FB: IBRAHIM MAT ISA
Rakyat Malaysia telah dihidangkan fitnah seks atau fitnah liwat sepanjang 20 tahun sejak 1998. Rekaan itu dilakukan oleh satu kumpulan propaganda yang mencatur siapa siapa yang akan dinaikkan menjadi pemimpin negara.
Ketua dalam urusan propaganda itu telah meninggal dunia!
Namun, sepanjang 20 tahun itulah juga rakyat yang berfikiran bersih tetapi berhaluan kiri berusaha sedaya upaya menangkis fitnah dan menolak adu domba yang dimainkan.
Mencipta fitnah bukan bermakna parti yang memerintah berjaya mengurangkan keyakinan rakyat malah mereka juga berhempas pulas pula untuk mempertahankan kekuasaan. Apa yang berlaku akhirnya? Mereka juga tumbang oleh gelombang rakyat.
Permainan-permainan jahat di dalam arena politik di Malaysia seperti tiada riak hentinya. Kita mengharapkan dengan bermulanya nyaman pagi sebuah Malaysia Baharu, seluruh rakyat bersedia untuk melangkah ke arah sebuah masyarakat yang berfikiran murni serta bertekad untuk mengembalikan kewibawaan negara ini seperti yang pernah kita nikmati sekitar awal tahun 90an dahulu.
Adakah dengan bermain dengan fitnah yang merosakkan peribadi seseorang, negara dengan tiba-tiba diangkat martabat dan mencapai kemajuan demi kemajuan yang bagus sehingga membeliakkan mata dunia?
Dahulu cipta fitnah juga, sampaikan Perdana Menteri ketika itu terpaksa percaya dengan fitnah dan kerana itu bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu diaibkan tanpa belas kasihan. Bukankah di dalam Islam sudah lengkap hukum tuduh menuduh dalam urusan zina atau liwat. Mereka tidak pernah belajar.
Mereka suka ikut setan!
Sepanjang 20 tahun bermain isu liwat dan jubur, berapa ramai orang Islam yang telah mati dalam keadaan mereka percaya fitnah itu. Percaya itu satu, tapi menjaja pula cerita itu ke sana ke mari untuk membuatkan ramai orang lagi percaya ia betul. Bagaimana nasib mereka di alam barzakh dalam keadaan tidak sempat bertaubat?
Sedar dahulu, sejak berada di dalam parti Islam, dan aku bersama-sama jutaan lagi rakyat bersih berhaluan kiri menolak politik fitnah. Aku bukannya sokong Anwar Ibrahim yang difitnah 100% kerana ada beberapa ketika aku mengkritik beliau dan tindakan yang diambil, akan tetapi aku berprinsip bahawa politik fitnah akan memakan diri, memakan amalan baik pemerintah dan akhirnya Tuhan menterbalikkan para pembesar yang berkuasa menyokong akan fitnah.
Sepanjang masa sejak era reformasi dan turun ke jalan raya, Malaysia tidaklah sehebat mana. Ekonomi kita bukan menjadi gah. Teknologi kita banyak terbuang. Wang kita jatuh merudum. Pelabur yang dahulu banyak menghuni Zon Perdagangan Bebas di merata tempat di Malaysia lari meninggalkan kilang dan pekerja yang kehilangan pekerjaan.
Banggakah kita dengan fitnah?
Apa yang aku tulis ini hanya asas sebuah pemikiran yang lurus supaya kita sentiasa beringat bahawa hidup kita ini berTuhan. Walau apa kita buat, ada pusingan naik dan turun serta dengan keberkatan yang Tuhan kurniakan. Kita bernasib baik kerana ramai rakyat mendoakan negara ini supaya aman.
Semoga setan yang meniup angin fitnah, yang membawa porak poranda tidak sempat untuk bercambah. Teruskan perangi fitnah dan kembalikan keharmonia negara kita!
Adios
😎 Aim
😎 Aim