BENARKAH SYARIKAT MILIK KAKI JUDI ,TERKAIT RASUAH LOBI TENDER BESAR KDN?


Baru-baru ini seorang penulis blog pro bekas Perdana Menteri, Najib Razak telah menulis mengenai tender bernilai billion ringgit Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan mengaitkannya dengan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dan bekas menteri kementerian berkenaan, Muhyiddin Yassin yang kini sudah pun menjadi Perdana Menteri.
Dalam artikel tersebut, nama Muhyiddin dipetik secara jelas dan dikaitkan pula dengan ahli keluarga Perdana Menteri di mana sudah menjadi buah mulut pemain industri sejak tender tersebut ditutup pada Ogos tahun lalu.
Tender Sistem Imigresen Bersepadu Nasional atau (NIISE) bernilai lebih satu bilion ringgit itu merupakan tender yang ditawarkan selepas KDN membatalkan kontrak Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) bernilai RM3.5 bilion yang diberikan kepada Prestariang SKIN Sdn Bhd (PSSB).
Tender tersebut dibatalkan semasa zaman Muhyiddin menjadi Menteri Dalam Negeri dan ia belum sempat dianugerahkan kepada mana-mana syarikat kerana kompleksiti dan penilaian teknikal yang agak lebih ketat berbanding semasa zaman kerajaan BN terdahulu dimana ia dilakukan secara rundingan terus atau direct nego.
Selepas hampir setahun dan pelbagai proses penilaian teknikal dijalankan, tender tersebut kini dalam fasa terakhir sebelum ia mendapat lampu hijau daripada KDN.
Bagaimanapun, terdapat khabar angin yang tidak sedap didengar mula diperkatakan di kalangan pemain industri yang meluahkan rasa kurang senang apabila ada syarikat-syarikat yang mempunyai rekod tidak cantik dikatakan sedang berusaha keras menggunakan hubungan politik melobi dengan menabur janji kepada individu tertentu bagi tujuan memenangi tender tersebut.
Individu yang dilobi itu sudah pastinya adalah melibatkan Menteri Dalam Negeri sendiri dan ia telah diperkatakan dengan meluas, termasuk difahamkan melibatkan pemimpin muda sebuah sayap parti politik sebagai perantaranya.
Pemimpin muda yang dijadikan perantara itu difahamkan mempunyai hubungan dengan keluarga Hamzah.
Lebih menarik lagi, syarikat milik seorang kaki judi yang pernah dikaitkan dengan kes rasuah dalam projek e-pasport Republik Guinea menjadi nama yang hangat diperkatakan sedang melobi untuk memenangi tender itu.
Pemilik syarikat tersebut pernah disaman oleh syarikat kasino, Wynn Macau kerana berhutang sebanyak HK$33 million ($4.21 million) yang tidak dibayarnya pada 2017, malah bekas Timbalan Pengarah Urusan syarikat ini juga pernah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2017 kerana penglibatan dalam skandal perniagaan di Republik Guinea.
Carian di internet sudah memadai untuk mengetahui mereka yang dimaksudkan itu.
Persoalannya, adakah Menteri Dalam Negeri akan mengulangi kesilapan sama dalam kes terdahulu yang melibatkan tender bernilai RM3.5 bilion yang diberikan kepada Prestariang SKIN Sdn Bhd (PSSB) secara rundingan terus?
Jika Muhyiddin sebelum ini membatalkan tender tersebut kerana diberikan secara rundingan terus dan mahukan satu sistem yang lebih baik digunapakai, adakah Hamzah yang baharu menerajui Kementerian Dalam Neger mahu melanggar aspirasi Perdana Menteri?
Atau adakah projek secara runding terus ini sebenarnya mahu diguna untuk memperolehi dana politik bagi menghadapi PRU15 akan datang seperti yang didakwa oleh penulis blog Anotherbrickinwall baru-baru ini?
Tahun lepas, blog ini ada menulis artikel berhubung isu tender ini apabila Muhyiddin selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu telah mengadakan satu pertandingan golf di mana syarikat-syarikat pembida dijemput sekali untuk menyertainya. (Shahbudindotcom 09/08/2020)