan denda sudah dibayar pada 7 Ogos lalu?
Tidakkah ini pelik dan ajaib namanya, melainkan mungkin ada campurtangan pihak lain?
Begitu pun, meski masih tidak logik juga bunyinya, Dr. Noor Hisham menjelaskan, denda RM1000 itu hanya kerana kesalahan melanggar perintah kuarantin dan pihak polis masih lagi menyiasat Attakiri atas tindakannya tidak mematuhi arahan kerajaan.
Lagi sekali, bagaimana denda itu sudah dikenakan pada 7 Ogos, walhal Dr. Noor Hisham sendiri berkata sedang menyiasatnya pada 19 Ogos?
Apa pun, dengan siasatan polis masih berjalan, apa yang rakyat harapkan ialah Attakiri mesti didenda lebih daripada RM12,000 atau dipenjara sekali atas kesalahannya itu.
Kalau rakyat biasa boleh didenda RM12,000 dan RM8,000, sebagai pemimpin yang berjawatan menteri, sudah tentu beliau patut dihukum lebih berat lagi?
Tambah pula, Attakiri sendiri mengakui kesalahannya adalah serius dengan sedia menyerahkan empat bulan gajinya kepada Tabung Covid-19 KM berikutan denda RM1000 yang dikenakan terhadapnya.
Bukankah dengan sedia berbuat demikian itu memperlihatkan Attakiri tak kisah kehilangan pendapatan selama empat bulan, asalkan kedudukan menterinya terus selamat?
Atas apa pertimbangan sekali pun, Attakiri wajib diheret ke mahkamah untuk diadili dan dijatuhkan hukuman atas kesalahan yang dilakukannya.
Sudahlah tidak menjalani kuarantin diri, hadir pula dalam sekurang-kurangnya 12 program ketika ingkar perintah kerajaan, mahu tidak mahu, dilakukan pula seorang menteri, ia adalah kesalahan berat dan serius yang harus menjadi pengajaran kepada seluruh rakyat.
Hukuman mesti dilaksanakan dengan adil tanpa mengira terhadap menteri atau rakyat biasa.
Dalam hal ini, sementara siasatan polis dijalankan untuk kemudiannya dibawa ke mahkamah, menyerahkan empat bulan gaji bukanlah sesuatu yang memadai sebenarnya buat Attakiri.
Yang paling afdal ialah beliau harus menyerahkan surat perletakan jawatan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadapnya.
Attakiri tidak wajar lagi berada sebagai dalam kabinet dan kita pun tidak mahu lagi beliau menjadi menteri kepada kita semua. (Shahbudindotcom 23/08/2020)