Dalam pengakuan awalnya semalam, Haziq Aziz mendakwa hubungan sejenis antara beliau dengan Azmin Ali sebagaimana yang terdedah dalam video yang tersebar luas itu adalah berlaku di bilik menteri terbabit di sebuah hotel di Sandakan, Sabah.
Katanya, kejadian itu berlaku pada 11 Mei ketika musim kempen PRK Sandakan.
Ketika itu, persoalan yang timbul ialah siapakah yang membuat rakaman dan meletakkan kamera tersembunyi di bilik Azmin?
Memandangkan kedudukan Azmin sebagai seorang menteri, bukanlah suatu tugas mudah untuk meletakkan kamera di bilik beliau itu dan tidak mungkin orang biasa mampu melakukannya.
Biasanya kerja-kerja begitu hanya mampu dilakukan oleh polis cawangan khas atau SB saja.
Tetapi, jika benar SB yang terlibat dalam perkara itu, siapakah yang mengarahkan mereka berbuat demikian?
Adakah ia atas arahan Perdana Menteri?
Namun, persoalan lain ialah bukankah Azmin merupakan pemimpin kesayangan Tun Mahathir Mohamad dan untuk apa intipan seperti itu dilakukan terhadapnya?
Bagaimanapun, dalam pengakuan terbaru Haziq, selain beliau menyebut perlakuan seranjang dengan Azmin di Sandakan bukanlah yang pertama kali berlaku, bahkan telah bermula sejak tiga tahun lalu, beliau juga menyebut tentang “kegilaan” Timbalan Presiden PKR itu membuat rakaman aksi-aksi seksnya.
“Pertama kali di Grand Continental Kuching, tiga tahun lalu, kemudian di Pullman Kuching semasa Pemilihan Parti (PKR) pada Oktober tahun lalu.
“Kami sekali lagi melakukannya di Hotel Grand Hyatt KL semasa tugasan Azmin selaku Menteri Pengiring kepada Sultan Brunei pada Mac tahun ini dan bulan lalu di Fourpoint Sandakan,” katanya.
Haziq seterusnya berkata, beliau begitu kecewa dengan Azmin yang dipandangnya tinggi tetapi menyedari timbalan presiden PKR itu adalah “lelaki yang sakit” kerana tergamak merakamkan video aksi seks atas ranjang mereka sebagai koleksi peribadi.
“Saya sedari kamu “lelaki yang sakit” kerana hanya kamu yang yang boleh merakamkan video-video itu sebagai koleksi peribadi selepas menjemput saya ke bilik hotel pada semua kejadian,” katanya.
Berdasarkan pengakuan Haziq ini, adalah jelas rakaman video itu dibuat oleh Azmin sendiri sebagai koleksi peribadinya dan bukan melalui penglibatan mana-mana pihak seperti SB dan sebagainya.
Tetapi, jika ia sekadar untuk koleksi peribadi, bagaimana ia boleh tersebar?
Untuk mengatakan Azmin sendiri mengedarkannya tentu saja agak mustahil kerana ia seperti beliau membunuh dirinya sendiri.
Lalu, siapa yang menyebarkannya?
Adakah ia dilakukan oleh mereka yang rapat dengan Azmin sendiri yang boleh menerobos gajet-gajet miliknya?
Siapakah mereka itu?
Soalan tambahan di sini ialah, apakah rakaman video itu hanya dilakukan ketika Azmin bersama Haziq saja atau mungkinkah, jika ada perlakuan seks sejenis dengan lelaki lain berlaku sebelum ini, ia turut dirakamkan juga?
Banyak mana koleksi video ada dalam simpanan Azmin?
Mahu tidak mahu, nampaknya dalam hal ini pihak polis tidak harus berlengah lagi dan perlu untuk menyoal-siasat Azmin dengan kadar yang segera, selain perlu mendapatkan keterangan lebih detail daripada Haziq berkaitan hubungan intimnya.
Rasanya lebih banyak akan “meletup” lagi selepas ini. (Shahbudindotcom 13/06/2019).