PRU 14 mungkin September 2017, PH berpotensi menang – Manogaran
Tindakan Umno melancarkan program ‘UMNO Bantu Rakyat’ sejak beberapa hari menunjukkan tarikh pilihan raya umum Ke-14 (PRU14) sudah semakin dekat dan berkemungkian besar akan diadakan pada tahun ini.
Demikian menurut Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran yang meramalkan PRU14 mungkin akan diadakan pada bulan September depan. Katanya, Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang tipis 50-50 untuk memenanginya berdasarkan pengkhianatan Pas yang mula berbaik-baik dengan Umno.
Bagaimanapun, kata Manogaran, Pakatan masih akan menang sekiranya kempen mereka memilih golongan sasar yang tepat dan BN kekurangan wang untuk merasuah pengundi pada PRU nanti.
“Kalau kita mulakan kempen sekarang, saya rasa optimis kita boleh menang. Saya langsung tidak percaya analisis yang kata BN akan mendapat kembali 2/3 majoriti kerusi Parlimen.
“Semua orang tahu kegagalan pentadbiran BN, isu 1MDB, kenaikan harga barang dan kos sara hidup. Justeru itu, adalah mustahil ada lagi orang yang ingin mengundi BN kecuali ahli-ahli tegar mereka sahaja.
“Rakyat biasa di seluruh Malaysia, golongan korporat, dan profesional pasti tidak mahukan BN,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Manogaran menegaskan PH perlu melakukan serangan balas ke atas setiap propaganda yang melemahkan mereka. Namun demikian, perkara utama yang perlu dilakukan ialah mencelikkan minda masyarakat di luar bandar dan kampung terhadap kerosakan yang telah berlaku kepada negara.
Mengenai PAS yang akan bertanding 100 buah kerusi Parlimen pula, beliau memberi amaran bahawa usaha itu boleh membahayakan PH. Walaupun Pas telah mensasarkan kemenangan untuk 40 kerusi, Manogaran menegaskan PH mungkin akan kalah tipis dalam 40 buah kerusi tersebut di mana terdapat pertandingan tiga penjuru.
“Namun dari bulan ini hingga September, PH ada masa untuk menyusun strategi. Kita perlu bergerak pantas sebab pihak musuh sudah memulakan aksi mereka.
“PH juga perlu menangkis isu-isu perkauman yang akan digunakan oleh pihak lawan untuk mengelirukan rakyat serta menunjukkan bahawa kita di PH berhasrat untuk mewujudkan satu Malaysia yang maju dan berwibawa, di mana berbilang bangsa boleh hidup dengan aman damai,” ujar beliau lagi.