AMK desak polis tahan Jamal, Armand atas tuduhan jenayah
Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos dan EXCO Pemuda UMNO, Armand Azhar.
Setiausaha AMK Chang Lih Kang berkata, dua individu itu telah melakukan kesalahan vandalisme dengan melekat sekeping kain rentang di atas papan tanda milik kerajaan tempatan (PBT) dan mengasari seorang Pegawai kepada Ahli Parlimen Batu, Rozan Azen Mat Rasip.
Tambahnya, Jamal dan Armand juga mengancam akan membakar papan-papan tanda sekiranya gambar bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak diturunkan dalam tempoh tujuh hari yang terbukti menyalahi undang-undang dengan kesalahan “menakutkan secara jenayah”.
“Pihak polis harus menahan mereka dengan serta-merta. Kegagalan pihak polis untuk mengambil tindakan akan menyebabkan rakyat kehilangan kepercayaan terhadap institusi penguatkuasa ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja bagaimanapun berkata, perbuatan samseng pemimpin UMNO hanya sandiwara untuk mengaburi mata rakyat jelata mengenai skandal yang dikaitkan dengan Presiden UMNO
“Dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang, tiada sesiapa yang harus diberi kekebalan. Jamal Yunos dan Armand Azhar telah melakukan beberapa kesalahan jenayah yang jelas,” katanya.
Beliau menambah, pihakya akan memantau kes ini dan memastikan orang yang bersalah dihadapkan ke muda pengadilan.