Sarawak: Cemas dengan DAP, Alfred Jabu arah segera baiki jalan

17 Mac 2016

BETONG, 17 MAC: Gara-gara cemas dengan pasukan DAP Betong dan Impian Malaysia yang sedia membantu penduduk rumah panjang Jelau Atas membaiki laluan masuk kampung mereka, Barisan Nasional terpaksa mengarahkan tindakan segera membaiki laluan berkenaan yang daif dan tidak dipedulikan.
Kawasan yang berada dalam Dewan Undangan Negeri Layar itu diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu, selama sembilan penggal, namun masih banyak jalan dan laluan masuk berada dalam keadaan tidak sempurna dan sebahagiannya hanya sesuai dilalui kenderaan pacuan empat roda.
Menurut Pengerusi DAP Betong, Gerald Roger Anding, masalah itu telah lama diadukan tetapi tidak mendapat layanan dari kerajaan dan wakil rakyat kawasan berkenaan sehinggalah penduduk rumah panjang itu meminta bantuan DAP.
“Apabila penduduk meminta bantuan kami (DAP) dan pasukan Impian Sarawak, kami bersetuju untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan jalan itu.
“Apabila kami mahu memulakan projek berkenaan pada 14 Mac lalu, entah bagaimana berita itu sampai ke pengetahuan Alfred Jabu, beliau segera adakan mesyuarat dengan Ketua Jelau Atas pada 14 Mac itu juga dan berjanji kerajaan akan membaiki laluan mereka,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan maklumat dari tuai rumah, Ngumbang, Jabatan Pertanian telah diarahkan untuk melakukan kerja-kerja membaiki laluan tersebut yang akan bermula bila-bila masa sahaja dari sekarang.
Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Sarawak itu berkata, DAP betong telah mengadakan pula mesyuarat dengan penduduk rumah panjang dan mereka menzahirkan rasa gembira kerana DAP telah berjaya membantu masalah mereka.
“Mereka gembira kerana kerajaan akan menyelesaikan masalah mereka.Tanpa kehadiran DAP, tidak mungkin akan ada respon segera dari kerajaan.
“Saya akan memantau sendiri secara dekat sehingga laluan jalan tersebut siap dibaiki sepenuhnya untuk memastikan Alfred Jabu berpegang kepada janji yang diberikan kepada penduduk rumah panjang,” katanya.
Tambah Gerald, kerajaan negeri membelanjakan jutaan ringgit peruntukan bagi membaiki dan menaiktaraf infrastruktur jalan namun masalah itu tidak pernah selesai.
“Pada tahun 2015 sahaja, sekurang-kurangnya RM15 juta dana Pembangunan Luar Bandar (Minor Rural Projects-MRP) diperuntukkan kepada setiap kawasan di Sarawak.
“Rumah panjang di sini (Layar) sepatutnya mendapat RM100,000 dana MRP pada tahun lalu tetapi tiada sebuah rumah panjang pun yang dapat,” jelasnya. – Roketkini.com

No comments: