Pas TUDUHAN TANPA BUKTI




Kerajaan negeri Perak menyelar pembangkang di negeri itu, khususnya Pas yang sering menuduh tanpa mengemukakan bukti kelemahan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, tindakan ADUN Gunung Semanggol, Hj Razman Zakaria sebelum ini yang beberapa kali mendakwa berlaku kelemahan pentadbiran negeri tanpa mengemukakan cukup bukti amatlah tidak wajar diteruskan.
Menurutnya, tindakan Pesuruhjaya Pas Perak itu agak mengecewakan kerana tidak mengamalkan prinsip Islam dalam membuat tuduhan.
“Untuk pengetahuan YB, semua program, dasar dan polisi Kerajaan Negeri Perak pada hari ini sedang berjalan dengan baik. Sehingga kini kerajaan telah berjaya mendapatkan nilai pelaburan ke negeri ini sebanyak RM 1.434 billion berbanding hanya RM 249 juta oleh kerajaan terdahulu dalam tempoh yang sama.
“Pencapaian ini juga turut meletakkan Perak di tangga kelima berdasarkan statistik daripada Lembaga Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi tempoh Januari hingga Mac 2019,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu menurutnya, kerajaan juga telah melancarkan beberapa skim bantuan kepada golongan sasar terutamanya kumpulan B40 seperti Kad Perak Prihatin, Kotak Harapan, Dermasiswa, Rumah Harapan, Rumah Perakku, Pinjaman Pengajian Tinggi, Biasiswa Menteri Besar, Kad Kesihatan dan Makanan, Tabung Usahawan dan Kesihatan, Bantuan Dana NGO serta banyak lagi insentif lain yang terus disampaikan kepada rakyat di negeri Perak. Malah kerajaan negeri juga tidak meletakkan syarat untuk mendapatkan sokongan daripada pemimpin kerajaan untuk mendapatkan kemudahan ini seperti yang diamalkan kerajaan terdahulu.
Selanjutnya Hasnul berkata kes-kes yang disebut oleh Razman telah pun diambil tindakan dengan mengambil keterangan pihak yang terlibat dan masih dalam proses penyiasatan.
Hasnul juga menasihatkan agar Razman mendapat maklumat yang tepat terlebih dahulu selaras dengan ajaran Islam supaya tidak membuat tuduhan melulu sehingga boleh menimbulkan fitnah dan memecah belahkan masyarakat.
“Dalam negara yang mengamalkan demokrasi pihak kerajaan negeri mengalu-alukan kritikan atau pandangan daripada pihak pembangkang tetapi pihak YB diingatkan supaya kritikan yang dibuat perlulah bersandarkan kepada fakta dan bersifat membina
“Sekiranya pihak YB tidak mempunyai maklumat yang jelas dalam apa-apa isu atau perkara berkaitan kerajaan negeri, pihak YB dialu-alukan untuk datang ke pejabat saya atau berjumpa mana-mana Exco yang berkaitan untuk mendapatkan penjelasan,” katanya lagi. – RF8 Media

No comments: