KELUARLAH.TINGGALKANLAH BERSATU


Bagai air menderu ketika musim hujan melanda, begitulah umpamanya ahli-ahli Bersatu berduyun-duyun waktu ini meninggalkan parti itu.
Daripada pimpinan di peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan – hampir setiap masa ada saja berita pengumuman mereka yang keluar parti.
Daripada mulanya hanya di Selangor dan Kedah, ia sudah pun mula merebak ke Perak, Johor dan lain-lain negeri.
Untuk hari-hari seterusnya, dipercayai tindakan mereka yang keluar meninggalkan Bersatu ini akan berterusan lagi.
Semua tindakan itu adalah susulan pengumuman Tun Mahathir Mohamad bahawa beliau akan menubuhkan sebuah parti baru untuk meneruskan perjuangan berikutan peluangnya untuk kembali kepada Bersatu sudah tertutup rapat.
Sememangnya Tun Mahathir tidak ada pilihan lain untuk meneruskan perjuangannya selain menubuhkan sebuah parti baru.
Bersatu yang dalam kawalan Muhyiddin Yassin sepenuhnya sekarang bukan saja tidak memerlukan lagi Tun Mahathir, malah telah membawa parti itu lari daripada tujuan asal penubuhannya.
Kerana kuasa, Muhyiddin bukan saja sanggup bekerjasama dengan UMNO yang telah dijatuhkan melalui kuasa rakyat, dengan Bersatu bersama PH antara pemain peranan utamanya, malah beliau juga sanggup memecat Tun Mahathir dan mereka yang tidak lagi sealiran dengannya.
Dengan bersekongkol bersama UMNO, kemudian dibuli oleh parti itu sehingga kerusi untuk ditandinginya pun tidak menentu serta terpaksa mengharapkan ihsan Zahid Hamidi berkaitan dengannya, Bersatu hakikatnya sudah mati masa depannya.
Yang tinggal pada Bersatu hanyalah jasad yang masih berfungsi selagi Muhyiddin ada di kerusi Perdana Menteri.
Melalui parti baru yang bakal diwujudkan oleh Tun Mahathir, inilah sebenarnya wadah perjuangan untuk mengganti Bersatu yang sudah terpesong dan hanya menunggu untuk dikebumi, mungkin sebaik saja PRU15 berakhir nanti.
Untuk itu, selain mereka yang sudah membuat keputusan keluar meninggalkan Bersatu, mereka yang masih dalam parti itu serta kekal menghargai perjuangan Tun Mahathir menumbangkan UMNO, harus juga berbuat demikian dengan segera.
Mereka harus bertanya kepada diri sendiri apakah tujuan menyertai Bersatu sebelum ini?
Apakah kerana ingin bersama Tun Mahathir menyelamatkan negara, menumbangkan kleptokrat UMNO atau disebabkan tertarik hati dengan Muhyiddin?
Dalam hal ini, jangan sesekali dinafikan, barangkali tidak sampai 10 peratus ahli Bersatu menyertai parti itu kerana faktor Muhyiddin.
Rata-ratanya menyertai Bersatu kerana perjuangan yang dibawa oleh Tun Mahathir serta kegigihannya untuk menjatuhkan UMNO yang dibawah kepimpinan Najib Razak telah merosakkan banyak perkara dalam negara ini.
Hari ini, Tun Mahathir kembali berjuang menubuhkan sebuah parti baru setelah Bersatu yang diasaskannya sudah menyeleweng jauh, bahkan Muhyiddin sendiri telah mengkhianati bekas Pengerusi Bersatu itu.
Maka, ahli-ahli Bersatu yang masih ada perasaan terhadap perjuangan Tun Mahathir menjatuhkan UMNO sebelum ini dan kekal menghargainya harus segera keluar daripada parti itu dan beramai-ramailah menyertai parti baru yang bakal ditubuhkannya.
Kekal lagi dalam parti itu bukan saja bererti terus memberi nyawa kepada UMNO menjarah apa-apa yang ada dalam negara ini, malah seperti merelakan diri mereka sendiri menuju ke kuburan bersama Bersatu yang pada hakikatnya lebih mahu dibawa mati oleh Muhyiddin yang sanggup menggadaikan perjuangannya bersama dengan UMNO itu sendiri. (Shahbudindotcom 09/08/2020