KES ADA TIADA TINDAKAN

KES 1
Muhyiddin Yassin menyebut mahu mengumpan Ahli Parlimen Umno dengan jawatan, dalam kabinet dan GLC, bagi memastikan mereka menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

Bukti: (a) Rakaman audio suara Muhyiddin dan (b) hampir kesemua Ahli Parlimen Umno dan Pas yang menyokong Muhyiddin kini menduduki jawatan sama ada dalam kabinet mahupun HLC.

Tindakan: Tiada.

KES 2.
Seorang usahawan Melayu dalam sesi interogasi dengan SPRM menyebut ada memberi Najib (ketika itu PM Malaysia) beberapa puluh juta bagi menutup kes rasuahnya di SPRM, kemudian beberapa belas juta ringgit kepada Azeez Baling dan RM500,000 kepada Nazri Aziz.

Bukti: Rakaman interogasi

Tindakan: Tiada.

KES 3
Usahawan yang sama, dalam interogasi yang sama, menyebut menawarkan 10% dari keuntungan projek kepada Lim Guan Eng (ketika itu KM P. Pinang) sebagai bayaran rasuah. Lim Guan Eng hanya tersenyum dan tidak menyatakan "NO" atau "TIDAK" secara jelas.

Bukti: Rakaman interogasi.

Tindakan: LGE didakwa atas tuduhan meminta suapan.

*****

Aku cuba bersikap rasional, mahu membiarkan LGE buktikan dirinya tidak bersalah di mahkamah. Tapi selepas melihat kepada fakta pertuduhan, aku tidak mampu menipu diri sendiri. Jelas dakwaan ini adalah bermotif politik.

Pertama, ahli perniagaan itu secara jelas menyebut bahawa dia yang menawarkan kepada LGE. Tapi pertuduhan mengatakan yang LGE yang meminta suapan.

Kedua, kes didakwa berlangsung dalam tahun 2011. 9 tahun dahulu. Dalam masa itu, tiada aktiviti akaun atau transaksi melibatkan jumlah sebanyak itu sama ada dalam bentuk ansuran ataupun terkumpul ke dalam akaun LGE.

Ketiga, juga tidak disebut yang LGE bersetuju menerima bayaran tersebut. Walaupun tiada penolakan yang jelas, tetapi tiada juga indikasi penerimaan yang jelas.

Kes ini terlalu lemah.

Persoalannya, jika kes ini lemah, kenapa masih diteruskan? Sebab itu aku katakan dakwaan ini bermotif politik!

Cuba lihat kes SRC Najib. Dia mula didakwa dalam tahun 2018. Dan sabitan kesalahannya hanya dibuat 2 tahun kemudian. Dalam proses itu, banyak helah Najib mahu menangguhkan kes tersebut.

Jadi dalam kes ini, dijangka pihak pendakwaan akan beberapa kali cuba menangguhkan kes. Dan jika berjaya membuat keputusan sabitan melepasi tarikh PRU15, itu sudah memadai.

Mereka mahu PH, dengan DAP khususnya, memasuki PRU15 dengan terpalit kes rasuah. Walaupun kes ini lemah, walaupun tiada sabitan, mereka akan olah seakan LGE sudah didapati bersalah.

Tujuannya hanya ingin mempengaruhi fikiran pengundi bebal yang PH sendiri bukan parti yang bersih.

Selain itu, kes ini juga diharap dapat membuat umum terlupa sabitan kes SRC terhadap Najib Razak. Dan yang ini, aku sendiri sudah nampak ianya berlaku.

Di atas tadi aku sebutkan 2 kes lain. KES 2 mempunyai asas lemah sepertimana kes LGE ini. Tapi jelas disebut yang wang tersebut TELAH DISERAHKAN.

Kenapa SPRM tidak dakwa? Atau setidaknya buat siasatan? Tentu ada cara untuk jejaki transaksi yang disebutkan. Walaupun lemah, hendak mendakwa Najib, Azeez dan Nazri adalah jauh lebih mudah berbanding LGE. Tetapi apa yang berlaku?

Dan KES 1 adalah kes yang sangat jelas. Bukti dari segi rakaman audio telah luas tersebar. Dan dalam realiti pun, ternyata apa yang Muhyiddin sebutkan dalam rakaman audio itu telah diterjemah kepada perbuatan. Maka jelas rasuah berlaku di situ.

Kenapa tidak ada sebarang tindakan dari SPRM? Apakah ini suatu petanda yang SPRM bertindak atas arahan dari orang politik?

Maka tidak dapat tidak, aku boleh simpulkan pendakwaan LGE ini sebagai bermotif politik. Melainkan jika dua kes lagi yang aku sebut diambil tindakan atau diberikan jawapan yang sangat memuaskan mengapa tiada tindakan diambil.

Ini adalah satu lagi contoh bagaimana kebenaran dan sistem keadilan dibuli oleh kerajaan memerintah. Diharap rakyat dapat celik mata melihat keserongan ini.

Tiada apa yang rakyat boleh harapkan dari mereka yang mengenepikan kebenaran demi kepentingan politik dan peribadi.

Tindakan bermotif politik ini juga mencerminkan sikap mereka yang tidak takut kepada Allah. Mereka yang tidak takutkan Allah tidak boleh dipatuhi dan tidak wajar dibiarkan terus memerintah.

- R a j a G e l a p -

No comments: