SATU LAGI HARAPAN BARU....



Selang dua hari selepas Dialog TN50 di Seri Perdana yang menyaksikan berlakunya kejadian tampar oleh Mat Over terhadap David Teo, Tun Mahathir Mohamad meluangkan masa kira-kira selama setengah jam menjawab pelbagai persoalan dalam program "hangpa tanya, #chedet jawab"  yang disiarkan secara langsung melalui Facebook.

Pelbagai soalan ditanya dan semuanya dijawab dengan terang dan jelas oleh Tun Mahathir - daripada berkaitan Islam, Pas, hubungan kaum, dasar ekonomi, pelaburan China, 1MBD dan sampailah kepada cara beliau menjaga kesihatannya sehingga mampu kekal sihat di usia menjangkau 92 sekarang ini.

Meskipun semua  ulasan yang disampaikan Pengerusi Bersatu itu,  sebagaimana biasa, amat meyakinkan sesiapa saja yang mendengarnya, tetapi jawapan beliau mengenai 1MDB dilihat mampu memberi harapan baru buat rakyat untuk memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan.
Kata Tun Mahathir, pihaknya tahu siapa yang bersalah dalam skandal 1MDB dan akan memburu mereka sehingga ke depan pintu kediaman Perdana Menteri.

"Kita tahu di mana duit itu, dan kita akan cuba mengambil balik semua duit itu, walaupun sampai ke pintu Najib,

"Kami (Pakatan Harapan) mungkin tidak akan dapat semua tetapi kami akan berusaha dapatkannya sebanyak mungkin,” kata Tun Mahathir lagi.

Seterusnya, selain berjanji tidak akan membenarkan wujud satu lagi skandal mirip 1MDB, Pakatan Harapan juga tambahnya, akan mencari jalan penyelesaian yang mampu menghalang kehilangan wang negara sepertimana berlaku dalam 1MDB dan Bandar Malaysia.

Tidakkah jaminan itu menggembirakan kita?

Jika semua orang sedar bahawa skandal 1MDB inilah punca segala kesulitan rakyat seperti pemansuhan banyak subsidi, perlaksanaan cukai GST dan negara akhirnya terperangkap menjadi "pengemis" kepada China, mereka tentunya mahu melihat akhirnya semua yang terlibat dalam skandal kewangan itu dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

Maka, berpegang kepada janji Tun Mahathir itu, memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan adalah sesuatu yang logik, munasabah dan mampu membawa kebaikan kepada kehidupan rakyat sendiri.

Ini kerana, selepas negara dipulihkan, wang yang hilang dikembalikan dan tiada lagi kehilangan wang berlaku, kehidupan rakyat dengan sendirinya akan jadi lebih baik berikutan negara tidak lagi ketandusan wang dengan banyak subsidi boleh dikembalikan serta GST dimansuhkan secara beransur-ansur.

Sebaliknya, mengekalkan lagi Najib, UMNO dan BN terus di persada kuasa, bukan saja menyebabkan  skandal 1MDB itu akan disimpan di bawah permaidani nan indah, malah penghapusan subsidi, pengenaan cukai GST dan menyerah lebih banyak tanah kepada China,  lebih mungkin akan terus berleluasa.

Sudahnya, sementara Jho Low dan rakan-rakannya terus bebas merdeka, malah barangkali juga bertambah kaya, rakyat biasa dan makcik-makcik Felda akan bertimpa-timpa lagi sengsara kehidupan mereka.
Semua keajaiban memulihkan negara ini hanya boleh dilakukan oleh Tun Mahathir bersama pasukan Pakatan Harapan yang selama ini mempunyai rekod cemerlang dalam membawa kemajuan dan memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, portal Malaysiakini telah membuat undian secara maya untuk menilai sama ada Tun Mahathir perlu dikembalikan menjadi Perdana Menteri atau sebaliknya.

Sehingga petang tadi, didapati sebanyak 68 peratus pengundi setuju beliau patut dinamakan sebagai Perdana Menteri untuk menggantikan Najib.

Bermakna, semakin banyak jawapan mengapa pengundi-pengundi PRU 14 harus kekal berpadu tenaga untuk menjadikan kekalahan Najib, UMNO dan BN suatu kenyataan. (ShahbudinHusin 19/05/2017).

No comments: