LEBIH RAMAI PEGAWAI KANAN AKAN DIPINDAHKAN

Ahmad Lutfi

Lebih ramai pegawai kanan akan dipindahkan untuk atasi daulah terpendam

Laporan TMI

PEMINDAHAN besar-besaran beberapa orang ketua setiausaha kementerian (KSU) akan berlaku, dalam usaha pentadbiran Pakatan Harapan menangani masalah didakwa berpunca daripada daulah terpendam perkhidmatan awam, kata sumber.
Beberapa sumber berkata terdapat sekurang-kurangnya lapan pemindahan akan dibuat menjelang Disember apabila kerajaan bertindak ke atas dakwaan wujud sabotaj dalam pelbagai kementerian.
Ia adalah rombakan besar-besaran yang akan dibuat sejak 18 bulan PH menjadi kerajaan persekutuan, dan ia berlaku apabila banyak skandal tercetus berkaitan kelulusan projek atau tender yang dibuat tanpa pengetahuan menteri terbabit. 
Antara yang terkait adalah tender padi bernilai RM1.4 bilion dikeluarkan Kementerian Pertanian dan Asas Tani.

Tender itu yang kini sudah dibatalkan didakwa diberikan kepada sebuah syarikat melalui proses terbuka. Pembatalan dipercayai dilakukan selepas Menteri Salahuddin Ayub menulis surat sokongan kepada perdana menteri mengesyorkan ia diberikan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).
Salahuddin bagaimanapun berkata beliau tidak membuat sebarang kesalahan kerana tender belum dikeluarkan secara rasmi oleh Kementerian Kewangan.
Kata sumber daripada parti Salahuddin, Amanah, menteri itu disabotaj oleh seorang pegawai tinggi kerajaan. 
Sumber kerajaan juga berkata, isu pegawai tinggi mensabotaj seperti tindakan membocorkan komunikasi rasmi kementerian juga sudah dibangkitkan beberapa orang menteri lain dalam mesyuarat Kabinet. 
Disebabkan itu, beberapa orang menteri sudah meminta KSU atau pegawai kanan terbabit dipindahkan atau ditukar.




Menurut sumber lagi, lapan kementerian terlibat ialah Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pembangunan Usahawan.
“Mungkin akan ada lagi, kerana ada lagi desakan untuk penukaran pegawai tertentu,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Isnin lalu, The Malaysian Insight difahamkan mengenai peralihan kedudukan empat pegawai kanan kementerian termasuk KSU Kementerian Pertanian dan Asas Tani Mohd Sallehhuddin Hassan yang diarah pindah ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Dua lagi yang turut dipindahkan ialah KSU Kementerian Industri Utama Dr Tan Yew Chong ke JPA dan KSU Kementerian Pelancongan Isham Ishak ke Kementerian Pengangkutan.
Manakala TKSU Kementerian Dalam Negeri Jamil Rakon pula dinaikkan pangkat kepada KSU kementerian sama.
Menurut sumber, pemindahan ke JPA bermaksud jawatan baharu pegawai terlibat masih belum diputuskan. Mereka akan tetap menerima gaji bulanan tetapi tiada elaun diberikan sementara menanti keputusan tempat baharu mereka.
Dakwaan wujudnya daulah terpendam perkhidmatan awam sudah banyak kali dibangkitkan oleh beberapa orang menteri tetapi masih tidak dapat dipastikan sama ada ia sebuah pergerakan teratur atau sekadar individu tertentu yang setia dengan Barisan Nasional atau pegawai terbabit masih belum dapat menyesuaikan diri dengan pentadbiran kerajaan PH. 
Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini dilapor berkata yang penjawat awam bebas mempunyai pendirian politik sendiri, tetapi mereka tidak boleh mensabotaj pentadbiran Putrajaya. – 27 November, 2019.

No comments: