Guan Eng sangkal dakwaan UMNO tentang tanah Island Hospital



GEORGE TOWN, 24 MEI: Penjualan tanah kepada Island Hospital Sdn Bhd adalah sejajar dengan harga yang ditentukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Persekutuan dan bukannya di bawah harga pasaran, tegas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Beliau berkata demikian menjawab dakwaan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid kononnya kerajaan negeri menjual tanah bagi pembinaan hospital itu di bawah harga pasaran.
Malah jelas Guan Eng, penjualan tanah tersebut dengan harga RM156.44 juta dengan pajakan 99 tahun adalah lebih tinggi dari cadangan jabatan persekutuan itu.
“Kita tidak menjual (tanah) di bawah harga (pasaran) semasa, tapi ikut harga Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, iaitu sebuah badan di bawah Kerajaan Persekutuan.
“Sekiranya Ketua Pembangkang (Datuk Jahara Hamid) masih tidak berpuas hati, beliau boleh buat kritikan ke atas Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.
“Elok berhentilah pembohongan. Kita ikut apa harga yang mereka (Jabatan Penilaian) tetapkan,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah dalam sidang media sebagaimana yang  dilapor Buletin Mutiara.
Dalam suratnya bertarikh 13 Oktober 2015, Jabatan Penilaian telah menggariskan nilai pasaran bagi pegangan kekal berjumlah RM156,440,000 atau RM6,000 bagi setiap meter persegi; RM148,620,00 atau RM5,700 per meter persegi untuk pajakan 99 tahun; RM119,940,000 atau RM4,6000 per meter persegi untuk pajakan 60 tahun dan RM96,474,000 atau RM3,700 per meter persegi bagi pajakan 30 tahun.
Nilai pasaran yang dicadangkan di tanah seluas 6.443 ekar atau 26,074 meter persegi terletak di lot tanah bernombor 1449 Seksyen 4 Bandar George Town itu juga adalah munasabah dan terpakai bagi tempoh 12 bulan daripada tarikh kerja penilaian dilaksanakan, iaitu pada 3 September 2015.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah ialah Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. Bharathi. 

No comments: