Presiden KEADILAN Anwar Ibrahim sedih dengan fitnah video sumbang yang cuba mengaitkan pemimpin tertinggi parti itu selepas beliau sendiri dua kali menjadi mangsa taktik kotor yang sama.
Anggota Parlimen Port Dickson itu menyangka dua fitnah yang dihadapinya dulu adalah yang terakhir digunakan dalam politik negara ini.
“Sudah tentu saya sangka apa yang saya alami patut menjadi yang terakhir, tetapi malangnya trend ini seolah-olah berterusan dan ia amat menyedihkan, memualkan dan saya tidak faham mengapa ini harus terus berlaku,” katanya.
Anwar ditemui media di Petaling Jaya selepas menghadiri mesyuarat Biro Politik KEADILAN petang semalam.
Kata Anwar beliau amat menolak permainan politik yang menggunakan kaedah begitu yang salah pada pandangan moral, agama dan etika.
“Ini bukan cara kita patut menghakimi atau menilai seseorang dalam politik,” katanya.
Awal pagi semalam, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz menerusi muatnaik video di Facebook mengaku dirinya adalah salah seorang individu dalam video sumbang itu.
Ketua Cabang Santubong, Ahmad Nazib Johari bagaimana pun berkata Haziq memaklumkan bahwa individu dalam video fitnah dan video pengakuan itu bukan dirinya.
Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali juga menafikan pembabitannya dalam video itu dan menyifatkan ia sebagai komplot jahat untuk memusnahkan kariernya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73584