140 kontrak meragukan Kementerian Pendidikan dibatalkan
Salah satu janji utama Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum ke 14 lalu adalah membanteras rasuah sehingga ke akar umbi.
Selepas setahun tiga bulan berkuasa, janji itu terlaksana dengan jayanya di kebanyakan kementerian melalui proses tender terbuka dan berjaya menjimatkan ratusan juta ringgit tanpa membayar wang kepada menteri dan pegawai kanan lainnya.
Bagi tender yang telah diluluskan, pemegang tender tidak akan terlepas sekiranya mendapatkannya secara jalan belakang. Salah satu kementerian yang tegas dalam proses semakan semula adalah Kementerian Pendidikan.
The Malaysian Insight (TMI) melaporkan, kementerian itu sedang meneliti hampir 800 kontrak perkhidmatan kantin, cuci bangunan dan kawalan keselamatan di sekolah dan di institusi di bawahnya yang dipercayai diperolehi dengan cara menipu semasa proses tender.
Menurut sumber dalaman, setakat ini lebih 140 kontrak dibatalkan kerana disahkan terlibat dengan penipuan.
Sumber itu memberitahu kontraktor berkenaan mengemukakan penyata bank palsu semasa proses tender, melibatkan kontrak yang dikeluarkan antara Januari dan Februari tahun ini.
“Kementerian bukan saja akan tamatkan kontrak tetapi sedang menyemak proses dalaman dan mengambil tindakan ke atas pegawai yang terlibat,” kata sumber kepada TMI
Selain pembatalan kontrak, isu ini juga akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Kewangan untuk tindakan lanjut, tambah sumber.
TMI difahamkan laporan siasatan terhadap hampir 800 kontrak itu sudah dimaklumkan kepada jemaah menteri, baru-baru ini.
Notis penamatan kontrak juga difahamkan sudah mula dikeluarkan kepada kontraktor terlibat sejak 31 Julai lalu.
“Sesetengah kontrak ini untuk tempoh sampai tiga atau empat tahun, dan sebab itu perlu ditamatkan segera,” kata sumber.
Mengikut prosedur, kontraktor terlibat akan dimaklumkan terlebih dulu melalui notis bahawa kontrak mereka akan ditamatkan serta sebab pembatalan. Mereka diberi masa 14 hari untuk menjawab sebelum kontrak ditamatkan melalui notis penamatan.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan juga akan membuka semula proses tender bagi kontrak yang terlibat, yang akan dijalankan mengikut tatacara perolehan yang terpakai.
Pihak kementerian juga sedang dalam proses melantik kontraktor sementara untuk menggantikan syarikat yang ditarik balik kontrak. – RF8 Media