Sumpah laknat: ‘Jangan persenda agama’ – Patriot
Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mengecam bekas PM Najib Razak kerana mahu bersumpah laknat menafikan beliau terlibat dalam pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Presiden Patriot, Mohamed Arshad Raji berkata dakwaan jenayah perlu dilakukan dengan cara undang-undang bukan melalui sumpah, seolah-olah perkara tersebut tidak boleh disiasat.
“Jika jenayah serius seperti pembunuhan boleh diselesaikan dengan ‘sumpah’, maka pelaku kejahatan serius, termasuk penyelewengan dan kejahatan kolar putih di pejabat tinggi, juga boleh lepas dengan ‘sumpah’ juga.
“Patriot hairan mengapa mufti dan orang-orang dalam jabatan agama tidak menghentikan telatah Najib ini yang jelas mempersendakan agama,” katanya dalam satu kenyataan
Najib dijangka melakukan sumpah laknat di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur selepas solat hari ini.
Beliau bersumpah dalam usaha menepis Akuan Bersumpah (SD) pembunuh yang disabitkan, bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) polis Azilah Hadri, yang mendakwa bekas PM itu memberi arahan ‘menghapuskan’ Altantuya.