MUHYIDDIN PILIH ‘CARA BETINA’ UNTUK MENANG PRESIDEN BERSATU, TAK MALUKAH DENGAN NICOLE WONG?



Walaupun pemecatan Tun Mahathir Mohamad bersama empat yang lain sebagai ahli Bersatu masih menjadi pertikaian dan dianggap tidak sah, terutama kerana surat berkaitan hal itu dikeluarkan oleh Setiausaha Kerja parti, tindakan ini sudah dijangka sejak awal lagi.

Selain Tun Mahathir yang merupakan Pengerusi Bersatu, empat yang lain yang dipecat adalah Timbalan Presiden, Mukhriz Mahathir; Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Dr. Mazlee Malik dan Amiruddin Hamzah.

Kesemua mereka adalah Ahli Parlimen di mana Tun Mahathir (Langkawi), Mukhriz (Jerlun), Syed Saddiq (Muar), Dr. Mazlee (Simpang Renggam dan Amiruddin (Kubang Pasu)

Mereka dianggap lucut keahlian Bersatu kerana duduk di blok pembangkang ketika Sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.

Tetapi, dalam perkembangan terbaru, Marzuki Yahya, Setiausaha Agung Bersatu malam ini mengumumkan pemecatan Kapt (B) Suhaimi Yahya daripada Setiausaha Kerja atas tindakannya mengeluarkan surat pemecatan terhadap Tun Mahathir dan empat lagi pemimpin Bersatu itu.

Dengan episod pecat-memecat ini, dijangka lebih banyak drama akan menyusul lagi selepas ini.

Pemecatan Tun Mahathir memang sudah dijangka sejak awal lagi di mana blog ini dalam artikelnya pada 21 April lalu adalah yang paling awal meramalkan bekas Perdana Menteri itu akan dipecat daripada Bersatu sebaik saja bekas Perdana Menteri itu membuat keputusan untuk duduk bersama pembangkang PH di dalam Parlimen.

Oleh kerana Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu adalah Perdana Menteri, beliau tentu saja melihat keputusan Tun Mahathir itu sesuatu yang melanggar disiplin parti, selain memalukannya.

Berikutan itu, Muhyiddin dipercayai sama ada akan memecat atau menggantung keahlian Tun Mahathir.

Artikel berkaitan boleh dibaca di sini – https://shahbudindotcom.net/2020/04/21/apakah-muhyiddin-akan-pecat-mahathir-atau-mahathir-memang-mahu-dirinya-dipecat.html

Namun demikian, tujuan besar Muhyiddin memecat atau mengumumkan keahlian kelima-lima mereka terhenti, terutamanya Tun Mahathir dan Mukhriz, adalah semata-mata untuk membuka laluannya menguasai Bersatu secara mudah.

Walaupun Tun Mahathir sudah diumumkan menang tanpa bertanding sebagai Pengerusi Bersatu bagi sessi 2020-2023, tetapi dengan pemecatannya ini bermakna jawatan tersebut akan kosong tanpa diisi sesiapa.

Dalam masa yang sama, pemecatan Mukhriz pula menjadikan Muhyiddin menang secara percuma sebagai Presiden Bersatu.

Dengan kata mudah, pemecatan Tun Mahathir dan Mukhriz sebelum pemilihan Bersatu diadakan di mana bekas Menteri Besar Kedah itu akan bertanding menentang Muhyiddin serta Tun Mahathir bakal berkempen membantu anaknya, semuanya kini terhalang secara automatik.

Muhyiddin bukan saja bakal menang percuma, malah tiada lagi kelibat Tun Mahathir membayanginya dalam Bersatu.

Sudah tentu selepas ini Muhyiddinlah yang paling berkuasa dalam Bersatu, meskipun caranya memenangi jawatan dan menguasai parti adalah melalui “cara betina”.

Nampaknya Muhyiddin tidak cukup jantan untuk berhadapan secara anak jantan dalam pertandingan terbuka dan sihat dengan Mukhriz bagi menentukan siapa Presiden Bersatu yang sebenarnya dalam pemilihan parti tidak lama lagi.

Tidak cukup sebelum ini dengan merestui “rampasan negeri” di Kedah yang bertujuan melemahkan kedudukan Mukhriz untuk berlawan dengannya tanpa jawatan dalam kerajaan, terbukti Muhyiddin kini hanya mahu menang percuma, walaupun dengan “cara betina” untuk meraihnya.

Sebagai Perdana Menteri dan lelaki, Muhyiddin sepatutnya berasa malu dengan Nicole Wong yang berani berlawan “secara anak jantan” dalam pertandingan terbuka untuk menjadi Ketua Pemuda MCA yang pertama, walaupun beliau adalah seorang wanita.

Apakah mereka yang menyokong Muhyiddin tidak turut malu berketuakan seorang pemimpin yang lebih rendah keberaniannya daripada seorang wanita? 

(Shahbudindotcom 29/05/2020)



No comments: