Video bukan Haziq, FB digodam – PKR Santubong
Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Santubong Ahmad Nazib Johari menafikan individu yang membuat pengakuan bersumpah melakukan seks sejenis dengan seorang yang mirip menteri kabinet persekutuan bukan Ketua AMK Santubong Haziq Abd Aziz (gambar).
Ahmad Nazib berkata beliau amat mengenali Haziq yang juga Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama.
“Haziq bukan begini orangnya (seperti dalam video pengakuan). Rambut dia tinggi sebelah kiri dan kanan semasa saya berjumpa dia empat hari yang lepas.
“Dia lama dah tak pergi gimnasium, badan dia sekarang tak besar macam dalam video,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, hari ini.
Ahmad Nazib turut percaya yang Facebook Haziq telah digodam.
Video pengakuan 34 saat itu dimuat naik menerusi Facebook Haziq pada kira-kira pukul 2 pagi Selasa.
Video memaparkan aksi ranjang dua lelaki itu mula tular pada Selasa.
“Video tersebut telah diambil tanpa kebenaran saya pada 11 Mei semasa Pilihan Raya Kecil Sandakan di bilik … di Hotel Four Point,” kata individu yang memperkenalkan diri sebagai Haziq Aziz.
Sementara itu, Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran PKR Cabang Santubong dijadual diadakan pada 15 Jun ini di kediaman Haziq, di Petra Jaya.
Naib Ketua PKR Santubong Ali Hossen ketika dihubungi berkata majlis itu mungkin diadakan di tempat lain ekoran perkembangan terkini.’
Beliau enggan mengulas mengenai isu video seks sejenis yang hangat sekarang.
“Saya bukan orang yang berhak mengulas mengenainya,” katanya.