Laporan positif prestasi ekonomi negara cerminan keyakinan Bank Dunia, IMF



Oleh Lim Guan Eng
(Menteri Kewangan, Setiausaha Agung DAP)
Laporan-laporan yang dikeluarkan baru-baru ini daripada Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) adalah positif dan telah mengesahkan kedudukan fiskal Kerajaan Malaysia seperti yang telah dilaporkan oleh Kerajaan sebelum ini. Malah, Malaysia dianggap mencatatkan kemajuan dalam agenda reformasi yang menyaksikan pertumbuhan ekonomi terus mampan, kadar inflasi terkawal, dan terdapat lebihan dalam akaun semasa. Seperti yang dimaklumkan dalam kenyataan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Hutang bertarikh 6 Disember 2019, nisbah hutang dan liabiliti Kerajaan berbanding Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) setakat akhir Jun 2019 adalah seperti di Jadual 1: 

Secara keseluruhannya, nisbah hutang dan liabiliti telah menurun daripada 79.3% berbanding KDNK pada akhir 2017, kepada 77.1% pada akhir Jun 2019. Ini menunjukkan kejayaan dan komitmen Kerajaan Pakatan Harapan dalam usaha konsolidasi hutang dan liabiliti. Dalam jangka masa sederhana, Kerajaan menyasarkan untuk menurunkan lagi nisbah hutang dan liabiliti kepada 65% berbanding KDNK pada akhir 2025. 

Untuk tahun 2019, sasaran defisit fiskal sebanyak RM52 bilion atau 3.4% berbanding KDNK akan dicapai seperti yang dilaporkan oleh pihak Bank Dunia dan IMF. Ini merupakan penurunan daripada defisit fiskal sebanyak 3.7% pada tahun 2018 dan adalah hasil daripada kejayaan Kerajaan dalam pelaksanaan tender terbuka dan penjimatan kos Kerajaan. Hutang langsung dijangka naik sebanyak RM52 bilion pada tahun 2019 untuk menampung perbelanjaan pembangunan negara yang telahpun diluluskan oleh Parlimen pada tahun 2018. 

Selain hutang langsung, Kerajaan juga mempunyai komitmen jaminan yang perlu ditanggung dan dibiayai Kerajaan bagi melaksanakan projek infrastruktur pengangkutan awam dan utiliti. Ini adalah termasuk projek-projek infrastruktur mega seperti LRT3, MRT2 dan Lebuhraya Pan Borneo dengan kos keseluruhan yang melebihi RM75 bilion. 

Di samping itu, jumlah jaminan Kerajaan yang ditanggung dan dibayai oleh Kerajaan juga telah meningkat akibat skandal-skandal yang terbongkar selepas Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih Kerajaan. Misalnya, peningkatan komitmen Kerajaan sebanyak RM20 bilion adalah untuk menyelamatkan Tabung Haji demi melindungi kepentingan pendeposit selepas pihak juruaudit antarabangsa mendapati bahawa pengurusan terdahulu di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) telah memalsukan akaun Tabung Haji untuk menyembunyikan kerugian yang besar, dan membayar hibah yang tinggi walaupun tiada keuntungan. 

Pengesahan agensi penarafan kredit antarabangsa ke atas penarafan kredit berdaulat Malaysia pada paras A- atau A3 dengan unjuran stabil adalah bukti kukuh bahawa Kerajaan Pakatan Harapan bersifat berhemah dan telus dalam pengurusan fiskal Kerajaan. 

Keyakinan badan dan pelabur antarabangsa mematahkan dakwaan pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah memutarbelitkan fakta untuk menyebarkan maklumat palsu berkaitan kedudukan hutang dan liabiliti negara, termasuk fitnah bahawa Kementerian Kewangan menjual aset dan hartanah negara. Perlu ditegaskan bahawa saya belum meluluskan sebarang penjualan aset dan hartanah negara, yang sebenarnya dijalankan oleh agensi lain yang tidak ada kaitan dengan Kementerian Kewangan



No comments: