Piagam Umno – Pas untungkan pemimpin sahaja
Piagam kerjasama Umno-Pas yang ditandatangani hanya memberi keuntungan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Tokoh wartawan, Datuk A. Kadir Jasin berkata, pada mulanya beliau menyangka keputusan penggabungan itu datangnya daripada Pas ‘bagi memanfaatkan peningkatan kesedaran Islam’, namun sebaliknya.
“Bagaimanapun jelas sekarang dengan ‘ketua’ Umno di depan, himpunan perpaduan itu memberi keuntungan kepada individu ini dan penyokong mereka,” katanya dalam akaun Facebook miliknya seperti dipetik portal Free Malaysia Today.
Kadir Jasin sebelumnya merujuk kepada Najib dan Ahmad Zahid yang kini berdepan beberapa kes rasuah di mahkamah.
Pada Sabtu, piagam itu ditandatangani di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan disaksikan ribuan penyokong dari kedua-dua parti itu yang bermusuhan sejak sekian lama.
Sementara itu Kadir yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Pas ‘diseret’ bagi memberikan keabsahan kepada Himpunan Perpaduan Ummah yang meredakan ‘kegelisahan’ pemimpin-pemimpin Umno yang sedang didakwa.
“Sebelum ini Pas ‘berkahwin’ dengan Umno. Ia menggunakan kedudukannya dalam kerajaan untuk membuka cawangan parti di kawasan tanah rancangan Felda sehingga menyebabkan Umno kurang senang.
“Pas ditendang keluar daripada Barisan Nasional pada 1977 oleh Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Hussein Onn,” ujarnya sambil membuat andaian kerjasama itu sukar bertahan.
Dalam pada itu, seorang pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) melihat piagam tersebut hanyalah kerjasama longgar yang dilaksanakan demi kelangsungan parti terbabit.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution, berkata kerjasama itu bukanlah satu pakatan, sebaliknya hanya persefahaman yang dimeterai.
“Ia satu kerjasama yang longgar, malah PAS pernah menyertai Barisan Nasional (BN), Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, tetapi kemudiannya berpisah.
“Sejarah PAS daripada segi politik menunjukkan parti ini boleh duduk bersama (parti) yang lain, tetapi kemudian akan berpisah.
“Rekod lama PAS itu akan boleh dinilai dalam kerjasama terbaharu ini,” katanya dalam sidang media semalam.
Sejak beberapa tahun lalu, pemimpin Pas menafikan kemungkinan bakal wujudnya penggabungan atau kerjasama antara kedua parti itu,.
Sejak beberapa tahun lalu, pemimpin Pas menafikan kemungkinan bakal wujudnya penggabungan atau kerjasama antara kedua parti itu,.
Timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu laporan media pada 2014 menegaskan bahawa parti itu tidak sesekali akan bergabung dengan Umno. – RF8 Media
.