Oleh: ZUKRI AKSHAH
Baru-baru ini persada politik negara heboh dengan pertemuan Azmin Ali bersama 17 orang Ahli Parlimen Umno dan beberapa orang dari kalangan Parti Keadilan Rakyat sendiri di rumahnya di Putrajaya. Apa yang saya boleh katakan, Azmin telah memulakan gerak-langkahnya, gerak langkah yang sangat berani.
Dalam satu tulisan saya, bagi menjawab persoalan Ragu Perianan dan Mohdkamal Yusof, saya ada mengatakan bahawa jika Azmin meneruskan strateginya, ia adalah strategi "do or die." Memandangkan ia sudah terbuka, strategi itu hari ini memang bersifat begitu, menang atau mati!
Dalam siri penganjuran #KonvensyenKeadilan2019 di setiap negeri termasuk di Sarawak hari ini, ia memang boleh menunjukkan sokongan majoriti anggota Parti Keadilan Rakyat masih terhadap Anwar Ibrahim. Tetapi kalau penanda ini mahu digunakan bagi memperleceh gerakan Azmin, ia tidak berguna, sebab matlamatnya berbeza. Matlamat Azmin bukan pembentukan kepimpinan parti, tetapi pembentukan kabinet kerajaan, sekurang-kurangnya untuk jangka masa pendek ini. Jadi buat masa ini, bagi Azmin sokongan anggota parti kurang penting, yang lebih dan paling penting adalah sokongan Ahli Parlimen, dari kiblat politik mana sekalipun.
Bayangkan senario ini. Keadilan sekarang mempunyai 50 kerusi parlimen, Umno mempunyai 37 kerusi parlimen. Andai kata Azmin, katakan dengan kerjasama Hishammuddin Hussein seperti diwar-warkan berjaya memperoleh sokongan sama 22 kerusi dari Keadilan dan Umno, ia sudah menjadi 44 kerusi, dan ini akan menjadikan Keadilan hanya punya 28 kerusi! Dengan 44 kerusi ia pastinya memberi Azmin keberanian yang cukup bagi mengatur langkah seterusnya, membentuk parti baru atau mengambil-alih parti politik sedia ada. Kemudiannya melalui parti baru ini akan memohon kepada Dr. Mahathir bin Mohamad selaku Pengerusi Pakatan Harapan untuk bersama-sama dengan Pakatan Harapan sama ada sebagai ahli atau sekutu. Jika cara ini berjaya, Azmin bukan sekadar boleh mengekalkan jawatannya, tetapi juga akan memberinya lebih kuasa tawar-menawar. Ketika itu Keadilan sudah tidak cukup kuat untuk membantah, sebab akan dihadapkan dengan dua pilihan sahaja, kekal kerajaan sedia ada atau tumbang di tengah jalan (bahkan kalau Keadilan mahu berundur dari Pakatan Harapan, Azmin masih ada PAS dan GPS yang boleh dipujuk bersama). Kalau Azmin berjaya dengan cara ini, masa depan politik beliau akan cerah.
Itu kalau berjayalah... kalau gagal seperti saya katakan Azmin berisiko menuju jalan mati. Kalau tidak menang karier politik Azmin berkemungkinan mati terus.
Kenapa dalam kemelut ini, Tun Dr Mahathir Mohamad seperti endah tak endah? Paling tidak pun beliau menjawab itu masalah PKR! Memang Azmin bukan dari Parti Pribumi BERSATU Malaysia, tetapi Azmin juga adalah pemimpin Pakatan Harapan yang Tun adalah pengerusinya. Sebabnya mudah, darihal pertelingkahan dalaman Keadilan ini, sama ada kesudahannya Azmin menang atau kalah, ia tetap memberi kelebihan kepada Mahathir.
Mahathir sengaja membiar, melihat sahaja percakaran berlaku, paling kurang ia akan merosakkan nama baik Anwar di mata rakyat, mencalar kewibawaan kepimpinan Anwar, membina keraguan akan keupayaan Anwar untuk memimpin dalam skala yang lebih besar, memimpin negara sebagai Perdana Menteri. Akhirnya ia memberi Mahathir kemampuan untuk membeli lebih masa bagi menduduki kerusi nombor satu negara dalam tempoh yang lebih lama.
Azmin mengambil langkah memulakan gerakan berani, menang atau mati! Azmin secara politiknya berkemungkinan mati. Tetapi kalau Azmin tidak mati, Anwar pastinya dalam zon bahaya...
#keadilan20tahun
#kekaltenang #lawantetaplawan