Sistem tender terbuka kerajaan PH lebih baik, kata persatuan kontraktor Bumiputera



Sistem tender terbuka yang diamalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) jauh lebih baik daripada kerajaan terdahulu, kata Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff seperti dipetik Sinar Harian, semalam.

Beliau menyifatkan pengagihan kontrak secara terbuka dan saringan lebih telus kerajaan PH memberi peluang yang adil kepada kontraktor di negara ini, sehinggakan tidak timbul isu kontraktor Bumiputera terpaksa gulung tikar. 

“Sekarang kontraktor hanya perlu masuk tender dan sekiranya memenuhi spesifikasi yang betul, peluang mereka untuk dapatkan projek pasti cerah.

“Saya rasa mereka (kontraktor) lebih selesa dengan dasar baharu kerajaan sekarang yang mengamalkan konsep terbuka.

”Banyak peluang dan projek diberikan kepada kontraktor kecil khususnya kelas G1 dan G2 di semua negeri dan daerah termasuk kawasan pedalaman,” katanya seperti dipetik akhbar tersebut.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa lebih banyak tender akan dibuka untuk dimanfaatkan semua kelas kontraktor. 

“Penambahbaikan yang dibuat kerajaan kini dapat memberi manfaat kepada semua kelas kontraktor apabila projek besar dipecah-pecahkan kepada kecil.

“Jadi, semua kelas kontraktor dapat bahagian masing-masing mengikut kepakaran dan kemahiran yang mereka miliki,” katanya sambil menambah sistem tender terbuka juga berjaya mengekang sikap tamak sesetengah kontraktor yang mahu membolot semua projek.