Anwar yakin jadi PM ke-8 tahun 2020
Peralihan kuasa perdana menteri daripada Tun Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dibayangkan akan berlaku pada tahun depan.
Hal itu ditegaskan dengan keyakinan Presiden PKR yang menjangkakan peralihan kuasa akan berjalan lancar pada tahun depan.
Dalam satu wawancara dengan Bloomberg Television, Anwar berkata, parti-parti komponen Pakatan Harapan tidak mencalonkan nama pemimpin lain untuk menggantikan Tun Mahathir dan menganggap berita ‘calon lain’ adalah tidak relevan.
“Tiada tanda mana-mana parti akan memperkenal atau mempromosi atau melobi nama lain.
“Ia tidak menghalang individu lain yang bercita-cita,” katanya sambil menyifatkan mereka sebagai “tidak relevan”.
Baru-baru ini, Tun Mahathir didesak menetapkan tarikh khusus untuk menyerahkan kuasanya kepada Anwar seperti yang dipersetujui pemimpin Pakatan Harapan sebelum pilihan raya umum ke-14 tahun lalu.
Mahathir yang dilantik semula sebagai perdana menteri susulan kemenangan PH dalam PRU14, berulang kali menegaskan beliau akan mengotakan janji untuk berundur selepas memerintah kira-kira 2 tahun.