ANWAR SELALU DIKHIANATI?






Ketika Mahathir Mohamad mengunjungi Anwar Ibrahim di mahkamah pada 2016 yang menandakan berdamainya kedua-dua pemimpin itu sejak bermusuhan pada 1998, tidak ada yang meragui atau mempertikaikan keperluan beliau dikunjungi.

Ketika hubungan Mahathir bertambah mesra dengan keluarga Anwar, khususnya dengan Dr Wan Azizah dan Nurul Izzah, sementara Anwar sunyi sendiri di penjara, rata-rata yang gembira dan mengucap syukur bukan kepalang jumlahnya.

Ketika nama Anwar dinamakan secara konsensus oleh PH sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 selepas Mahathir yang kemudian secara terbuka menyebut beliau hanya perlu dua tahun memegang jawatan itu, tidak kedengaran sesiapa bersuara membantahnya.

Ketika Anwar dibebaskan dan keampunan penuh daripada Yang Dipertuan Agong dipohon buatnya, juga tidak ada yang melihatnya sebagai tidak wajar atau tindakan tergesa-gesa oleh sebuah kerajaan yang baru berkuasa.

Tetapi, sebaik saja beliau memutuskan bertanding di Port Dickson untuk kembali menjadi Ahli Parlimen dan menjelang setahun Mahathir memegang kuasa sebagai Perdana Menteri sebelum sepatutnya melakukan peralihan kuasa pada Mei 2020, entah kenapa, tiba-tiba saja macam-macam suara kedengaran tanpa disangka.

Anwar bukan saja dipertikaikan kerana dilihat gopoh mahu mengambil alih jawatan Perdana Menteri, malah kedengaran pula suara yang mahu Mahathir berkhidmat sampai tamat penggal PRU14 iaitu sehingga tahun 2023.

Kemudian, suara yang bercampur-campur itu berkembang lagi dengan dakwaan menuduhnya tidak layak menjadi Perdana Menteri atas pelbagai cerita yang direka-reka serta kononnya gagal mendamaikan parti sendiri.

Semakin dekat detik Anwar mahu diberikan janji mengambil alih jawatan Perdana Menteri sebagaimana yang sudah dimetrai, terlihat semakin ramai juga yang mahu menolak dan mengasaknya ke tepi.

Pendek kata, selain musuh yang nyata yang ingin menolaknya, satu demi satu rakan dan mereka yang pernah bekerja dengannya turut sama mahu mengkhianatinya.

Kenapa semua ini berlaku?

Apa yang mereka tidak suka bila Anwar jadi Perdana Menteri?

Dan apa yang mereka tiba-tiba jadi suka kepada Perdana Menteri sedia ada?

Seiiring dengan itu, mengimbas detik-detik lalu, ini bukanlah kali pertama sebenarnya Anwar dikhianati sebaik makin dekat kakinya menggapai kerusi Perdana Menteri.

Ketika dalam Umno, walaupun sudah berjawatan Timbalan Presiden parti dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu serta hanya selangkah lagi untuk menjadi pengganti, beliau tiba-tiba dikhianati oleh mereka yang sebahagiannya adalah rakan-rakannya sendiri dengan pelbagai fitnah yang mengaibkan sehingga dipecat, dipukul setengah mati dan akhirnya dipenjara.

Dalam era reformasi kemudiannya di mana ramai yang berjanji, tidak kurang sebahagian besarnya telah mungkir janji dan lari meninggalkannya seorang diri.

Yang lari dan mungkir janji itu rata-ratanya adalah mereka yang pernah ditolong dan dijadikannya kaya raya, bukan yang miskin atau daripada kalangan kais pagi makan pagi.

Namun, dengan sokongan mereka yang setia dan percaya kepada perjuangan reformasi, walaupun pada suatu ketika KEADILAN hanya tinggal satu kerusi iaitu Permatang Pauh yang dimenangi oleh isterinya, Anwar tidak pernah patah hati dengan semua yang menimpanya.

Sehinggalah beliau kemudian dibebaskan pada 2004 oleh Mahkamah Persekutuan atas kesalahan liwat pertama, bersama kelemahan pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi, gerakan kempennya pada PRU 2008 nyata membuahkan hasil apabila BN hilang majoriti dua pertiga serta lima negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat atau ringkasnya PR.

Berbekalkan arus perubahan itu, PRU 2013 adalah medan yang sangat terbuka untuk Anwar memimpin PR menumbangkan BN dan seterusnya menjadi Perdana Menteri.

Malangnya, menjelang hari-hari terakhir sebelum hari mengundi, beliau tiba-tiba dikhianati oleh Pas yang menolaknya sebagai calon Perdana Menteri.

Pas sebaliknya mahu mengangkat Tengku Razaleigh Hamzah, pemimpin Umno yang bertanding atas tiket BN sebagai calon Perdana Menteri pilihan mereka.

Anwar tidak pernah patah semangat dengan pengkhianatan itu dan meneruskan perjuangan menghadapi PRU 2013 sehingga akhirnya, walaupun BN gagal ditumbangkan, jumlah kerusi PR bertambah tujuh kerusi berbanding PRU 2008 serta menang dari segi undi popular.

Hanya ketika di dalam penjara barangkali beliau agak kurang dikhianati, meskipun di waktu itu ramai juga yang keluar meninggalkan KEADILAN kerana banyak ditawarkan sesuatu yang menarik hati.

Kini, setelah setahun PH berkuasa dan sepatutnya laluan beliau menjadi pengganti Mahathir semakin mudah serta tiada masalah kerana asas pemilihannya sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 adalah konsensus PH, sekali lagi bertimpa-timpa muncul mereka yang cuba mengkhianatinya.

Daripada rakan parti, kawan dalam gabungan, mereka yang pernah bekerja serta makan semeja dengannya dan pelbagai kelompok lainnya, tak termasuk musuh lamanya, ternampak tidak henti-henti percubaan mahu menyekat daripada menjadi Perdana Menteri.

Apa lagi mereka ini mahu agaknya?

Tidak bolehkah semua orang menerima Anwar seadanya, bukan saja kerana sudah ada konsensus memilihnya yang telah dipersetujui sebelum PRU14 lagi, tetapi juga mengambil kira pengorbanan, derita dan jasanya mewujudkan gabungan parti-parti untuk melawan BN sejak 20 tahun lalu?

Lagi pun, selain Anwar, siapakah lagi yang lebih layak dan diterima oleh semua parti dalam PH sebagal bakal Perdana Menteri ke-8?

Dan kalau bukan Anwar, mereka mahu siapa sebenarnya untuk jadi pengganti Mahathir?

LIMA KEMENTERIAN AKAN MENUKAR PEGAWAI KANAN

PH AKAN TUNAI SEMUA JANJI MANIFESTO SELANGOR

Jin, banjir dan akui takut dengan Had.Tapi Marang tetap banjir





KUALA LUMPUR – Seorang bomoh pengamal perubatan alternatif  mendakwa salah satu punca banjir teruk di Kelantan melibatkan kerja jahat jin.

Pengusaha Pusat Rawatan iLahana,  Sa’ad Ja’afar mendakwa beliau dan rakannya telah ‘menangkap’ sekumpulan jin berkenaan baru-baru ini dan menyeksa salah seorang ketua mereka.

Hasil dialog dengan entiti itu, ketua jin akhirnya mengaku memburukkan lagi keadaan bencana alam di Kelantan itu semasa musim tengkujuh ini.

Menurut Sa’ad, rupa ketua jin ditangkap itu tinggi, berjubah putih, bongkok dan tangannya panjang yang didakwa digunakan bagi mengepung dan menolak air supaya menjadi banjir.

Jin itu dikatakan berusia 213 juta tahun.

Dalam pada itu, Sa’ad mendakwa ketua jin yang mengaku sengaja memburukkan lagi keadaan banjir supaya manusia bercelaru seterusnya mereka mendapat perhatian daripada ketua mereka iaitu Dajjal.

Malah ketua jin mengakui faktor mahu berbuat demikian kerana Kelantan sebuah negeri yang banyak kebaikan termasuk didakwa bersungguh-sungguh mengikut ajaran Islam.

Malah dalam sesi dialog yang sama, ketua jin juga mendakwa negeri yang paling sedikit kebaikannya ialah kawasan Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Sa’ad juga menanyakan soalan berkaitan dengan ahli politik termasuk Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad kepada jin berkenaan.

Jin tersebut mendakwa golongannya tidak terkesan dengan Mahathir dan mendakwa Presiden PKR,  Anwar Ibrahim pula telah ‘dipermainkan’ namun tidak mengulas lanjut mengenainya.

Bagaimanapun, jin berkenaan mengaku menyukai Mohamad Sabu kerana mendakwa Presiden Amanah itu suka mendengar bisikan mereka.

Mengenai Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula, jin berkata pemimpin DAP itu tidak akan dapat menghancurkan umat Islam tetapi yang hancur adalah dirinya sendiri.

Berbeza dengan Tuan Haji  Abdul Hadi Awang, jin berkenaan mengakui gentar dengan dengan Presiden Pas itu.

Menurutnya, cadangan dari  Tuan Abdul Hadi banyak akan menyusahkan golongan mereka di kemudian hari.

Soal jawab antara Sa’ad bersama jin yang didakwanya itu dimuatkan dalam blognya, PakarTangkapJin.blogspot.com.

Sa’ad berkata, pengakuan jin itu dilakukan semasa proses soal jawab dan dalam keadaan mahkluk berkenaan dalam keadaan terseksa.

Bagaimanapun, katanya, ia merupakan pandangan jin dan bukan satu ketetapan kerana segala-galanya ditentukan Allah.

“Dalam hal ini, mungkin ada orang yang sukar mempercayainya namun kita harus sedar ilmu Allah itu sangat luas,” ujarnya ketika dihubungi hari ini. 

AZMIN DAN ZURAIDA BILA LAGI?



Bekas Naib Presiden UMNO, Hishammuddin Hussein sah sudah diberikan surat tunjuk sebab berhubung pertemuannya bersama sekumpulan Ahli Parlimen UMNO dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.
Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Apandi Ali mengesahkan perkara tersebut.
Beliau dikehendaki menjawab surat tunjuk sebab itu sebelum 26 Disember ini.
Bekas Menteri Pertahanan itu didakwa melakukan kesalahan berkaitan “tidak mengikut perintah parti, tidak menjalankan dasar parti, serta tidak menjaga nama baik dan maruah parti” berikutan pertemuan yang dikatakan diketuainya dengan Azmin itu.
Ketegasan UMNO dalam hal ini bolehlah diberi pujian, meskipun kesalahan Hishammuddin tidaklah begitu besar jika dibandingkan dengan salah laku Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin terhadap PKR.
Berbanding Hishammuddin yang diberikan surat tunjuk sebab kerana mengadakan pertemuan dengan pihak lawan tanpa kebenaran parti, Azmin sebaliknya telah menerima sekumpulan musuh datang ke rumahnya, juga tanpa pengetahuan PKR dan PH, malah menawarkan projek puluhan juta kepada Ahli-Ahli Parlimen UMNO itu.
Siapakah yang lebih besar salah lakunya?
Lebih daripada itu, Azmin bersama Zuraida juga telah secara terbuka mengkritik, mencerca dan menghina Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR dalam majlis jamuan Wawasan Kemakmuran Bersama di Hotel Renaissance pada 8 Disember lalu.
Sebelum itu, kedua-dua pemimpin tersebut turut kerap kali mengeluarkan kenyataan media mengkritik Anwar dan PKR serta secara sengaja tidak hadir mesyuarat parti selama lebih setahun lamanya.
Bila lagi Lembaga Disiplin mahu mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Azmin dan Zuraida? (ShahbudinHusin 16/12/2019)

HISHAM KENA BILA NAJIB KENA.



Sedikit info mengenai Ustaz Hishamuddin Hussein yang diarahkan mengadap Lembaga Displin UMNO..

Date mengadap : 26 Dis 2019.
Dakwaan :

1.  Melanggar arahan dan tata etika sebagai ahli parti.
2.  Menjadi Mastermind memujuk MP UMNO menyokong PAKATAN HARAPAN..

KE MANA HALA TUJU DAN MASA DEPAN POLITIK AZMIN ALI*



OLEH: aBDUL rAUF



Azmin Ali, satu nama baru dlm kubang politik tanah air. Nama beliau muncul selepas nama Ezam Md. Nor, Mustaffa Kamil Ayub, Nurul Izzah Anwar berada dalam dokongan politik parti Keadilan yg asasnya adalah dari penderitaan seorang insan bernama Anwar Ibrahim.
Azmin bukanlah terserlah bakat politik peribadinya. Aura Ezam, Mustaffa Kamil jauh lebih ke depan, berbanding kecerdasan politik Azmin.
Nama Azmin kemudiannya muncul dan dikenali setelah Parti Keadilan Rakyat mendapat perhatian dan sokongan rakyat serta pengundi di Malaysia. Tanpa PKR, Azmin bukanlah nama yg dikenali sebelum ini.
Azmin mula menunjukkan keghairahan politiknya apabila mencengkam jawatan sebagai Menteri Besar Selangor selepas dengan rakus menolak TS Khalid Ibrahim dan menggagalkan usaha mengangkat DS Wan Azizah sebagai MB Selangor. Kelihatan Azmin ketika itu "kill two birds with one stone".
Azmin bertapak di Selangor setelah ekonomi Selangor disusun dengan cemerlang oleh TSKI. Beliau begitu pemurah dgn ramai rakyat penagih projek dan menaburkan wang negeri Selangor untuk beliau mendapat laba politik.
Kekuatan Azmin banyak bergantung kepada tabung kewangan TSKI yg begitu kukuh di Selangor. Azmin mengambil kesempatan atas kekuatan itu untuk membina kekuatan politik peribadi beliau.
Pergolakan politik Selangor juga memihak kepada Azmin apabila 2 ADUN PAS menyokong PKR ketika itu. Tetapi Azmin masih memelihara PAS dlm kerajaan Selangor. Mungkin Azmin tiada keyakinan diri terhadap kekuatan peribadi beliau di dalam PKR serta beliau sangat berharap PAS dapat menyokong beliau untuk memenangi PRU. Kelihatan, Azmin tiada maklumat di peringkat grass-root.
Kekuatan PH di peringkat nasional diragui oleh Azmin dengan beliau terus bersekutu dengan PAS di Selangor. Beliau juga tidak yakin kpd UMNO untuk memberikan sokongan kpdnya secara peribadi.
Apabila PH menamakan Tun M sebagai calon PM jika PH menang PRU-14, Azmin adalah orang yang paling kuat menentang keputusan itu dan kemudiannya disambut oleh Hj Hadi yang membawa suara PAS.
Pada masa ini, Azmin dan PAS kelihatan seirama, tapi tidak pasti mereka menari atas gendang siapa. Kemenangan PH kemudiannya mengangkat Azmin sebagai MB Selangor sekali lagi. Kenapa Tun M membiarkan Azmin menjadi MB sedangkan Tun M dah ada perancangan untuk mengangkat Azmin sebagai ahli kabinet beliau. Ini perlu diteliti dengan sempurna.
Tak berapa hari Azmin menjadi MB, beliau dibawa ke nasional oleh Tun M. Maka berlaku kekosongan jawatan MB Selangor. Azmin secara peribadi tanpa ada konsensus dari pimpinan parti PKR menamakan calon MB pilihannya. Walhal PKR telah bersepakat untuk mencalonkan nama Dr. Idris sebagai MB. Berlaku sekali lagi pintasan pintu belakang oleh Azmin atas muafakat PKR. Azmin kelihatan berleluasa setelah PRU-14. Rakyat memerhati gelagat rakus Azmin.
Azmin terus menyusun langkah dengan mencabar kepimpinan PKR, beliau tidak hadir ke mesyuarat parti. Azmin banyak menggunakan rundingan peribadi berbanding keputusan mesyuarat.
Langkah beliau menjemput beberapa MP kerumah beliau pada mlm hari telah juga dikesan oleh ramai pengkritik politik. Kini MP Kuala Kangsar telah mendedahkan antara hasil perbincangan yg dibuat pada mlm tersebut. Sebagaimana di Selangor, Azmin kini sedang berkayuh dengan rakus menjarah taburan ekonomi melalui projek dlm perbincangan yg tidak resmi.
Azmin telah mendapat perhatian dari rakyat atas kerakusan ini. Tetapi beliau kemudiannya beberapa hari sebelum kongres PKR di Melaka telah berusaha menemui Presiden PKR. Perbincangan tersebut mencipta satu formula yg membolehkan Azmin berada di pentas kongres.
Ramai penyokong parti curiga terhadap sikap Azmin dan merasa kecewa atas keputusan Presiden PKR. Tetapi ahli PKR lebih mengutamakan muafakat dlm PKR serta menghormati hirarki parti. Keputusan Presiden perlu dijunjung, keputusan peribadi tetap dikendong.
Apabila kongres bermula, beberapa suasana telah "membenarkan" andaian penyokong PKR. Konco-konco si-Kitol telah menjelmakan wajah sebenar mereka. Kemuncaknya pada hari Sabtu, Azmin telah membawa keluar lebih kurang 70 perwakilan dari dewan kongres. Seterusnya dengan megah mengadakan sidang akhbar dan menyerang susuk peribadi Presiden parti. Ternyata Azmin kini sedang "beraja di mata bersultan di hati".
Apakah kesan dari semua tindakan Azmin ini. Mungkinkah...
1. Azmin akan bertanding merebut jawatan Presiden parti dalam pemilihan akan datang,
2. Keluar dari parti dengan penyokong beliau dan menubuhkan parti baru,
3. Keluar dari parti dan menyertai parti yg beliau fikir mahukan beliau menjadi pemimpin, atau
4. Terus kekal dalam PKR menjadi pengikut yg setia kpd parti.
RUMUSAN
Jika Azmin mahu bertanding jawatan Presiden parti, Azmin perlu menentukan sokongan akar umbi mesti berada dengan beliau. Ini sudah pasti TIDAK MUNGKIN kerana ahli parti lebih setia kpd parti dan Presiden parti. Kuasa wang Azmin tidak akan berjaya menukar prinsip perjuangan rakyat yang mahukan REFORMASI.
Jika beliau memilih pilihan kedua, menubuhkan parti baru. Saya yakin parti Azmin hanya mampu bertahan sehingga PRU-15. Ini kerana Azmin tiada prinsip perjuangan sebenar dan tiada jatidiri. Parti S46 yg ada asas sokongan untuk Tengku Razaleigh yg juga didokong oleh beberapa bekas Menteri pun hanya bertahan beberapa tahun. Walhal Ku Li lebih kuat pengaruhnya di kalangan orang Melayu ketika itu. Maka ia hanya angan2 Azmin semata-mata.
Jika ia memilih utk bersama parti lain, tapi dengan parti mana?
i. PAS, sudah pasti PAS menerimanya, tapi Azmin mesti melalui proses biasa di dalam PAS. Azmin perlu menggunakan kebijaksanaan beliau memenggal tokoh2 PAS untuk beliau segera berada di atas. Ini tidak mungkin
ii. Menyertai BERSATU, mungkin ini agak baik sebab prinsip perjuangan Azmin berjuang utk bangsa. Cuma TS Muhyidin berada di situ. Tak mungkin ahli membenarkan Azmin melangkah beberapa tokoh dlm BERSATU. Mukhriz juga ada di situ. Kini Azmin ditemplak lagi apabila Ezam diterima menjadi Ahli bersatu. Azmin tak mampu lama menjadi ahli biasa parti. Azmin pasti kecundang bila berada dalam BERSATU.
iv. Jika Azmin memilih langkah ke-4, setia ke hujung nyawa bersama PKR. Ini mungkin berlaku, setidak-tidaknya jasa Azmin dalam PKR masih dihargai. Tetapi Azmin bukan seorang yang setia. Azmin seorang yang rakus dipacu oleh nafsunya. Selalunya Azmin akan dibelasah apabila beliau ingin mengikut nafsu beliau. Beliau selalu lupa beliau masih mentah berbanding tokoh politik yg lain.
Azmin adalah laksana seorang kucing yang dipelihara oleh sekeluarga harimau. Harimau tersebut cuba meyakinkan bahawa kucing itu adalah sehebat harimau. Tetapi kenyataannya kucing tetap seekor kucing. Ia tidak boleh menjadi harimau, malahan beliau mungkin akan diratah oleh helang yg berterbangan mencari mangsa.
Azmin sedang menganjakkan "titik" dengan mencipta "koma". Ayat politik Azmin tidak akan menjadi ayat yang baik jika terlalu banyak "koma"...
Bunga Raya Bunga Kebangsaan.

MENJAWAB HUJAH NAJIB TENTANG ISU ALTANTUYA



Najib tiba2 gabra, gelabah dan panik apabila tanpa disangka akhirnya Azilah mengemukakan akuan bersumpah tentang tragedi pembunuhan Altantuya.  

Najib, seperti biasa cuba untuk menyembunyikan paniknya apabila menyatakan kalau beliau begitu zalim sehingga sanggup mengarahkan Altantuya dibunuh seperti yang dinyatakan di dalam akuan bersumpah Azilah Hadri, mengapa semua pemimpin pembangkang ketika itu baik-baik belaka, ertinya tidak dizalimi?  Itukah hujah Najib?  Apa kena mengena pemimpin Pembangkang dengan kes Altantuya yang dikatakan ada hubungan dengan Razak Baginda, iaitu kawan rapat Najib?  Apa kaitan dua orang pegawai Polis pengiring Najib yang didakwa membunuh Altantuya  dengan Pembangkang waktu itu?  Itu bukan hujah penafian, wahai Najib.  

Najib berkata lagi, Azilah pernah buat pengakuan dan bersumpah bahawa Najib tidak terlibat di dalam kes Altantuya.  Tapi Najib lupa, pengakuan itu dibuat ketika Najib jadi pemimpin besar di dalam  kerajaan.  Itu tak pelik.  Bekas Peguam Negara, Apendi dulu pun pernah mengesahkan Najib tidak terlibat di dalam kes 1MDB.  Waktu itu Najib jadi PM.  Pelik ke?  Najib sendiri pernah bersumpah tidak kenal Altantuya dan Jho Low, waktu itu Bn masih kerajaan.  Pelik ke?

Apabila Najib sudah hilang kuasa, pelikkah kalau orang yang selama ini takut untuk bercakap benar akan berani bercakap benar sekarang? 

Usahlah Najib gunakan alasan bahawa kes Altantuya akan dibuka semula adalah kerana kerajaan mahu penjarakan beliau.  Tanpa kes Altantuya pun terlalu banyak alasan untuk undang-undang memenjarakan beliau.  Cuma, kerajaan bawah PH akan menghukum mengikut undang-undang bukan seperti kamu dahulu.  Maka, tegakkan hujah kamu di mahkamah dan sila buktikan bahawa sememangnya kamu tidak kenal, tiada hubungan sedikit pun dengan kes Altantuya.  Itu lebih baik dari kamu merapu dan mengarut akibat kepanikan kamu.  

WFAUZDIN NS


BILA PM SENTUH BAYARAN PENCEN YANG MEMBEBANKAN, NETIZEN MENJAWABNYA.




Assalamu'alaikum... bila YAB PM menyentuh beban kewangan yg semakin besar perlu ditanggung kerajaan utk emolumen dan bayaran pencen... ramai netizen memberi ulasan.... di antara ulasan yg tepat dan terbaik yg saya baca ialah....

Benar Tun!

Pencen paling membebankan sebenarnya kepada politikus bergaji besar (malah elaun lebih tinggi dari gaji!) seperti jawatan PM, TPM, MB, KM, Menteri, Exco, Ahli Parlimen dan Ahli DUN.

Mohon mereka dinyahsenaraikan sebagai penjawat awam dan dinyahkelayakan daripada menerima skim pencen kerana dgn hanya memegang jawatan 60 bulan... dah layak terima pencen penuh... berbanding KTA yg perlu bekerja 240 bulan utk layak pencen... 

Cuba Tun lihat contoh emolumen untuk Menteri kabinet sahaja seramai 25 orang:

1) Gaji Pokok = RM18,000
2) Elaun Kerainan = RM10,500
3) Elaun Perumahan = RM10,800
4) Elaun Wakil Rakyat = RM10,650
5) Elaun Parkir = RM5,700(Merika bukan bayar pun pakir kenderaan tu, sbb dah free pun klau dtg dgn kenderraan rasmi,kelentong ajee)

JUMLAH KESELURUHAN = RM55,650

Kerajaan juga membayar emolumen RM16,000 sebulan kepada 222 Ahli Dewan Rakyat dan RM11,000 sebulan kepada 70 Ahli Dewan Negara.

Bayangkan setiap penggal (5 tahun sekali) wakil rakyat bertukar dan mereka semua panjang umur seperti Tun maka berapa kos pencen untuk bekas-bekas wakil rakyat ini?

Ini lebih membazir dan membebankan berbanding penjawat awam yang bergaji rendah seperti pembantu am gred 11 dengan gaji RM1,216 dan selepas berkhidmat lebih 30 tahun gajinya mati setakat RM2,983. Maka pencennya hanya setakat RM1,491.50 sebulan untuk 15 tahun (selepas berumur 60 tahun) jika mengambil kita jangka hayat rakyat Malaysia setakat 75 tahun.

Nota 1: Elaun Parkir kenderaan menteri lebih tinggi dari gaji Gred 44!

Nota 2: Jika gaji gred kakitangan kerajaan terendah RM1,500 termasuk elaun maka gaji seorang menteri bersamaan 37 orang pembantu am gred 11.

Politikus yg memegang jwtn atas lantikan pengundi... bukan membela nasib rakyat ttp membela nasib merrka sendiri... ini harus di betulkan... belum lagi di ambil kira mereka mengambil kesempatan ke atas lain2 peluang utk mengaut keuntungan....

Mohon viralkan supaya terbuka akal merika yg jumud tu.

AKUAN BERSUMPAH. AZILAH.


AKUAN BERSUMPAH

Saya, Azilah bin Hadri (No K/P: 1/14055) seorang warganegara Malaysia yang cukup umur dan merupakan seorang banduan akhir di Penjara Kajang dengan sesungguhnya dan sebenarnya berikrar dan menyatakan seperti berikut:-

(1) Saya telah dibicarakan dan disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi satu pertuduhan seperti berikut:-

"Bahawa kamu bersama-sama antara jam 10.00 malam 19 Oktober 2006 hingga jam 1.00 pagi 20 Oktober 2006 di antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja di dalam Daerah Petaling di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, dalam mencapai niat bersama kamu berdua, telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap ALTANTUYA SHAARIIBUU pasport no. E0217865 seorang warganegara Mongolia dan oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan seksyen 34 Kanun yang sama.”

(2) Di akhir perbicaraan, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap saya dan Tertuduh Kedua, Sirul Azhar bin Hj Umar ("Sirul"). Mahkamah Rayuan Malaysia kemudiannya telah melepaskan saya dan Sirul daripada sabitan salah di atas kerana kegagalan Pendakwa Raya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mahkamah Persekutuan walau bagaimanapun telah membenarkan rayuan Pendakwa Raya dan mendapati saya dan Sirul bersalah sepertimana di dalam pertuduhan sekali gus menjatuhkan hukuman gantung sampai mati.

(3) Saya bersumpah dengan Nama Allah SWT, Yang Maha Pemurah Iagi Maha Penyayang; bahawa saya, kini melalui hari-hari terakhir saya sebelum dihukum ke tali gantung, dan tanpa niat untuk menganiaya atau menyinggung mana-mana pihak, akan menyatakan perkara sebenar, sebenar-benar perkara, sepanjang pengetahuan saya, berkenaan pembunuhan Altantuya Shaariibuu, agar kebenaran dapat dizahirkan, semoga saya dapat menghadapi hukuman ini dengan hati nurani yang tenang dan dengan keredaan llahi.

(4) 17 Oktober 2006: Sewaktu satu tugasan rasmi di Kediaman Sri Kenangan, Pekan, Pahang, DSP Musa Safri ("DSP Musa"), seorang aide-de-camp kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada waktu tersebut iaitu Dato' Seri Najib Razak ("TPM") memanggil saya di hadapan rumah dan memberitahu bahawa TPM mahu berjumpa saya. DSP Musa beritahu bahawa ada tugasan yang akan dilakukan di Kuala Lumpur. Saya menanyakan kepada DSP Musa apakah tugasan tersebut. DSP Musa jawab, "Tugasan sulit melibatkan hal keselamatan negara."

(5) DSP Musa memaklumkan kepada saya bahawa tugasan di Kuala Lumpur tersebut adalah melibatkan kawasan di Bukit Damansara. Saya beritahu DSP Musa bahawa ianya adalah di bawah bidang kuasa IPD Brickfields. DSP Musa tanya adakah saya mengenali mana-mana pegawai di IPD Brickfields. Saya beritahu ada, iaitu Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, DSP Idris, kawan saya sewaktu di IPD Sepang semasa saya bertugas sebagai pegawai penyiasat.

(6) DSP Musa beritahu saya ada seorang lelaki iaitu pegawai khas TPM yang juga merupakan kawan TPM di kawasan Bukit Damansara yang menghadapi masalah ugutan. Saya mencadangkan kepada DSP Musa agar lelaki yang dimaksudkan tersebut membuat laporan polis agar pihak polis dapat jalankan siasatan lanjut dan saya akan hubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Brickfields untuk bantu.

(7) DSP Musa beritahu bahawa operasi sulit ini tidak boleh heboh dan diketahui umum. Saya memohon penjelasan beberapa kali daripada DSP Musa mengapa perkara ini tidak boleh diketahui umum dan kenapa tidak buat laporan polis. DSP Musa tidak dapat memberikan penjelasan. DSP Musa kemudiannya masuk ke dalam rumah dan lebih kurang 5 minit kemudian beliau datang semula kepada saya dan bawa saya untuk berjumpa TPM di dalam rumah.

(8) DSP Musa bawa saya berjumpa TPM di dalam satu bilik pejabat di dalam Kediaman Sri Kenangan dan DSP Musa kemudiannya keluar dari bilik tersebut. TPM menanyakan kepada saya sama ada saya kenal pegawai polis di IPD Brickfields. Saya mengiyakan. TPM beritahu kepada saya bahawa:-

(i) Seorang perisik asing dari negara luar kini berada di Kuala Lumpur dan cuba mengugut TPM dan pegawai khas TPM yang dikenali sebagai Razak Baginda ("Razak Baginda").

(ii) Pegawai khas tersebut merupakan kawan baik TPM yang mana saya pernah berjumpa dengannya sewaktu tugasan rasmi di London suatu ketika dahulu.

(iii) Perisik asing tersebut adalah seorang perempuan, amat berbahaya kerana banyak rahsia tentang keselamatan negara yang diketahuinya.

(iv) Perisik asing tersebut tidak dapat mendekati TPM kerana kawalan keselamatan yang ketat maka perisik asing tersebut membuat ugutan terhadap pegawai khas TPM tersebut.

(v) TPM arahkan saya untuk jalankan operasi sulit apabila saya pulang ke Kuala Lumpur nanti.

(vi) Saya perlu berhati-hati dengan perempuan perisik asing tersebut kerana beliau pandai berkata-kata dan penuh tipu helah — salah satunya adalah bahawa beliau sedang mengandung.

(9) Saya beritahu TPM bahawa satu laporan polis perlu dibuat berkenaan perkara ini dan kemudian saya akan minta bantuan daripada kawan saya di IPD Brickfields, namun ianya tidak dipersetujui TPM. TPM menyatakan bahawa perkara ini tidak boleh diketahui umum kerana ianya melibatkan ancaman kepada keselamatan negara. TPM kemudiannya mengarahkan saya untuk jalankan operasi sulit untuk tangkap dan hapuskan perisik tersebut dengan sulit dan musnahkan mayatnya. Saya bertanya kepada TPM apa yang dimaksudkan dengan tangkap dan hapuskan perisik asing tersebut dan TPM menjawab, "Shoot to kill," sambil menunjukkan isyarat memotong leher. Apabila ditanya berkenaan maksud musnahkan mayat perisik asing tersebut, TPM menjawab, "Lupuskan mayat perisik asing hilangkan kesan." Selepas berbincang berkenaan cara melupuskan mayat, TPM mengarahkan saya untuk meletupkan mayat perisik asing tersebut dengan bahan letupan.

(10) TPM mengingatkan saya supaya jalankan operasi sulit ini dengan berhati-hati dan dengan tahap kerahsiaan yang tinggi tanpa diketahui umum kerana ini melibatkan ancaman kepada keselamatan negara. Saya cadangkan agar perisik asing tersebut ditangkap dan diusir dari negara tetapi TPM tidak bersetuju. TPM memberitahu saya bahawa apa-apa perkembangan tentang operasi sulit ini dimaklumkan terus kepada beliau atau DSP Musa untuk dapatkan arahan dan tindakan lanjut. TPM juga mengarahkan saya untuk berjumpa dengan pegawai khas beliau di Kuala Lumpur bagi mendapatkan maklumat terperinci berkenaan perisik asing tersebut. TPM serahkan satu telefon bimbit Samsung berwarna putih kepada saya untuk tujuan saya berhubung terus dengan beliau. TPM juga mengingatkan saya bahawa telefon bimbit tersebut perlu dilupuskan selepas selesai operasi sulit.

(11) TPM tanya kepada saya, "Bila balik KL?" Saya jawab, "Esok." TPM kata, "Bila sampai KL, telefon pegawai khas saya. Musa ada beri nombor telefon dia?" Saya menggelengkan kepala. TPM kata, "Nanti pegawai khas saya akan beri arahan lanjut dan ikut apa arahan pegawai khas saya itu kerana semua arahan itu daripada saya." Saya mengiyakan sebelum keluar dari bilik tersebut. Perjumpaan dengan TPM tersebut adalah lebih kurang 5-10 minit. Sewaktu saya keluar dari bilik pejabat TPM, saya nampak DSP Musa sedang duduk di kerusi di luar bilik. DSP Musa bangun dan suruh saya tunggu di garaj luar dan saya nampak DSP Musa masuk semula ke dalam bilik pejabat TPM.

(12) Saya tunggu DSP Musa di garaj dan tidak lama kemudian DSP Musa datang ke arah saya dan terus memberikan nombor telefon pegawai khas TPM iaitu Razak Baginda. DSP Musa mengingatkan saya supaya hubungi Razak Baginda apabila balik ke Kuala Lumpur nanti. Saya maklumkan kepada DSP Musa bahawa saya tidak kenal Razak Baginda. DSP Musa menjawab bahawa saya pernah berjumpa dengan Razak Baginda sewaktu tugasan rasmi eskot TPM di London dahulu tetapi saya tetap tidak dapat ingat siapa yang dimaksudkan. DSP Musa kata beliau yakin saya akan kenal dan ingat bila jumpa Razak Baginda nanti.

(13) Selesai tugasan rasmi di Pekan dan sewaktu di TUDM Kuantan, TPM telah mengingatkan saya untuk berjumpa dengan kawannya iaitu pegawai khas beliau apabila pulang ke Kuala Lumpur, dan saya jawab, "OK." DSP Musa juga mengingatkan saya perkara yang sama. Pada malam tersebut, saya pulang ke Kuala Lumpur.

(14) 18 Oktober 2006: Pada waktu pagi sejurus sampai di Kuala Lumpur, saya hubungi nombor telefon Razak Baginda yang diberikan DSP Musa hari sebelumnya, tetapi salah nombor dan orang lain yang menjawab panggilan. Saya hubungi DSP Musa untuk beritahu perkara berkenaan dan DSP Musa berikan semula nombor telefon Razak Baginda kepada saya. Saya terus menghubungi nombor telefon tersebut dan apabila panggilan saya dijawab saya terus bertanyakan adakah orang yang saya hubungi ini Razak Baginda dan beliau mengiyakan. Saya memperkenalkan diri dan Razak Baginda memberitahu saya bahawa beliau telah dimaklumkan yang saya akan hubungi beliau dan beliau minta agar saya datang ke pejabat beliau di Bangunan Getah Asli. Saya kata, "OK." Razak Baginda kemudiannya memberikan alamat pejabat beliau di Bangunan Getah Asli. Pada waktu itu, saya terfikir mengapa begitu mudah untuk saya berjumpa dengan Razak Baginda yang merupakan pegawai khas TPM dan juga kawan baik TPM tanpa sebarang temu janji. Saya beranggapan bahawa segala urusan perjumpaan telah diatur oleh DSP Musa atau TPM kerana operasi sulit ini melibatkan ancaman kepada keselamatan negara. Saya terus ke Bangunan Getah Asli dan mendaftarkan diri di kaunter keselamatan secara formal mengikut prosedur yang ditetapkan.

(15) Setibanya saya di hadapan pejabat berdasarkan alamat yang diberikan oleh Razak Baginda, saya disambut oleh seorang perempuan dan saya bertanyakan sama ada ini adalah pejabat Razak Baginda. Perempuan tersebut mengiyakan. Beliau bertanya adakah saya Azilah dan saya mengiyakan. Saya kemudiannya dibawa masuk ke sebuah bilik untuk menunggu. Tidak lama selepas itu, seorang lelaki masuk dan memperkenalkan diri sebagai Razak Baginda. Pada waktu tersebut, barulah saya ingat siapa lelaki ini, kerana saya pernah berjumpa dengan beliau di United Kingdom suatu ketika dahulu dan menaiki pesawat terbang sewa khas dari Liverpool ke London bersama TPM selepas menghadiri British Open. Sewaktu menjalankan tugasan rasmi eskot TPM di London, saya juga pernah diarahkan oleh TPM untuk eskot beliau dan Razak Baginda ke sebuah kondomonium yang berada tidak jauh dari hotel penginapan TPM.

(16) Sewaktu perjumpaan dengan Razak Baginda di pejabat beliau di Bangunan Getah Asli tersebut, saya memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari UTK Bukit Aman dan bahawa saya telah diarahkan oleh TPM untuk berjumpa dengan Razak Baginda dan DSP Musa yang telah berikan nombor telefon Razak Baginda kepada saya. Razak Baginda beritahu saya bahawa beliau sudah sedia maklum yang saya akan telefon dan jumpa beliau atas arahan TPM untuk dapatkan maklumat lanjut tentang operasi sulit yang melibatkan ancaman kepada keselamatan negara. Razak Baginda kemudiannya memberitahu saya bahawa seorang perisik asing telah membuat ugutan kepada TPM dan beliau dengan menghantar surat ugutan, panggilan telefon, datang membuat kecoh di pejabat beliau di Bangunan Getah Asli dan juga cuba datang ke rumah beliau tetapi dihalang pengawal keselamatan. Razak Baginda juga beritahu bahawa perisik asing tersebut sering mengekori pergerakan beliau di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya namun perisik asing tersebut tidak dapat menghampiri TPM kerana kawalan keselamatan ketat daripada UTK dan pihak polis di kediaman rasmi TPM.

(17) Razak Baginda kemudiannya ada keluarkan beberapa sampul surat pelbagai saiz berwarna putih dan coklat dan setelah membelek-belek salah satu sampul surat tersebut, beliau berikannya kepada saya dan minta saya baca isi kandungan surat tersebut. Saya bertanyakan kepada Razak Baginda adakah kesemua sampul surat itu dihantar oleh perisik asing tersebut dan beliau mengiyakan. Saya minta kebenaran untuk lihat dan buka kesemua surat tersebut tetapi tidak dibenarkan Razak Baginda. Saya beritahu Razak Baginda buat apa saya baca setakat satu surat, adalah lebih baik tak perlu baca semua sekali. Saya terus menyerahkan semula surat tersebut kepada Razak Baginda dan saya perasan air muka beliau berubah seperti tidak menyenangi respons saya, tetapi saya abaikan. Razak Baginda ada memegang sehelai kertas A4 dan memberitahu saya bahawa saya tidak dibenarkan untuk mendapatkan salinan dan hanya boleh catat butir-butir yang penting.

(18) Butir-butir yang diberitahu Razak Baginda kepada saya sambil merujuk kertas A4 tersebut (yang mana saya ada catatkan di atas kertas) adalah seperti berikut:

(i)Perisik asing tersebut merupakan seorang perempuan warganegara Mongolia bernama Altantuya @ Amina yang memiliki tiga pasport kewarganegaraan — Mongolia, Perancis, Russia.

(ii) Seorang ‘intelligent’, pandai bercakap dan merupakan seorang perisik.

(iii) Mudah untuk mengenali perisik asing tersebut kerana rupa parasnya seperti perempuan Cina.

(iv) Banyak maklumat berkaitan rahsia negara, aset keselamatan negara dan rahsia TPM diketahui oleh perisik asing tersebut.

(v) TPM risau perisik asing ini akan mendedahkan rahsia-rahsia tersebut.
(vi) Perisik asing tersebut telah datang ke Malaysia sebanyak dua kali.

(vii) Bahaya kepada keselamatan negara, ancaman kepada keselamatan negara.

(viii) Perisik asing tersebut penuh dengan tipu helah antaranya bahawa beliau sedang mengandung.

(ix) Menginap di Hotel Malaya, di mana terdapat dua nombor bilik kerana perisik asing tersebut bertukar bilik.

(19) Saya bertanyakan apakah bentuk ugutan oleh perisik asing tersebut kepada TPM dan Razak Baginda. Razak Baginda jawab bahawa perisik asing tersebut mahukan sejumlah duit yang banyak tetapi tidak dilayan oleh beliau. Perisik asing tersebut mengugut untuk membocorkan rahsia negara yang boleh mengancam keselamatan negara sekiranya permintaan tidak ditunaikan. Saya bertanya apakah yang dimaksudkan dengan rahsia negara yang boleh mengancam keselamatan negara dan Razak Baginda menjawab tentang kekuatan aset keselamatan negara, tentang hubungan peribadi TPM dan Razak Baginda dengan perisik asing tersebut. Razak Baginda juga menceritakan tentang lawatan rasmi TPM ke London untuk meninjau aset-aset keselamatan negara sewaktu pertunjukan udara di Farnborough Air Show. Razak Baginda menanyakan kepada saya sama ada saya masih ingat seorang perempuan yang beliau dan TPM jumpa di lobi sebuah kondominium di London dahulu, dan saya beritahu bahawa saya tak berapa ingat tentang perempuan tersebut tetapi tugas eskot TPM dan Razak Baginda dari hotel penginapan ke kondominium tersebut saya ingat. Razak Baginda beritahu perempuan itulah perisik asing yang dimaksudkan. Saya kata, "OK," dan pada masa yang sama saya cuba untuk mengingatkan semula wajah perempuan tersebut tetapi masih kabur.

(20) Razak Baginda juga memberitahu saya bahawa ada beberapa orang beliau termasuk salah seorang lelaki India bernama Bala yang memantau pergerakan perisik asing tersebut dan saya akan dimaklumkan berkenaan pergerakannya dari masa ke semasa. Razak Baginda mencadangkan bahawa panggilan 'perisik asing' ditukar kepada gelaran 'perempuan Cina' sewaktu berhubung dengan beliau selepas ini dan dalam operasi sulit. Saya mengiyakan.

(21) Saya mencadangkan supaya satu laporan polis dibuat agar pihak polis dapat ambil tindakan tetapi Razak Baginda tidak bersetuju kerana hal ini akan menarik perhatian umum kerana ianya melibatkan TPM dan ancaman kepada keselamatan negara. Saya beritahu dalam hal ini saya tidak ada kena mengena dan saya keberatan untuk bersetuju untuk jalankan operasi sulit ini. Sekiranya hendak membuat laporan polis, saya boleh bantu. Razak Baginda beritahu bahawa TPM telah beri arahan kepada saya sewaktu di Pekan, Pahang untuk jalankan operasi sulit ini demi keselamatan negara dan TPM percaya saya dapat jalankan operasi sulit ini tanpa diketahui umum dan apa-apa hal berbangkit saya tidak perlu risau kerana TPM akan 'backup'. Saya bertanyakan kepada Razak Baginda bagaimana beliau tahu bahawa TPM ada beri arahan kepada saya sewaktu di Pekan, Pahang. Razak Baginda sambil tersenyum berkata bahawa TPM ada hubungi beliau dan kalau tidak bagaimana saya boleh jumpa beliau pada hari ini dan atas urusan apa. Berdasarkan pemerhatian saya pada waktu tersebut, saya beranggapan benarlah bahawa Razak Baginda ini merupakan pegawai khas TPM dan juga kawan TPM sepertimana yang dimaksudkan oleh TPM dan DSP Musa. Pada mulanya, saya agak keberatan tetapi selepas mendapat penerangan daripada Razak Baginda saya bersetuju dan yakin untuk jalankan operasi sulit ini kerana ianya adalah arahan sama seperti yang diberikan oleh TPM di Pekan, Pahang.

(22) Saya kemudiannya diberitahu oleh Razak Baginda bahawa perisik asing ini mesti dihapuskan dengan sulit sambil menunjukkan 'isyarat memotong leher' dengan tangan beliau (iaitu isyarat sama sepertimana yang dibuat TPM sewaktu di Pekan, Pahang) dan musnahkan mayat perisik asing dengan melupuskannya menggunakan bahan letupan. Saya juga beritahu Razak Baginda hal ini adalah hal besar dan saya tak mampu untuk laksanakan tapi Razak Baginda beritahu bahawa ini adalah arahan daripada TPM kerana TPM amat percaya kepada saya. Menurut beliau, DSP Musa yang cadangkan nama saya kepada TPM. Saya beritahu hal ini mesti dimaklumkan kepada pihak atasan saya di UTK tetapi Razak Baginda beritahu ini adalah arahan daripada TPM agar operasi ini dijalankan secara sulit dan paling penting operasi sulit ini mesti dilaksanakan dengan cepat tanpa diketahui umum.

(23) Untuk kepastian, saya bertanya kepada Razak Baginda sekali Iagi, adakah arahan ini terus daripada TPM, Razak Baginda jawab "Ya." Menurut Razak Baginda, beliau adalah orang yang paling rapat dengan TPM dan banyak kerjasama dengan TPM tentang hal keselamatan negara. Saya percaya maklumat yang diberikan oleh Razak Baginda kepada saya sama seperti maklumat dan arahan yang diberikan oleh TPM sewaktu di Pekan, Pahang tempoh hari. Saya juga yakin bahawa operasi sulit untuk menghapuskan daripada TPM.

(24) Hasil perbincangan dengan TPM dan Razak Baginda, saya percaya bahawa ini adalah operasi sulit dan mesti dirahsiakan daripada pengetahuan umum atas sebab-sebab keselamatan negara. Selesai berbincang dengan Razak Baginda di Bangunan Getah Asli, saya telefon DSP Musa dan beritahu hasil perbincangan dengan Razak Baginda. Pada mulanya saya tetap keberatan untuk bersetuju dengan operasi sulit ini kerana saya seorang sahaja tidak mampu melaksanakannya namun DSP Musa memberitahu saya bahawa saya boleh cari seorang anggota Iain untuk membantu dalam operasi sulit tersebut.

(25) Saya kemudiannya mencadangkan kepada DSP Musa supaya hal ini dimaklumkan kepada pegawai atasan saya dalam UTK, sekurang-kurangnya Pegawai Pemerintah atau Commanding Officer (CO) saya, kerana setiap kali arahan operasi saya akan terima daripada pegawai pemerintah saya. Saya juga beritahu DSP Musa bahawa dia bukan 'CO' saya. DSP Musa beritahu hal perkara berkenaan operasi sulit ini tidak perlu dimaklumkan kepada 'CO' saya kerana saya sekarang di bawah arahan beliau dan beliau dapat arahan terus daripada TPM.

(26) Pada waktu tersebut, saya fikir siapa yang berani untuk melanggar arahan TPM yang juga merangkap Menteri Pertahanan. Saya jadi serba salah. Namun memandangkan operasi sulit ini melibatkan hal ancaman kepada keselamatan negara maka saya dengan suci hati percaya dan patuh pada arahan daripada TPM. DSP Musa seterusnya mengingatkan saya supaya jalankan operasi sulit ini dan terus laporkan kepada beliau agar beliau dapat melaporkannya terus kepada TPM. Saya telefon dan bertanya kepada DSP Musa, adakah benar berkenaan jaminan sekiranya ada sebarang perkara yang berbangkit dalam operasi sulit ini akan diselesaikan oleh Razak Baginda dan TPM iaitu daripada segi kerahsiaan dan keselamatan. DSP Musa kata "Ya." DSP Musa beritahu saya sebab itulah tidak perlu beritahu 'CO' saya dalam operasi sulit ini kerana jaminan yang disebut ini merangkumi hal-hal kerahsiaan dan keselamatan. Disebabkan itu, saya bertambah yakin dengan penerangan DSP Musa.

(27) Setelah meneliti arahan terus yang diterima saya daripada TPM sewaktu saya berjumpa beliau di Pekan, Pahang, hasil perjumpaan saya dengan Razak Baginda di pejabat beliau di Bangunan Getah Asli dan setelah mendapat arahan yang sama sepertimana arahan TPM di Pekan, Pahang di samping maklumat terperinci berkenaan perisik asing tersebut dan setelah memaklumkan kepada DSP Musa tentang hasil pertemuan saya dengan TPM di Pekan, Pahang dan pertemuan saya dengan Razak Baginda di Bangunan Getah Asli, serta penjelasan daripada DSP Musa agar operasi sulit ini tidak perlu dimaklumkan kepada CO saya kerana arahan operasi sulit ini terus daripada TPM, dan jaminan bahawa TPM akan 'backup' sekiranya ada apa-apa hal berbangkit, saya yakin bahawa operasi sulit ini adalah penting kerana ianya melibatkan hal keselamatan negara dan saya dengan suci hati bersetuju untuk jalankan operasi sulit ini.

(28) Pada hari yang sama, saya dapati bahawa Sirul merupakan 'standby driver’ di pejabat. Saya hubungi Sirul dan tunggu Sirul di tepi jalan berhadapan Central Market. Saya masuk ke dalam kereta Sirul dan menceritakan hal perkara operasi sulit ini termasuk perjumpaan dengan DSP Musa dan TPM di Pekan, Pahang sehinggalah perjumpaan dengan Razak Baginda di Asli dan perbualan telefon dengan DSP Musa sebelum itu.

(29) Sirul bersetuju untuk menyertai operasi sulit ini. Kami pergi ke kediaman Razak Baginda di Bukit Damansara mengikut alamat yang diberikan beliau dan kemudiannya ke Hotel Malaya untuk mengenal pasti sasaran. Saya ada berhubung dengan Razak Baginda, DSP Musa, dan TPM untuk memaklumkan penglibatan Sirul dalam operasi sulit ini dan ianya mendapat kebenaran mereka. TPM maklumkan kepada saya "Proceed." Saya memberitahu Sirul bahawa saya akan eskot TPM ke Hong Kong dalam masa terdekat dan sekiranya sasaran dikenal pasti dan bersedia untuk bertindak, saya akan hubungi Sirul. Sirul jawab "OK."

(30) Saya serahkan tugasan untuk dapatkan bahan letupan dari stor senjata UTK kepada Sirul dalam kadar segera kerana untuk operasi sulit ini, sasarannya sudah ada di Kuala Lumpur dan bila-bila masa operasi sulit boleh dijalankan. Sirul faham tentang etika operasi sulit kerana Sirul merupakan seorang anggota operasi UTK yang berpengalaman dalam menjalankan operasi- operasi sulit berkaitan ancaman kepada keselamatan negara.

(31) 19 Oktober 2006: Sewaktu di pejabat UTK Bukit Aman, saya diarahkan untuk bersiap sedia untuk eskot TPM ke Hong Kong. Saya bersama tujuh orang anggota Iain telah membuat persiapan dan senjata telah diserahkan untuk urusan pengisytiharan termasuk Pistol dan dua kelopak peluru. Saya telah kemaskan pakaian untuk eskot dan kumpulan saya diarahkan untuk bersiap sedia pada bila-bila masa untuk bergerak. Ini adalah kerana urusan eskot TPM ke Hong Kong adalah atas urusan peribadi.

(32) Pada lewat petang hari yang sama, saya dimaklumkan bahawa tugasan ke Hong Kong telah dibatalkan dan ASP Azani minta saya gantikan tempat beliau sebagai ketua pegawai pengiring kepada TPM pada keesokan harinya. Pada waktu tersebut, TPM masih di luar Kuala Lumpur dan kumpulan eskot TPM berada di TUDM Subang menunggu kepulangan TPM. Selepas berbuka puasa bersama L/Kpl Rohaniza di Petaling Jaya, saya terus ke pejabat UTK untuk kemaskan pakaian untuk tujuan eskot di dalam negara. Kumpulan eskot TPM akan ditempatkan di rumah di Putrajaya pada malam tersebut.

(33) Semasa di pejabat UTK, Razak Baginda telefon saya dan beritahu bahawa seorang 'perempuan Cina' bersama Bala ada di depan rumah beliau di Bukit Damansara dan minta saya bertindak. Memandangkan ianya melibatkan seorang perempuan, saya ajak L/Kpl Rohaniza untuk pergi bersama ke Bukit Damansara. Saya telefon Sirul dan beliau beritahu saya beliau akan ke Bukit Damansara. Setibanya di Bukit Damansara, iaitu di hadapan rumah Razak Baginda, saya nampak seorang perempuan Cina dan seorang lelaki India berdiri di sebelah sebuah teksi dan pada waktu tersebut saya mengagak bahawa inilah perempuan Cina atau perisik asing yang dimaksudkan oleh Razak Baginda. Sewaktu itu terlintas di fikiran saya bahawa perempuan tersebut pernah saya lihat sewaktu tugasan rasmi eskot TPM dan Razak Baginda ke sebuah kondominium di London, di mana saya ada melihat kedua-dua TPM dan Razak Baginda berjumpa dengan perempuan tersebut di lobi kondominium. Pada waktu tersebut saya diarahkan untuk tunggu di lobi kondominium sebelum mereka bertiga masuk ke dalam lif untuk ke unit yang saya tidak tahu di aras mana. Selepas lebih kurang 1 jam menunggu di lobi kondominium, TPM, Razak Baginda, dan perempuan tersebut keluar dari lif dan saya terus eskot TPM dan Razak Baginda keluar dari kondominium tersebut yang mana perempuan tersebut tidak ikut serta.

(34) Saya didatangi oleh satu lelaki India tersebut dan beliau bertanya adakah saya C/lnsp Azilah dari UTK. Saya terkejut bagaimana lelaki India tersebut mengetahui tentang nama dan kehadiran saya. Lelaki India tersebut memperkenalkan diri sebagai Bala dan beliau memberitahu saya, "Inilah perempuan yang buat masalah dengan Razak Baginda." Saya berhubung dengan Razak Baginda untuk kepastian berkenaan adakah betul perempuan yang ada bersama seorang lelaki India yang dipanggil sebagai Bala itu adalah perisik asing yang dimaksudkan beliau dan merupakan sasaran untuk operasi sulit ini. Razak Baginda mengiyakan. Razak Baginda juga mengingatkan saya agar jangan banyak bercakap dengan perisik asing tersebut kerana beliau pandai bercakap dan banyak tipu helah. Saya ambil maklum akan peringatan tersebut dan cuba hubungi DSP Musa tetapi gagal. Saya juga cuba hubungi TPM melalui telefon bimbit yang diberikan beliau kepada saya tetapi gagal juga untuk dihubungi. Saya menelefon semula Razak Baginda dan maklumkan kepada beliau bahawa saya cuba untuk hubungi DSP Musa dan TPM tetapi gagal kerana telefon mereka off. Razak Baginda arahkan agar teruskan operasi sulit sebagaimana arahan TPM. Saya jawab "OK."

(35) Saya hubungi Sirul dan memaklumkan bahawa perempuan Cina atau sasaran ada di hadapan rumah Razak Baginda. Sirul kata "OK" dan maklumkan bahawa beliau akan ke sana. Saya tunggu Sirul untuk sampai dan setelah beliau tiba, saya keluar daripada kereta wira merah yang saya naiki dan saya lihat perempuan Cina dan Ielaki India tersebut berjalan menuju ke arah kereta yang saya naiki sambil berbual-bual. Saya minta Rohaniza untuk duduk di belakang dan perempuan Cina tersebut ikut masuk sambil Bala tutup Pintu manakala Sirul duduk di bahagian hadapan sebelah pemandu. Ketika saya ingin membuat pusingan U, satu lelaki Cina datang meminta tambang teksi dan saya berikan duit kepada beliau.

(36) Kami beredar dari kawasan rumah Razak Baginda dan sampai di satu simpang, Sirul minta diturunkan di situ kerana beliau mahu membawa kereta beliau sendiri dan kami bersetuju untuk berjumpa di Bukit Aman. Saya terus bergerak ke Ibu Pejabat Bukit Aman dan dalam perjalanan saya kenalkan diri sebagai pegawai polis kepada perempuan Cina tersebut dan nasihatkan dia agar jangan buat kecoh di depan rumah Razak Baginda. Perempuan Cina tersebut minta agar beliau tidak dikasari kerana beliau sedang mengandung. Pada waktu tersebut, saya anggap bahawa itu hanyalah tipu helah sepertimana maklumat yang diberikan kepada saya oleh TPM dan Razak Baginda. Perempuan Cina tersebut bersetuju dengan nasihat saya dan saya maklumkan perkara berkenaan kepada Sirul. Setibanya di Ibu Pejabat Bukit Aman, saya pergi ke kereta Sirul dan perempuan Cina tersebut saya arahkan untuk memasuki kereta Sirul. L/Kpl Rohaniza pula saya arahkan untuk balik dan saya beritahu bahawa saya akan menghubungi beliau untuk minta bantuan untuk hantar saya ke Putrajaya apabila tugasan saya selesai.

(37) Saya ada hubungi Razak Baginda pada malam tersebut dan beritahu bahawa saya telah bawa perempuan Cina tersebut dari hadapan rumah beliau dan saya juga telah menasihatinya. Razak Baginda beritahu bahawa perempuan Cina itu bahaya dan ikut saja arahan TPM yang telah diberikan seperti dalam perbincangan sebelum ini. Razak Baginda beritahu semua akan selesai setelah perempuan Cina itu dihapuskan. Pada malam itu juga, saya dan Sirul menjalankan operasi sulit tersebut seperti yang diarahkan oleh TPM sewaktu di Pekan dan berdasarkan kepada maklumat yang diberikan melalui aide-de-camp beliau, DSP Musa dan pegawai khas yang juga kawan beliau, Razak Baginda, dan seperti yang dipertuduhkan, dan disabitkan bersalah oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia. Sebelum perisik asing tersebut dibunuh, beliau ada memaklumkan kepada saya bahawa beliau tahu 'Mr Razak' yang menghantar saya dan Sirul untuk membunuh beliau. Apabila ditanya siapakah 'Mr. Razak' yang dimaksudkan, perempuan tersebut menyebut, "Timbalan Perdana Menteri." Perisik asing itu juga sempat memberitahu saya bahawa beliau sedang mengandung.

(38) Sejurus selepas operasi sulit tersebut dijalankan, saya menelefon Razak Baginda dan memaklumkan kepada beliau bahawa operasi sulit tersebut sudah pun selesai di mana Razak Baginda menjawab "OK." Saya juga hubungi nombor telefon DSP Musa dan TPM tetapi tidak dapat dihubungi. Razak Baginda beritahu kepada saya bahawa beliau akan maklumkan kepada mereka.

(39) 20 Oktober 2006: Saya bertugas eskot TPM sebagai ketua pegawai pengiring dan tunggu TPM di kediaman rasmi di Sri Satria, Putrajaya. Sementara menunggu TPM keluar rumah untuk ke pejabat saya bersembang dengan DSP Musa dan DSP Musa memberitahu saya bahawa Razak Baginda ada menelefon beliau dan beritahu bahawa malam tadi operasi sulit sudah selesai dan hal ini telah dimaklumkan kepada TPM dan nanti TPM mahu berjumpa dengan saya. Sempat DSP Musa memberitahu bahawa TPM sangat gembira tentang kejayaan operasi sulit yang dijalankan oleh saya dan Sirul. Saya cuma mendiamkan diri tanpa sebarang reaksi kerana pada waktu itu keadaan tempat terbuka dan tidak sesuai untuk bercakap tentang hal-hal rahsia. DSP Musa faham akan tindak balas dan reaksi saya.

(40) TPM kemudiannya keluar dari rumah dan menuju ke kereta. TPM senyum kepada saya dan berjabat tangan sambil mengucapkan, "Tahniah" dan "Thank you." Saya cuma senyum dan terus masuk ke dalam kereta dan bertolak ke pejabat TPM. Sampai di tempat letak kereta pejabat TPM, kami berjalan ke arah lif untuk ke pejabat TPM. TPM cakap dengan suara yang perlahan, minta saya dan DSP Musa saling berhubung. Saya mengiyakan.

(41) Setelah TPM sampai di pejabat, DSP Musa memanggil saya masuk ke pejabat beliau dan bertanya tentang operasi sulit tersebut, saya menyatakan semuanya berjalan dengan lancar dan saya telah maklumkan kepada Razak Baginda. Saya juga memaklumkan kepada DSP Musa bahawa malam semalam saya ada menelefon beliau dan TPM tetapi tidak dapat dihubungi. DSP Musa beritahu bahawa beliau tutup telefon kerana beliau ada tugasan dengan TPM di luar Kuala Lumpur dan balik lewat malam.

(42) Saya hubungi Razak Baginda dan beliau beritahu bahawa beliau telah memaklumkan kepada TPM dan DSP Musa, saya beritahu patutlah DSP Musa awal pagi lagi sudah beritahu saya. Menurut Razak Baginda, TPM gembira kerana operasi sulit sudah selesai dan jangan khuatir tentang operasi sulit yang saya dan Sirul jalankan, semuanya dalam kawalan TPM.

(43) 21 Oktober 2006: Sewaktu di pejabat DSP Musa, Razak Baginda beri duit raya kepada DSP Musa dan RM2,000.00 kepada saya untuk dibahagikan kepada semua anggota eskot TPM. TPM juga ada berikan duit raya kepada staf pejabat TPM. Setelah selesai tugas di pejabat TPM, sewaktu di kediaman rasmi TPM, beliau ada berikan duit raya kepada kesemua anggota UTK yang eskot beliau. TPM kemudiannya memanggil saya masuk ke dalam sebuah bilik dan beri duit raya RM300.00 dan beliau memberitahu saya bahawa beliau berpuas hati dengan operasi sulit yang saya dan Sirul jalankan. TPM ucap tahniah dan gembira operasi sulit tersebut telah selesai sambil mengingatkan saya untuk menyimpan rahsia. Saya mengiyakan.

(44) Pada tengah malam tersebut, Razak Baginda menelefon saya beberapa kali sewaktu saya tidur dan apabila sedar daripada tidur, saya hubungi semula. Razak Baginda beritahu bahawa ada kekecohan di depan rumah beliau di Bukit Damansara dan menurut beliau ada perempuan warga asing buat kecoh dan beliau sudah minta bantuan daripada DSP Musa dan SM Alias. Razak Baginda minta saya untuk datang tetapi saya tidak dapat pergi ke sana. Saya terus hubungi SM Alias dan SM Alias beritahu bahawa ada perempuan warga asing yang cuba membuat bising di hadapan rumah Razak Baginda, cuba masuk ke dalam kawasan rumah beliau, dan polis peronda sudah leraikan, keadaan juga sudah terkawal.

(45) 22 Oktober 2006: Saya hubungi DSP Musa dan beritahu hal kekecohan di rumah Razak Baginda malam tadi. DSP Musa telah sedia maklum kerana Razak Baginda sudah hubungi beliau. DSP Musa bertanyakan kepada saya adakah saya sudah selesaikan operasi sulit sepertimana yang diarahkan kerana hal kekecohan oleh perempuan warga asing masih berterusan. Saya beritahu bahawa saya dan Sirul sudah jalankan operasi sulit dan tidak akan tersilap orang kerana orang Razak Baginda iaitu Bala sendiri yang beri petunjuk pada waktu itu. Saya dan Sirul bukannya kenal dengan perempuan Cina/perisik asing tersebut. DSP Musa risau mengapa hal ini boleh berulang kembali dan bagaimana dia hendak maklumkan kepada TPM tentang kejadian kekecohan di rumah Razak Baginda malam tadi kerana sebelum ini telah dimaklumkan kepada TPM bahawa operasi sulit telah selesai. Saya minta DSP Musa periksa dengan teliti dengan Razak Baginda dalam hal ini kerana petunjuk akhir untuk mengenal pasti sasaran adalah daripada Razak Baginda dan orang dia sendiri.

(46) Sewaktu bertugas eskot TPM, DSP Musa datang berjumpa dengan saya dan beritahu bahawa kekecohan di hadapan rumah Razak Baginda pada malam tersebut adalah berpunca daripada kawan-kawan perisik asing tersebut yang menyangka Razak Baginda menyembunyikan perempuan tersebut dan ianya menjadi kecoh kerana Razak Baginda enggan untuk keluar dari rumah. Sebelum TPM masuk ke dalam kereta untuk ke pejabat, TPM menegur saya dan mengatakan bahawa jangan risau, semuanya dalam kawalan dan hal ini cuma salah faham sahaja. Saya cuma menganggukkan kepala.

(47) Setibanya di pejabat TPM, DSP Musa berjumpa TPM di dalam pejabat lebih kurang 10 minit kemudian DSP Musa memanggil saya masuk pejabat beliau. DSP Musa beritahu saya bahawa TPM sudah dapat penerangan daripada Razak Baginda dan jaminan daripada TPM supaya jangan risau kerana semua selesai dengan baik. Apa-apa hal yang berbangkit, maklumkan sahaja kepada beliau agar dapat dirujuk kepada TPM untuk dapatkan arahan lanjut. Saya cuma mendiamkan diri. Selepas penerangan daripada DSP Musa, hari-hari berikutnya saya menjalankan rutin harian eskot TPM di Putrajaya dan Lembah Klang dan sekali sekala saya terserempak dengan Razak Baginda di pejabat TPM di Putrajaya dan di kediaman rasmi TPM. Tiada apa-apa kejadian pelik/luar kebiasaan semasa tugas eskot TPM sehinggalah pada 31 Oktober 2006, DSP Musa memanggil saya untuk ke pejabat beliau.

(48) 31 Oktober 2006: Sewaktu sedang bertugas eskot TPM di Putrajaya, DSP Musa panggil saya ke dalam pejabat beliau dan memberitahu saya bahawa beliau dan Razak Baginda telah dipanggil ke IPD Brickfields dan berjumpa dengan kawan saya, DSP Idris Karim dalam membantu siasatan tentang insiden kekecohan di hadapan rumah Razak Baginda pada waktu malam tempoh hari. DSP Musa memberitahu saya bahawa DSP Idris memerlukan saya untuk membantu siasatan dan saya jawab OK. DSP Musa juga beritahu saya bahawa beliau telah memaklumkan kepada Supt Mastor (CO saya) bahawa DSP Idris mengkehendaki saya pergi ke IPD Brickfields untuk bantu siasatan ekoran insiden kekecohan di rumah Razak Baginda tempoh hari. DSP Musa meyakinkan saya untuk tidak perlu risau atau takut kerana TPM akan 'backup' asalkan jangan libatkan nama TPM. DSP Musa juga mengingatkan saya agar jaga rahsia tentang penglibatan beliau dan TPM kerana TPM orang yang berpengaruh dan TPM akan bantu sesiapa sahaja dalam apa-apa hal berbangkit tentang operasi sulit ini. lanya adalah jaminan daripada TPM untuk bantu asalkan jangan babitkan nama baik TPM. Penjelasan daripada DSP Musa ini menyebabkan saya rasa curiga tentang kebenaran operasi sulit yang saya dan Sirul telah laksanakan disebabkan saya sendiri mendapat arahan terus daripada TPM sewaktu di Pekan, Pahang, maklumat lanjut daripada Razak Baginda tentang pergerakan perisik asing di KL dan petunjuk terakhir sehingga saya dan Sirul bawa perisik asing tersebut daripada hadapan rumah Razak Baginda dan penjelasan DSP Musa supaya maklumat operasi sulit ini tidak perlu dimaklumkan kepada 'CO' saya di UTK, saya jadi keliru dan rasa seperti diperguna dan dianiaya oleh TPM, Razak Baginda, dan DSP Musa. Saya menghubungi Sirul tetapi gagal.

(49) Petang tersebut DSP Khairi menghubungi saya dan mengarahkan saya untuk ke IPD Brickfields untuk bantu siasatan berkenaan satu laporan polis tentang kehilangan seorang perempuan asing dan insiden kekecohan di Bukit Damansara, dan memberitahu bahawa tugas saya akan diganti oleh Insp Zaidi dan saya jawab OK. Saya hubungi Supt Mastor yang merupakan pegawai pemerintah saya dan saya maklumkan kepada beliau bahawa saya diminta untuk ke IPD Brickfields untuk bantu siasatan seperti yang dimaklumkan oleh DSP Khairi. Supt Mastor jawab OK dan minta saya pastikan ada pegawai pengganti tugas eskot TPM di Putrajaya. Supt Mastor ada maklumkan bahawa beliau telah dimaklumkan oleh DSP Musa berkenaan hal saya dipanggil ke IPD Brickfields untuk bantu siasatan. Lewat petang hari tersebut, Insp Zaidi ada hubungi saya dan maklumkan bahawa beliau dapat arahan untuk ganti tugas saya eskot TPM di Putrajaya. Saya kata ”OK."

(50) 1 November 2006: DSP Musa mengarahkan saya supaya pergi berjumpa dengan beliau di pejabat TPM sebelum ke IPD Brickfields. Saya pergi berjumpa dengan DSP Musa dalam pejabat beliau dan DSP Musa salam dan peluk saya. Saya rasa hairan kenapa DSP Musa peluk saya kerana sebelum ini tidak pernah beliau peluk saya, setakat bersalaman memang jadi kebiasaan. Saya cuba dapatkan kepastian daripada DSP Musa apa sebenarnya yang telah berlaku dalam hal operasi sulit ini. Saya lihat wajah sugul DSP Musa dan beliau semacam hilang kata-kata. DSP Musa bawa saya berjumpa dengan TPM. Saya maklumkan bahawa saya akan ke IPD Brickfields untuk jumpa DSP Idris bagi membantu siasatan, tak lain ianya pasti berkenaan operasi sulit yang saya dan Sirul telah jalankan. Saya marah tapi saya masih boleh kawal diri saya. TPM beritahu saya bahawa semuanya akan selesai dengan cara baik, ikut sahaja prosedur yang ada dan sebarang hal yang berbangkit beliau akan bantu, yang penting tahap kerahsiaan operasi sulit mesti dipatuhi tanpa gagal. Jaminan daripada TPM ini menyebabkan saya yakin untuk ke pergi ke IPD Brickfields.

(51) Sebelum bertolak ke IPD Brickfields, saya hubungi Supt Mastor dan beliau mengatakan apa-apa perkembangan maklum terus kepada beliau. Saya mengiyakan. Setibanya di IPD Brickfields, saya terus berjumpa dengan DSP Idris yang mana beliau merupakan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Brickfields sewaktu itu. DSP Idris pada waktu itu sibuk kerana ada pegawai polis dalam pejabat beliau. Apabila beliau nampak kelibat saya, beliau ajak saya untuk masuk ke pejabat dan bersembang seperti biasa kerana sudah agak lama saya tak berjumpa dengan beliau. DSP Idris menghubungi seorang pegawai polis dan mengatakan bahawa saya sudah berada di pejabat beliau. Beliau memaklumkan bahawa sebelum ini DSP Musa dan Razak Baginda telah dipanggil untuk membantu siasatan dan diambil keterangan tentang kehilangan seorang perempuan Mongolia. DSP Idris memberitahu saya bahawa siasatan kes tersebut diambil alih oleh D9 IPK Kuala Lumpur. Tidak lama selepas itu, seorang pegawai polis berpangkat ASP bernama Tony datang dan masuk ke dalam pejabat DSP ldris. DSP ldris memberitahu saya bahawa ASP Tony adalah pegawai penyiasat kes ini dan beliau akan bawa saya ke IPK Kuala Lumpur. Sebelum pergi, DSP Idris peluk saya dan berbisik agar saya banyak bersabar dan harap siasatan ini cepat selesai dan tiada masalah pada saya. Saya lihat air mata beliau bergenang. Saya bersalaman dengan DSP ldris dan beliau sempat mengatakan bahawa mengikut DSP Musa TPM sangat suka dan percaya pada saya. Saya tak ambil peduli kata-kata itu kerana pada saya ia boleh jadi satu pujian atau perli.

(52) Saya hubungi Supt Mastor dan beliau jawab panggilan saya dengan pertanyaan sama ada siasatan telah selesai dan, "Cepat!" Saya beritahu beliau saya akan ke IPK Kuala Lumpur kerana siasatan diambil alih oleh pihak D9 IPK Kuala Lumpur. Supt Mastor jawab "OK," dalam nada suara hampa. Saya kemudiannya bersama ASP Tony dan seorang pegawai lain bergerak ke IPK Kuala Lumpur.

(53) Setibanya di IPK Kuala Lumpur, saya terus dibawa ke sebuah bilik soal siasat dan di dalam perjalanan, saya melintasi bilik-bilik lain di mana saya ada nampak mesin faks sedang mencetak bil telefon yang tertera nama TPM. Di sebelah mesin faks tersebut saya nampak bil telefon nombor telefon yang saya gunakan. Pada waktu tersebut, pistol yang saya gunakan untuk tugasan eskot masih ada pada saya. Saya disoal siasat oleh 4-5 orang anggota detektif dan seorang pegawai iaitu ASP Samsudin. Tidak lama selepas itu, saya dibawa masuk ke dalam sebuah bilik kawad cam yang menggunakan cermin pandang sehala dan dalam keadaan samar-samar saya ternampak satu lelaki India iaitu Bala bersama DSP Gan masuk dan tidak lama kemudian keluar semula. Saya tahu bahawa Bala membuat pengecaman ke atas saya. Soal siasat disambung semula oleh pegawai dan anggota dengan pelbagai teknik, ada yang kasar dengan ugutan untuk pukul, ada yang lembut dan memujuk, tetapi saya tahu semua ini adalah kerja mereka. Perasaan marah memang wujud akibat provokasi daripada siasatan mereka dan jika hilang pertimbangan, sebarang kemungkinan boleh berlaku. Saya pegang pada jaminan daripada DSP Musa agar tidak bangkitkan nama baik TPM dan pesanan daripada TPM agar ikut segala prosedur dan beliau akan bantu asalkan saya menjaga rahsia.

(54) Soal siasat berlangsung dari pagi sehingga ke petang. Sewaktu soal siasat, saya banyak mendiamkan diri dan cuma jawab apa yang perlu. Selepas waktu pejabat, saya dibawa ke sebuah bilik salah seorang pegawai D9 IPK Kuala Lumpur dan saya nampak Supt Mastor dan DSP Khairi duduk bersama dengan seorang pegawai berbangsa cina, namanya tidak saya ingat. Supt Mastor menyatakan bahawa beliau telah dimaklumkan oleh DSP Musa tentang saya dan bertanya adakah saya ingin serahkan apa-apa barang peribadi kepada beliau. Saya jawab ada dan saya serah dompet saya. Saya juga menyatakan bahawa saya ada bawa pistol dan saya lihat perubahan pada wajah mereka bertiga di dalam bilik tersebut. Saya serahkan satu kelopak peluru yang mengandungi peluru dan saya kosongkan senjata saya yang sentiasa ada satu peluru dalam kurung (chamber) sebelum diserahkan kepada Supt Mastor. Apabila pistol beralih tangan, saya nampak dengan jelas muka mereka yang ada di dalam bilik tersebut lega dan bila saya toleh ke belakang ramai lagi anggota dan pegawai berada di luar bilik tersebut. Apabila pegawai dan anggota D9 termasuk DSP Khairi yang mengambil pistol daripada Supt Mastor beredar, Supt Mastor berbisik kepada saya dan beritahu saya untuk beri kerjasama dalam soal siasat agar siasatan cepat selesai dan sebarang perkara berbangkit akan dibantu beliau. Saya mengiyakan.

(55) Sewaktu direman di Penjara Sungai Buloh, peguam Zulkifli Noordin kerap datang berjumpa dengan saya dan beliau berjanji untuk menjadi peguam bela saya untuk kes ini. Sebagai peguam bela, beliau memerlukan maklumat tentang kes saya untuk prosiding perbicaraan dan pembelaan di mahkamah. Dalam perbincangan untuk menghadapi perbicaraan, Zulkifli Noordin telah menyediakan satu representasi kepada pejabat Peguam Negara untuk memohon pertuduhan dari seksyen 302 Kanun Keseksaan diturunkan kepada seksyen 304 Kanun Keseksaan atas alasan bahawa saya mengikut arahan pihak atasan. Zulkifli Noordin menyediakan pembelaan dalam kes saya sebagai superior order tetapi saya tidak bersetuju dengan pembelaan tersebut. Pada waktu itu, pilihan raya kecil Ijok akan diadakan dalam masa terdekat. Melalui maklumat daripada ahli keluarga dan rakan-rakan saya yang datang melawat di penjara, mereka memberitahu saya bahawa keadaan di luar agak kecoh kerana Zulkifli Noordin telah berkempen bagi pihak PKR menggunakan bahan kempen isu pembunuhan perempuan Mongolia yang mengaitkan dengan pembabitan TPM. Saya jadi serba salah kerana Zulkifli Noordin telah menggunakan isu kes saya sebagai bahan kempen pilihan raya kecil tersebut dan ini membabitkan TPM sedangkan TPM telah berpesan kepada saya agar menyimpan rahsia. Pada saya Zulkifli Noordin sebagai seorang peguam bertanggungjawab menyimpan rahsia dan arahan anak guamnya tetapi yang sebaliknya telah berlaku. Akibat daripada itu, saya kesal dengan tindakan Zulkifli Noordin.

(56) Oleh sebab tersebut, saya ada berbincang berkenaan kes saya dengan peguam-peguam Iain antaranya, peguam bela rakan banduan saya, Sahari Usul, iaitu peguam bernama Kuldeep Kumar. Saya membuat keputusan melantik beliau sebagai peguam bela saya dan saya telah memberhentikan perkhidmatan Zulkifli Noordin. Sewaktu reman, Razak Baginda juga ada memberitahu saya supaya tidak melantik Zulkifli Noordin sebagai peguam bela kerana beliau merupakan ahli pembangkang — bagaimana TPM hendak bantu jika peguam bela saya daripada pembangkang — maka saya perlu lantik peguam Iain dan TPM akan beri bantuan dalam kes ini. Razak Baginda juga berjanji apabila beliau sudah bebas, beliau akan bantu saya dan Sirul. Pada masa yang sama, saya telah melantik Dato' Hazman Ahmad sebagai peguam bela saya.

(57) Saya menyatakan bahawa sepanjang perjalanan operasi sulit ini saya bertindak mengikut arahan daripada TPM yang juga Menteri Pertahanan berdasarkan maklumat sepertimana yang diberikan Razak Baginda dan DSP Musa, dan saya percaya sepenuhnya bahawa ini adalah operasi sulit yang melibatkan perisikan dan hal ancaman keselamatan negara dengan tahap kerahsiaan yang tinggi. Saya tidak ada motif untuk merancang atau membunuh Altantuya Shaariibuu melainkan atas arahan yang diberikan kepada saya sebagai seorang pegawai operasi yang bertindak sebagai 'assault commander' Unit Tindakhas (UTK) PDRM yang terlibat dengan pelbagai operasi keselamatan negara dan ketenteraman awam.

(58) Saya juga menyatakan di sini bahawa saya cukup sedar dan matang untuk menilai apa-apa penugasan yang diamanahkan kepada saya berkenaan operasi sulit melibatkan keselamatan negara, lebih-lebih lagi yang melibatkan nyawa seseorang sasaran dan ancaman perisikan. Saya tidak akan sesekali menjalankan sebarang operasi (termasuk operasi sulit untuk menembak mati sasaran), yang mana merupakan antara sifat dan dasar kerja yang telah diamanahkan kepada saya sebagai 'assault commanded’ UTK, sekiranya saya tidak mendapat arahan daripada pihak atasan.

(59) Sebarang maklumat berkenaan sasaran di dalam kes ini tidak akan sampai kepada saya melainkan ianya diberikan oleh DSP Musa, dan Razak Baginda (yang tidak saya kenali sebelum ini). Saya juga tidak akan sesekali menjalankan operasi sulit untuk membunuh dan menghapuskan Altantuya Shaariibuu tanpa arahan terus daripada TPM yang juga Menteri Pertahanan dan diyakinkan oleh DSP Musa bahawa operasi sulit ini adalah benar-benar penting untuk keselamatan negara yang mana saya sebagai seorang penjawat awam dengan suci hati telah menjalankan arahan/perinta tersebut. Sesungguhnya, hidup dan mati saya adalah untuk tanah air yang dicintai ini. Saya juga menyatakan bahawa saya tidak akan libatkan Sirul dalam operasi sulit ini melainkan setelah memaklumkan berkenaan penglibatan beliau kepada TPM, Razak Baginda, dan DSP musa untuk dapatkan kebenaran.

(60) Sekiranya saya dibenarkan untuk membela diri dan memberikan keterangan bersumpah di dalam sebarang kes jenayah dan/atau sivil yang melibatkan pembunuhan Altantuya Shaariibuu, saya akan memberi penjelasan terperinci berkenaan kes ini di dalam keterangan saya.

(62) Saya membuat akuan ini dengan sepenuh kepercayaan bahawa akuan ini benar, serta menurut peruntukan Akta Akuan Berkanun 1960.

Diikrar, diperbuat dan dengan sesungguhnya diakui
oleh Azilah bin Hadri (No WP: 1/14055)
di Penjara Kajang
di Negeri Selangor Darul Ehsan
Pada 17 Oktober 2019

(Tandatangan)

Di hadapan saya,
Pesuruhjaya Sumpah

(Cop dan tandatangan pesuruhjaya sumpah)