Kisah kuarantin Khairuddin: Beritahulah kebenaran, tak perlu dolak-dalik


Kenyataan Media Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang pada hari Ahad 23 Ogos 2020:
Masanya telah tiba untuk kerajaan Perikatan Nasional memberitahu semua rakyat Malaysia keseluruhan cerita sebenar berkaitan dengan skandal ingkar kuarantin Khairuddin — tidak perlu lagi sebarang penyorokkan fakta, cerita dibuat-buat, atau apa-apa lagi cerita yang bukan-bukan.
Kerajaan boleh bermula dengan menyatakan:
– nama semua ahli rombongan yang bersama dengan Khairuddin ke Turki di antara 3 ke 7 Julai dan sama ada mereka menyertai rombongan ini di atas kapasiti peribadi atau rasmi;
– sama ada Perdana Menteri telah pun memberikan kelulusan untuk lawatan ke Turki ini, mengapa kelulusan diberikan, dan tujuan kelulusan untuk lawatan ini diberikan;
– aturcara penuh lawatan ini — kedua-dua aturcara rasmi dan peribadi — untuk semua ahli rombongan daripada 3 ke 7 Julai;
– sama ada semua ahli rombongan ini telah menjalani ujian saringan khas Covid-19 sejurus selepas mereka pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan nyatakan keputusan ujian saringan ini;
– siapa yang enggan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari dan dipakaikan gelang tangan merah jambu;
– sama ada perkara di mana terdapat mereka yang enggan untuk menjalani kuarantin dan dipakaikan gelang tangan merah jambu ini terjadi akibat kedegilan Khairuddin ataupun kecuaian pegawai KKM;
– tindakan yang diambil, sama ada terhadap kedegilan Khairuddin ataupun kecuaian pegawai KKM yang telah membawa kepada pelanggaran SOP oleh Khairuddin dan ahli rombongan beliau di antara 7 Julai sehingga 21 Julai;
– aturcara aktiviti Khairuddin dan semua ahli rombongan beliau di antara 7 sehingga 21 Julai (tempoh kuarantin) dan di antara 21 Julai sehingga 18 Ogos (tarikh perkara ini dibangkitkan di Parlimen oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok);
– bilakah keputusan diambil oleh Kementerian Kesihatan untuk mengeluarkan kompaun RM1,000 yang bertarikh 7 Ogos kepada Khairuddin;
– tarikh Khairuddin membayar kompaun RM1,000 ini;
– mengapa Khairuddin dan ahli rombongan beliau yang telah mengingkari SOP Covid-19 tidak didakwa di mahkamah;
– mengapa pihak Kementerian Kesihatan sehingga semalam, masih berpura-pura sedang menyiasat kes ini sedangkan kini pihak Kementerian mendakwa yang kes ini telah pun selesai;
– mengapakah Khairuddin tidak mengaku mengenai pelanggaran perintah kuarantin beliau semasa perkara ini mula dibangkitkan di Parlimen pada 18 Ogos, tetapi telah cuba untuk menyiratkan yang pelanggaran SOP ini telah mendapat kebenaran Perdana Menteri;
– apakah tindakan yang telah diambil oleh Kementerian Kesihatan terhadap setiap seorang ahli-ahli rombongan yang bersama Khairuddin yang telah melanggar SOP kuarantin 14 hari; dan
– siapakah yang telah mencelakan reputasi dan maruah negara dengan mengatakan yang Turki adalah sebuah “negara zon hijau” untuk pandemik Covid-19 sedangkan negara tersebut merupakan salah satu daripada pusat penularan utama. 
Rakyat Malaysia berhak untuk mendapatkan kebenaran daripada kerajaan. 
Apa yang mengejutkan selepas kerajaan pintu belakang ditubuhkan selepas Langkah Sheraton pada Februari lalu — kejadian yang telah mencuri mandat rakyat yang diberikan pada Pilihan Raya Umum ke 14 pada 9 Mei 2018, untuk perubahan dan reformasi bagi membolehkan negara kita untuk mencapai potensi penuhnya sebagai sebuah negara pelbagai kaum, bahasa, dan budaya dan untuk menjadi sebuah negara berkelas dunia yang berteraskan kecemerlangan dan pencapaian dalam pelbagai bidang yang diceburi oleh umat manusia — ketidakjujuran, penyalahgunaan kuasa, pembohongan, dan tipu daya kini sudah menjadi perkara yang biasa dilakukan oleh kerajaan semasa. 
Episod kuarantin Khairuddin ini mungkin dipandang enteng oleh kerajaan pintu belakang ini, namun ia merupakan satu tragedi untuk negara kita terutamanya apabila kita berada di ambang sambutan Jubli Emas Rukunegara, yang mana Menteri Kabinet sepatutnya menjadi contoh terbaik yang mengamalkan prinsip-prinsip Rukunegara ini dan bukan sebaliknya.
Rakyat Malaysia telah berasa kecewa dengan prinsip moral yang ditunjukkan oleh para pemimpin politik di dalam kerajaan, tetapi jangan kita benarkan para ahli politik ini untuk menarik dan memusnahkan kecemerlangan profesional para petugas awam, terutamanya yang diketuai oleh hero baharu negara, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah — yang baru-baru ini telah dianugerahkan darjah Tan Sri di atas sumbangan beliau dalam melawan wabak Covid-19. 
Janganlah kita rosakkan maruah seorang Dr Noor Hisham untuk menyelamatkan seorang menteri “air suam” ataupun seorang pengingkar SOP Covid-19. 
Semalam, Khairuddin telah memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia akibat mengingkari SOP kuarantin ini. 
Persoalan telah ditimbulkan mengenai keikhlasan permohonan maaf ini, memandangkan ia sepatutnya telah dizahirkan semasa isu ini ditimbulkan di Parlimen oleh Teresa Kok pada hari Selasa lepas jika beliau benar-benar terasa bersalah kerana telah mengingkari SOP kuarantin — bukannya dengan mencuba untuk menipu dan kemudiannya terbongkar segala penipuannya lima hari kemudian. 

No comments: