Komitmen kerajaan PH terhadap agenda anti-rasuah membuahkan hasil positif


Agenda anti-rasuah yang selama ini diberi keutamaan oleh kerajaan PH telah membuahkan hasil yang positif, kata Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Katanya, ini dapat dilihat berdasarkan kajian dan indeks antarabangsa yang menunjukkan peningkatan petunjuk prestasi Malaysia.

“Komitmen kerajaan hari ini untuk meletakkan agenda anti-rasuah sebagai salah satu keutamaannya telah menampakkan berapa hasil,” katanya seperti dilapor Bernama. 

Beliau merujuk Kajian Persepsi Rasuah SPRM Siri 13/2018 mengenai persepsi rakyat mengenai kesungguhan kerajaan untuk memerangi rasuah telah meningkat 11 peratus daripada 59.8 peratus pada 2016 kepada 70.8 peratus tahun lepas.

“Berdasarkan petunjuk antarabangsa, Malaysia juga telah mencatatkan peningkatan dalam beberapa kajian penting atau indeks seperti Edelsmann Trust Barometer Global menunjukkan tahap keyakinan orang ramai terhadap kerajaan telah meningkat kepada 60 peratus tahun ini berbanding 46 peratus pada 2018,” katanya. 

Tambah Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu, Laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat menunjukkan Malaysia telah melonjak tiga anak tangga daripada tempat ketujuh pada 2016 ke tempat keempat pada 2018 daripada 12 negara Asia Pasifik.

“Indeks Demokrasi 2019 oleh Unit Perisikan Ekonomi (EIU) menunjukkan Malaysia kini berada di tangga ke-52 daripada 165 negara, berada di kedudukan ke-14 mendahului Singapura yang menduduki ranking ke-66,” ujarnya. 


No comments: