Mat Indera: Hegemoni UMNO semakin tercabar

Serangan bertubi-tubi oleh UMNO terhadap Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam isu Mat Indera kini dibalas dengan semakin banyak pendedahan yang berlandaskan fakta. Pensejarahan kemerdekaan dipertikai semula, apabila lebih 400 orang hadirin forum semalam memberi tepukan untuk mengiktiraf perjuangan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM) ketika menuntut kemerdekaan Tanah Malaya.

Bukan itu sahaja, isu Perjanjian Damai Haadyai antara kerajaan persekutuan Malaysia dengan PKM, dan kerajaan Thailand dibangkitkan semula, dengan menuding jari kepada kerajaan Malaysia kerana tidak membenarkan Chin Peng untuk kembali ke tanahairnya. Kenyataan dan logik pemimpin UMNO dan Utusan Malaysia dicabar, malah aktivis sosial Hishamuddin Rais menyeru agar anak muda membebaskan diri dari ketakutan yang direka-reka oleh United Malays National Organisation terhadap "komunis"!

Demikianlah suasananya dalam forum anjuran Free Public Forum (FPF) berjudul "Mat Indera: Pejuang atau Pengkhianat Kemerdekaan?", di bangunan Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam. Dengan membariskan Mohamad Sabu, Abdul Aziz Bari dan Hishamuddin Rais sebagai panelis, sambil dipengerusikan Shake Omar Ali selaku pengarah projek, dewan forum itu penuh sesak dengan hadirin yang kebanyakannya anak muda Melayu.

Malah, pejuang veteran Ishak Surin, yang bersahabat dengan beberapa orang pimpinan sayap kiri, termasuk Shamsiah Fakeh, merasakan bahawa suasana hari ini, khususnya ketika perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011, umpama suasana pada zaman tahun 1947, di mana rakyat daripada semua kaum bersepakat untuk menumbangkan penjajah. Bagaimanapun, Abdul Aziz Bari yang berucap atas kapasiti fellow kanan IDEAS, mengingatkan agar jangan dialihkan perhatian dari isu "dua juta orang pendatang asing yang diputihkan", yang dikhuatiri mempengaruhi keputusan pilihan raya umum yang akan datang - sementara pertikaian "Mat Indera" berlangsung...

Menjaga kepentingan British

Isu "Mat Indera" bermula dengan satu ceramah oleh Mohamad Sabu pada 21 Ogos 2011 ketika beliau balik ke kampung di Pulau Pinang. Seperti biasa, beliau berucap dalam nada berjenaka, menjelaskan mengapa Hari Kemerdekaan tidak disambut dengan kibaran jalur gemilang meskipun diseru oleh Menteri dalam kerajaan. Dari 100 biji kereta di lebuh raya, hanya satu yang meletakkan bendera, itupun lori membawa pasir yang mahu mengelakkan diri daripada disaman kerana muatan lebihan, katanya yang menggelakkan satu dewan.

Oleh sebab UMNO hanya menonjolkan pemimpinnya sebagai pejuang kemerdekaan, maka seluruh rakyat tidak terpanggil untuk merayakan hari kemerdekaan itu. Sebagai ahli politik, Mat Sabu (gambar kanan) menerima Tunku Abdul Rahman sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan, meskipun diperlekehkan sesetengah orang sebagai "berunding-runding sehaja", namun menyarankan agar tokoh-tokoh yang lain seperti Dr.Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Mat Kilau, Tok Janggut dan sebagainya turut ditonjolkan sebagai pejuang kemerdekaan.

Berdepan dengan serangan berturut-turut "12 hari 12 malam" oleh UMNO dan media kawalan UMNO, Mat Sabu mengangkat buku "Pengukir Nama Johor", yang prakatanya ditulis Menteri Besar Johor Andul Ghani Othman untuk mempertahankan kenyataan dirinya berhubung kisah perjuangan Mat Indera. Beliau menegaskan bahawa adalah fakta yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak, bahawa dalam isu serangan Bukit Kepong, mata-mata bekerja di rumah pasung di bawah kerajaan Bristish!

Malah, beliau sempat terjumpa sebuah buku berjudul "Pemburu Bintang Tiga", tulisan bekas polis Syed Othman Syed Omar, yang mengakui bahawa tugas mata-mata zaman British adalah menjaga estet dan lombong British pada ketika itu, selain mengintip dan mencari orang yang melawan British.

"Aku lawan British, kau lawan aku!"

Hishamuddin Rais, aktivis sosial mengorak langkah lebih ke depan, untuk "membongkarkan hegemoni pembohongan UMNO". "Masa sudah tiba untuk menerima bahawa perjuangan kemerdekaan juga perjuangan bersenjata," katanya, dibalas dengan tepukan di bawah pentas.

"Tak percaya, pergi tengok! Kubur Mat Salleh, bersepah-sepah, dia mati kenapa ni? Penyakit aedes?" Beliau menekankan bahawa sejarah memperlihatkan bagaimana UMNO menentang orang yang menentang British. Beliau mempersoalkan, "Aku lawan British, kau lawan aku! Siapanya pengkhianat di sini?"

Beliau berkata, UMNO dan Utusan Malaysia bergila-gila dalam isu Mat Indera ini kerana "kiblatnya Bukit Kepong telah pecah". "Hegemoni pembohongannya telah pecah. Pecah pertama ialah serangan Bukit Kepong ini berlaku pada 23 Februari 1950. 1950! Hey, baba, (tahun) 1950 negara ini di bawah British lagilah!"

"Oleh itu, petang ini, Ketua Penerangan UMNO bercakap, sebenarnya askar tu askar kerajaan Johor. Johor dah merdeka lebih awal?" Soalannya disambut dengan sorakan yang berbaur dengan ketawa terbahak-bahak.

"Manusia lahir dan mati sebagai komunis"


Tidak cukup sekadar itu, Hishamuddin Rais yang mendakwa dirinya tidak tahan dengan "kerja United Malays National Organisation untuk memperbodohkan orang Melayu", cuba meleraikan kebimbangan sesetengah hadirin yang masih keliru antara perjuangan "komunis" dengan "nasionalis".

"Manusia di dalam dunia ini, dilahirkan semuanya komunis. Dan kemudian dia juga mati sebagai komunis. Kerana komunis itu dia tidak percaya kepada private property (harta peribadi). Apabila kamu lahir kamu tidak memiliki private property, apabila kamu mati kamu juga tidak memiliki private property. That's the end of you. So what is the big deal?"

Malah, beliau menyenaraikan tokoh-tokoh seniman yang juga berlatar-belakangkan komunis, misalnya John Lennon, Picaso dan sebagainya, malah Bill Gates sebagai pereka software komputer juga seorang atheist (tidak bertuhan). "Mengapa saudara tidak melonjak-lonjak? Oh... Bill Gates ni atheist, melonjak-lonjaklah! Ni tak boleh usik lah, dia tak percaya Tuhan!"

Menyusul apa yang dikatakan Hishamuddin Rais, Abdul Aziz Bari (gambar kanan) selaku pakar perlembagaan mengingatkan bahawa salah seorang anggota Suruhanjaya Reid yang menyediakan draf perlembagaan, iaitu profesor Sir Ivor Jennings dari Universiti Cambridge, yang memberi pandangannya kepada perkara 153 mengenai kedudukan keistimewaan Melayu itu adalah seorang yang tidak pedulikan Tuhan, dan perkara 153 itu kini menjadi sesuatu yang dibangga-banggakan pula oleh sesetengah orang.

Abdul Aziz Bari mendedahkan lebih fakta, bahawa ramai pemimpin UMNO seperti Abdullah Ahmad (bekas ahli parlimen Kok Lanas), Abdullah Majid dan Siddiq Ghouse (bekas setiausaha Mahathir Mohamad) yang pernah ditangkap kerana keterlibatan dalam komunis, yang belum pasti sama ada difitnah mahupun ada kebenarannya. Jadi, beliau melihat lebih ramai pimpinan yang ditangkap kerana komunis di sebelah UMNO, berbanding di sebelah "sini".

Kemerdekaan: Bebaskan dari memperhambakan diri kepada manusia


Perbincangan akhirnya menyentuh erti kemerdekaan sebenarnya, tanpa mengambil kira label yang dipahat atas ideologi. Untuk Mohamad Sabu yang memetik ayat dalam bahasa Arab, kemerdekaan bermakna "membebaskan manusia daripada memperhamba diri sesama manusia kepada memperhambakan diri kepada Tuhan."

Beliau sempat menyindir, "Kalau ikut istilah United Malays National Organisation, tokoh pengkhianat dunia, Nabi Muhammad s.a.w. Kerana Nabi, beliau hijrah ke luar negara, dia kumpul orang luar, dia serang negeri dia sendiri, iaitu Mekah. Betulkah tidak?"

"Dia serang negerinya sendiri, waktu itu Mekah diperintah oleh anak tempatan, anak watan. Tapi mengapa Nabi menyerang dan mengepung Mekah?"

Beliau menjelaskan bahawa Nabi menyerang Mekah untuk membebaskan manusia, kerana tiada ruang demokrasi di Mekah ketika itu. Beliau mengeluh bagaimana amalan hidup pemimpin Islam kini lebih mirip kepada "firaun", dengan harta puluhan bilion yang berlegar pada dirinya, sebagaimana yang berlaku di Libya. Lebih dahsyat, rasuah, penipuan dihalalkan dengan konsep perkauman sempit, "zalim pun tak apa, (jika dilakukan) anak tempatan!"- yang dikatakannya merosakkan Malaysia.

Meskipun bukan untuk bermegah, namun beliau mengambil contoh bagaimana cara hidup Nik Aziz Nik Mat yang memerintah Kelantan selama 20 tahun, membesarkan hospital dan sekolah, dan bukannya rumah dirinya - meraih penghormatan sedikit berbeza dari orang ramai, bukan sahaja kepada Menteri Besar itu secara individu, tetapi kepada Islam. Beliau sempat menyindir pemimpin UMNO yang menyeru agar rakyat berjimat cermat dalam televisyen, "tengah cakap dia menunjukkan cincinnya bernilai 24 juta!"

Tidak Perlu Kaji Semula Sejarah, Hanya Beri Kebebasan Pada Pakar



KUALA LUMPUR 8 SEPT : Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari menyatakan bahawa sejarawan dan ilmuan perlu diberi kebebasan dalam menganalisis sejarah dan diberi peluang mengemukakan pendapat masing-masing.

Menurut beliau, cubaan untuk mengetengahkan sesuatu fakta tanpa mengambil kira peranan dan faktor lain akan mengakibatkan beberapa perkara 'disembunyikan' seterusnya menyebabkan berlaku salah faham dalam sejarah kemerdekaan sesebuah negara itu sendiri.
“(Sejarah) tidak perlu (ditulis semula), apa yang kita janjikan dengan pentadbiran baru, kebebasan kepada setiap pakar sejarah mengemukakan pandangan dan hujah masing-masing terjamin.

" Pada saya dari segi undang-undang, keluarga dan rakan kata Mat Indera nasionalis. Sampai sekarang saya tak dengar hujah jitu dari pihak lagi satu,” kata beliau pada forum Mat Indera: ‘Pengkhianat atau pejuang’ yang dianjurkan oleh Free Public Forum di Kuala Lumpur malam tadi.

Aziz mengulas mengenai dikotomi yang disebabkan perselisihan pendapat mengenai peranan pejuang berhaluan kiri dalam menentang penjajahan British yang seolah dipinggirkan selepas kuasa kolonial itu mengisytiharkan darurat dan mengharamkan pelbagai parti politik di Tanah Melayu pada 1948.

Pesuruhjaya Tinggi British ketika itu, Sir Henry Gurney baru kembali dari menjamin kedudukan pendatang Israel di Palestin, memberi alasan mengekang pengaruh komunis dan mengharamkan antara lain Parti dokongan rakyat seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan pelbagai lagi.

Ia kemudiannya menyebabkan tokoh pejuang Melayu lain seperti Dr Burhanuddin Helmy, Ahmad Boestamam dan lain-lain kecuali Umno didokong oleh golongan bangsawan feudal.

Mengikut fakta sejarah, PKMM menuntut kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu dan menentang sebarang bentuk penjajahan Inggeris dan Burhanuddin membawa PKMM ke arah mewujudkan Melayu Raya iaitu satu gagasan “kesatuan politik” Malaya-Indonesia yang merupakan salah satu perjuangan utamanya.

Sementara itu Hishamuddin Rais pula berkata, pentadbiran Umno enggan mengisahkan nama pejuang kemerdekaan lain kerana bimbang ‘rahsia’ mereka terbongkar.

Hishamuddin menyatakan betapa episod Mat Sabu ini telahpun memecahkan hegemoni Umno dalam sejarah terutamanya mengenai peristiwa Bukit Kepong dan sejarah merah dalam menentang penjajahan kolonial.

"Bukit Kepong ini ialah kiblat perjuangan Umno. Setiap tahun bulan Ogos saya perhatikan mereka tunjukkan bahawa perjuangan ni perjuangan mereka. Yang berjuang mengangkat senjata ialah PKM. Umno serang orang yang yang serang British.

"Kerana itu mereka serang Mat Sabu dan sesiapa saja yang berani.Bertubi-tubi sebab hegemoninya sudah pecah..kiblat sudah runtuh kerana orang tidak yakin lagi dengan pembohongan demi pembohongan,"katanya lagi.

Hishamuddin yang menjadi aktivis mahasiswa dan sosial menyatakan peranan PKM, PKMM dan golongan kiri adalah kesinambungan dari perjuangan nasionalis menentang kolonialisme negara ini dari kurun ke-19 lagi dan perintis kepada kemerdekaan yang dirundingkan Umno.

"Kita mesti juga terima hakikat bahawa perundingan Umno dengan British berlaku kerana ada penentangan senjata oleh PKM. Ini sejarah, ini hakikat, jangan kita dibodohkan,"tambah beliau lagi.

Keadilan Mahu Rundingan Projek NCO Dihentikan Segera

KUALA LUMPUR 8 SEPT : Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mendesak Kementerian Pertahanan dan Kewangan untuk menghentikan segera rundingan dengan Sapura Secured Technologies Sdn Bhd sehingga inkuiri penuh diadakan.

Menurut ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Sapura yang diberikan kepercayaan untuk mengendalikan projek Network Centric Operations (NCO) untuk Angkatan Tentara Malaysia (ATM) itu memerlukan kajian yang menyeluruh sama ada sistem itu benar-benar diperlukan oleh agensi itu atau sebaliknya.

"Hingga saat ini, Keadilan difahamkan projek NCO ini masih belum mempunyai pelan tindakan yang memuatkan program ini dalam kerangka pertahanan negara di masa hadapan.

"Jadi kita mempersoalkan apakah keberkesanan program sebegini jika hala tuju tidak ditetapkan dari mula?," katanya dalam satu sidang media yang diadakan khas di perkarangan Mindef hari ini.

Malah Izzah juga turut melahirkan kekhuatirannya sekiranya projek yang dianggarkan menelan belanja RM 2 bilion ringgit ini turut mengalami lonjakan kos pada masa hadapan.

"Adakah ketiadaan pelan tindakan ini bermakna perbelanjaan projek akan melambung tinggi tanpa had, dan pihak mana yang bakal mengambil peluang keuntungan atas ketiadaan hala tuju mahupun perbelanjaan buat NCO ini?," soalnya tegas.

Program NCO adalah sebuah projek untuk mengintegrasikan semua aplikasi sistem, pengesanan, sistem arah dan kawal serta persenjataan untuk ATM.

Keadilan sebelum ini difahamkan bahawa pihak ATM telah pun memiliki sistem yang hampir sama, yang dimajukan beberapa tahun yang lalu.

Apatah lagi, projek ini telah mendapat kritikan menyeluruh daripada anggota ATM sendiri, namun keprihatinan mereka tidak diendahkan oleh semua yang mengarahkan projek ini untuk diteruskan.

Apa yang lebih membimbangkan,difahamkan bahawa projek ini sedang dirundingkan secara terus demi kepentingan Sapura.

Difahamkan juga, Sapura tidak memiliki kebolehan teknikal untuk melaksanakan projek ini.

Dalam pada itu, naib presiden PKR, Tian Chua turut menggesa agar projek NCO ini dihentikan.

Beliau berkata projek ini seharusnya melalui satu proses yang rapi melalui pemeriksaan tata kelola atau urus tadbir yang telus.
Berita lanjut menyusul.................

Mat Indera pejuang menentang talibarut Inggeris.siapa talibarut Inggeris?

Sejarah ciptaan UMNO – Oleh Adil Mat Selamat

Sejarah ciptaan UMNO – Oleh Adil Mat Selamat


5 SEPTEMBER – Dalam mencari-cari makna pengkhianatan, pembelotan dan penzalim, kita terlupa bagaimana fakta diputar-belit dan diseludup ke dalam minda masyarakat.

Hantu-hantu seperti perkauman, ajaran sesat, cauvinis hinggalah kepada isu yang sedang hangat pada hari ini iaitu komunis sedang dilemparkan secara membabi-buta oleh kerajaan UMNO-BN kepada sesiapa sahaja yang tidak senada dengan mereka dalam isu kemerdekaan, sejarah dan pejuangnya.

Dalam isu ini, kita sebagai insan waras yang secara jelas menolak sebarang tohmahan dan putar-belit fakta tidak pernah mempertikaikan semangat dan sumbangan tokoh-tokoh UMNO seperti Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman yang sememangnya ada membuat jasa dalam proses negara mencapai kemerdekaan. Tidak kita nafikan itu semua.

Tetapi, adakah dengan bersetuju dengan fakta itu maka kita menafikan fakta lain bahawa bukan tokoh-tokoh ini sahaja yang telah berjuang untuk watan Malaysia, sebaliknya pejuang-pejuang yang sama menentang penjajahan ke atas tanahair kita juga perlu diberi perhatian dan diiktiraf sumbangan dan jasa mereka.

Lain padang lain belalang

Hanya perbezaan cara atau jalan atau pendekatan menentang penjajahan British itu sahaja yang berbeza, bukan bererti tokoh-tokoh ini juga penjarah. Mana mungkin anak nusa seperti Mat Indera, Rashid Maidin, Shamsiah Fakih, Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Al-Helmy (sebahagian nama) yang tidak senada jalan perjuangan dengan UMNO pada masa itu, maka mereka boleh dianggap sebagai penjarah.

Perjuangan mereka adalah menentang penjajah. Mahu mengusir penjajah keluar dari ibu pertiwi. Adakah kerana mereka tidak bersekongkol dengan penjajah British sebagaimana yang dilakukan oleh UMNO, maka hari ini mereka digelar komunis, pengkhianat bangsa?

UMNO melabel anak-anak watan ini lebih buruk dari penjajah British. Betulkah persepsi ini? Cuba kita fikirkan secara waras dan mendalam. Berfikir waras dan mendalam ini bukan suatu dosa, jadi jangan takut atau was-was untuk berfikir waras.

Cuba kita renungkan kembali, barangkali jika kita boleh kedepankan sejarah pada masa itu kepada apa yang sedang berlaku pada hari ini. Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Hadi Awang dan Nik Aziz berjuang untuk membebaskan masyarakat kita dari belenggu kejahilan dan penyalahgunaan kuasa yang ditimba UMNO kepada rakyat Malaysia.

Pemimpin Pakatan Rakyat ini sedang berjuang untuk membantu, mengubah dan menyelamatkan ekonomi dan nasib rakyat Malaysia. Tetapi jalan perjuangan yang mereka ambi tidak sama dengan cara yang sedang UMNO lakukan, justeru adakah mereka-mereka ini layaknya digelar pengkhianat atau penjarah atau komunis?

Hanya berbeza pendekatan dengan UMNO, maka Pakatan Rakyat atau pemimpin atau penyokongnya dengan mudah dilabel sebagai pengkhianat bangsa?

Jika inilah tanggapan UMNO, pesan kita kepada ahli-ahli UMNO yang ikhlas berjuang, sudah tiba masanya menggunakan akal fikiran kurniaan Allah SWT – bersihkan UMNO dari pimpinan yang korup dan menyeleweng, atau tinggalkan sahaja UMNO.

Siakap senohong gelama ikan duri

Jangan pula kita lupa, jika perasaan tidak selamat itu wujud, hakikatnya ia hanya dirasai oleh elit UMNO yang semakin terhimpit dan kuasa mereka sedang terhakis. Begitulah apa yang penjajah British rasainya suatu waktu dahulu.

Maka semua yang tidak senada dengan cara mereka maka kita akan dilabel sebagai pengkhianat, pembelot dan komunis. Malah asal-usul perkataan ‘pengganas’ komunis adalah ciptaan British yang ditelan bulat-bulat oleh UMNO. Sehinggakan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang kekal hingga hari ini adalah warisan penjajah British (sedangkan undang-undang kejam itu tidak pernah wujud di bumi Inggeris sendiri).

Mereka yang melabel orang lain yang berbeza pandangan dan pendirian sebagai pengkhianat sebenarnya orang yang menjarah tanah dan hak kita sebagai rakyat Malaysia. Sikap dan perangai mereka sama seperti komunis Stalin yang kononnya mereka benci itu.

Untuk menutup kezaliman mereka, sering pula bohong demi penipuan dibuat di muka media kawalan mereka. Mula-mula cakap bohong kemudian mencuri hak-hak rakyat.

Rakyat perlu hentikan segera pembohongan dan penindasan ini.

Harimau mati meninggalkan belang

Permintaan kita amat mudah dan sangat jelas. Berikan keadilan kepada tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan kita secara adil dan tidak berat sebelah. Hapuskan label ‘pengkhianat bangsa’ atau ‘pembelot’ dari nama tokoh-tokoh ini. Berikan pengiktirafan kepada mereka sesuai dengan sumbang dan jasa mereka.

Jika tidak ada keadilan kepada mereka, apa ertinya perjuangan Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Dol Said, Abdul Rahman Limbong, Mat Salleh, Rentap dan banyak lagi yang menentang penjajah dan penjarah Inggeris.

Roh mereka tidak meminta apa-apa pun dari kita atau UMNO. Tetapi kita sebagai pewaris yang mendapat hasil dari darah dan air mata perjuangan merekalah maka kita boleh mengenal Malaysia seperti hari ini.

Kita yang melakar sejarah, mengapa takut mengubah sejarah untuk kebaikan dan masa depan bangsa Malaysia? Mendahulukan hak rakyat lebih utama dari survival politik sempit UMNO.

Jika ini pun pemimpin UMNO gagal lakukan, jelas sudah UMNO sama teruk dari penjajah British. Malah, seteruk-teruk British pun, mereka tidak pernah merosakkan dokumen penting negara kita. Dokumen sejarah inilah yang telah dan sedang diputar-belit oleh UMNO. – Roketkini.com

PrintFriendly

UMNO kata benci komunis tapi jalin hubungan komunis China

UMNO kata benci komunis tapi jalin hubungan komunis China


IPOH, 5 SEPT – UMNO bersikap hipkorit apabila mengecam Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu kerana kononnya membela komunis dalam kejadian Bukit Kepong 1950 sedangkan UMNO sendiri bersekongkol dengan Parti Komunis China.

Setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming berkata putar belit sejarah oleh UMNO membahayakan hubungan harmoni antara kaum di Malaysia kerana cuba menggambarkan fakta melalui fitnah.

Katanya, Mohamad atau Mat Sabu cuma merujuk kepada sejarah negara sebelum Merdeka sedangkan UMNO kini mempunyai hubungan rapat dengan komunis di China melalui perjanjian kerjasama antara parti.

“Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Mansor sendiri telah menandatangani perjanjian atau memorandum kerjasama antara Parti Komunis China dan UMNO pada bulan Ogos, tahun 2010.

“Memorandum tersebut ditandatangani di Beijing, China dan pernah mendapat laporan meluas oleh akhbar tempatan.

“Adalah jelas ini terbukti bahawa apabila UMNO mengutuk komunis dan melemparkan segala fitnah terhadap Parti Komunis Malaya serta cuba menodai nama baik Mat Sabu, UMNO secara terbuka telah menjalin hubungan intim dengan bapa komunis kepada PKM iaitu Parti Komunis China,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, Parti Komunis China juga sering diundang menjadi tetamu kehormat khas perhimpunan agung UMNO.

Nga yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata UMNO bersikap seperti meludah ke langit, akhirnya kena pada muka sendiri, iaitu akibat melakukan fitnah.

Beliau berharap rakyat semua kaum tidak mudah termakan fitnah UMNO yang disebarkan secara meluas melalui media kawalan UMNO-BN. – Roketkini.com

Ramai pemimpin akar umbi Melayu bakal sertai DAP

Ramai pemimpin akar umbi Melayu bakal sertai DAP


KUALA LUMPUR, 5 SEPT – DAP yakin akan dapat menarik ramai tokoh dan pemimpin akar umbi dari kalangan orang Melayu termasuk para blogger untuk menyertai parti.

Ketua Pemuda DAP Anthony Loke berkata pengumuman mengenai penyertaan beberapa pakar akademik dan blogger akan dibuat tidak lama lagi.

“Sudah ada perbincangan awal dan mereka juga sudah menunjukkan perkembangan positif untuk menyertai DAP. Kami berharap kemasukan mereka akan memberi semangat untuk lebih ramai menyertai DAP,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insider.

Beliau menjelaskan bahawa bukan DAP sahaja yang aktif menarik penyertaan kaum Melayu, malah orang Melayu dan Bumiputera sendiri melahirkan hasrat untuk menyertai DAP yang telah berusia 45 tahun itu.

“Kami mengundang mereka yang boleh memberi tenaga kepada perkembanagn DAP daripada kalangan orang Melayu, dan di Sarawak Dayak… ini merupakan dua etnik khusus, yang DAP beri perhatian buat masa sekarang,” katanya lagi dalam wawancara itu.

Loke gembira kerana walau pun musuh politik terutamanya UMNO dan kumpulan-kumpulan perkauman telah menuduh DAP sebagai parti kaum Cina, parti cauvinis dan komunis, ia tidak menghalang orang Melayu dan Bumiputera yang mengetahui keadaan sebenar untuk menyertai DAP.

“Kami sentiasa berjuang sebagai sebuah parti rakyat Malaysia… perkara ini sudah mula disedari oleh orang Melayu sendiri.

“Saya fikir bahawa sudah sampai masanya, DAP, kita berharap yang ini akan menjadi satu usaha berterusan terutama dengan kemasukan golongan cendekiawan Melayu… masuk ke dalam DAP, kami berharap proses ini akan menguatkan, dan memberi satu suntikan baru ke dalam DAP,” katanya.

Bulan lalu, tokoh akademik dan pakar sejarah budaya orang Melayu, Prof Dr Ariffin Omar telah menyertai DAP.

MB Johor contoh terbaik talibarut British?

MB Johor contoh terbaik talibarut British?
http://edyesdotcom.blogspot.com/

Perdebatan sejarah kemerdekaan kembali panas dengan pengakuan MB Johor, yang menukar pendiriannya setelah mengatakan Mat Indera sebagai Tokoh Terbilang suatu ketika dulu. Apakah tujuan MB Johor menukar pendirian? Apakah MB Johor ini ditekan oleh Umno Johor kerana kerisauan Johor juga bakal tumbang jika sejarah sebenar terungkai ?

Merujuk kepada kenyataan MB Johor dalam portal bernama;

Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim.

Beliau berkata berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM), sebagai Ketua Rejimen ke-10 yang kejam dan zalim serta mengancam keselamatan orang awam pada ketika itu.


"Apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM telah diharamkan.


"Oleh itu, ramai anggota gerakan berhaluan kiri memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM atau meneruskan hasrat berjuang atas landasan lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno).

Sebelum diulas dengan lebih lanjut, mari kita renung apakah tindak tanduk penjajah British (atau boleh saya kata pengganas British?) ketika Mat Indera melancarkan gerakan kemerdekaan. British melabelkan Mat Indera sebagai pengganas komunis lalu meletakkan $75 000 untuk kepala Mat Indera. Keluarga Mat Indera juga diseksa dan dibuang daerah oleh British. Apabila Mat Indera ditangkap, hukuman untuk beliau adalah penyiksaan untuk berbulan lamanya dan akhirnya beliau dihukum gantung di Taiping.

Hari ini, Menteri Besar Johor membuat kenyataan bahawa Mat Indera seorang pengganas komunis yang kejam dan zalim walaupun dalam buku "Pengukir Nama Johor", MB Johor ini jugalah yang menamakan Mat Indera sebagai Tokoh Terbilang. Bukankah kenyataan MB Johor ini menyerupai imperialis Inggeris? Apakah kenyataan MB Johor ini melengkapkan kebenaran betapa Umno adalah talibarut British dan meneruskan legasi British?

Mungkin sedikit masa lagi akan ada pemimpin Umno yang tergamak mengatakan Tok Janggut juga sebagai pengganas kerana Tok Janggut juga membunuh polis melayu yang bernama Sarjan Che Wan di Pasir Mas, Kelantan. Tok Janggut yang dibunuh dan gantung secara terbali, kemudian diheret menyeberangi Padang Bank Kota Bharu, tidak pula dianggap pengganas dalam buku teks sejarah. Inikah yang dikatakan sejarah ?

Berbalik kepada kepahlawanan Mat Indera, beliau pada awalnya telah diiktiraf dalam buku Pengukir Nama Johor sebagai antara tokoh negeri Johor yang terbilang. Ironinya, yang mengiktiraf beliau sebagai tokoh terbilang itu adalah MB Johor sendiri, lantas MB Johor menyatakan;

Penulisan dan catatan tersebut menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan.

Dengan kata-kata di atas, apakah kita juga boleh melebel sejarah kemerdekaan oleh Umno yang tertulis dalam mana-mana buku teks sejarah yang diiktiraf itu adalah semata-mata bahan kajian di atas prinsip 'kebenaran akademik' untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan ?

Kenyataan MB Johor hari ini juga menyebut, apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM telah diharamkan. Tetapi MB Johor tidak pula merungkaikan mengapa hanya hanya gerakan melayu Umno sahaja yang tidak diharamkan?

Ternyata pihak British tidak memberi ruang kepada semua gerakan kemerdekaan apabila mengharamkan PKMM, AWAS, API dan PKM. Semua nasionalis yang menuntut kemerdekaan tidak diberi pilihan. Hanya dengan menyertai kumpulan bangsawan elit Umno untuk kemerdekaan acuan British, atau berdepan dengan risiko merengkok dalam penjara atau lebih buruk, dibunuh menjadi pejuang tidak bernama.

Walaupun kenyataan MB Johor hari ini bersifat dangkal dan bodoh sombong, tetapi kita harus bersyukur kerana ia secara tidak langsung memberi petunjuk jelas betapa kemerdekaan yang dituntut Umno diberi laluan mudah oleh British dengan satu keraguan - Benarkah Umno talibarut British? Ia juga secara langsung membangkitkan ghairah lebih ramai anak muda untuk mengetahui sejarah sebenar kemerdekaan di sebalik sejarah doktrin penutup minda.

Setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah buat MB Johor yang serba flip-flop. Moga lebih ramai pemimpin Umno yang bersuara sepertimana kenyataan MB Johor hari ini. Keraguan sejarah kemerdekaan semakin terserlah dan memasuki era perdebatan terbuka. Benarlah kata orang, Umno akan dimakan sejarah, Umno sejarah...

KEJAM MACAM SIAPA?ADAKAH KEJAM SEPERTI UMNO

MB Johor: Mat Indera bukan pejuang merdeka, tapi pengganas

September 07, 2011

NUSAJAYA, 7 Sept – Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata Ahmad Indera atau Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim.

Beliau berkata berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM) dengan pangkat sebagai Ketua Rejimen ke-10 yang kejam dan zalim serta mengancam keselamatan orang awam pada ketika itu.

“Apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM telah diharamkan,” katanya dipetik Bernama Online.

“Oleh itu, ramai anggota gerakan berhaluan kiri memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM atau meneruskan hasrat berjuang atas landasan lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno).

“Bagaimanapun, Mat Indera telah memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British,” kata beliau.

Ghani berkata demikian bagi mengulas tindakan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, yang dengan yakin mempertahankan kenyataannya (Mat Sabu) bahawa Mat Indera dan pengganas komunis dalam peristiwa berdarah di Balai Polis Bukit Kepong adalah pejuang kemerdekaan sebenar.

Menurut Mohamad atau Mat Sabu, ia berdasarkan buku “Pengukir Nama Johor” pada halaman 107 hingga 117 yang menceritakan latar belakang dan perjuangan Mat Indera.

Ghani berkata tindakan Mat Indera menyertai PKM menyebabkan dia terpesong dan ianya berlainan daripada pemimpin haluan kiri lain seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad dan Ibrahim Yaakub yang tidak memilih untuk bertindak secara militan.

Beliau berkata kemuncak penglibatan Mat Indera yang kejam adalah peristiwa serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong di Muar pada 23 Februari 1950 dan fakta yang diperoleh dari pelbagai sumber sebilangan penyelidik ilmiah mengenai peristiwa itu menunjukkan Mat Indera bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan berkenaan.

Mengenai buku “Pengukir Nama Johor”, Abdul Ghani berkata dari sudut kegiatan Yayasan Warisan Johor (YWJ), segala kajian, penulisan dan catatan berhubung sejarah negeri, termasuk perjalanan hidup watak-watak seperti Mat Indera, merupakan data-data kemasyarakatan berkaitan anggota masyarakat yang pernah menonjolkan diri dalam peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku dalam negeri.

Katanya, penulisan dan catatan tersebut menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan.

Pelajar Malaysia di Syria Dibawa Pulang Bulan Ini




PUTRAJAYA 7 SEPT : Wisma Putra dilaporkan akan membawa pulang lebih 200 pelajar Malaysia di Syria ekoran pergolakan dinegara itu semakin meruncing.

Pegawai di Wisma Putra, Rosmawati Abdullah ketika dihubungi Tv Selangor mengesahkan proses membawa pulang kesemua pelajar ini akan dilakukan dalam bulan September ini.

"Dalam bulan ini tapi masih tak pasti lagi tarikhnya. Perdana Menteri pun belum buat keputusan lagi. Masih dalam perbincangan tapi InsyaAllah dalam bulan ini juga," jelas Rosmawati.

Tarikh sebenar kepulangan pelajar itu belum ditetapkan kerana masih menunggu keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kita tengah tunggu keputusan dariapda Majlis Keselamatan Negara," tambahnya.

Rosmawati berkata, pihaknya sentiasa berhubungan dengan kedutaan Malaysia di Damsyik, Syria bagi mengetahui perkembangan pelajar Malaysia di sana dan status keselamatan mereka.
Bagaimanapun, beliau menambah pihak Wisma Putra masih tidak dapat pastikan bilangan pelajar yang benar- benar mahu pulang ekoran ada diantara mereka yang terikat dengan jadual peperiksaan dan pembelajaran.

"Pelajar kita disana lebih 200 orang. Tapi pihak kita masih tak dapat pastikan berapa orang yang mahu pulang ke Malaysia,"katanya.
Kementerian Pengajian Tinggi juga dilaporkan akan mengemukakan surat kepada institut pengajian tinggi (IPT) di Syria bagi memaklumkan masalah dihadapi penuntut Malaysia.

Difahamkan pelajar Malaysia disana berdepan dengan kehidupan sukar apabila rusuhan rakyat Syria semakin teruk sehingga membawa kepada sekatan keatas penggunaan kad kredit dan wang tunai yang tentunya memberi kesan kepada mereka.

Sekatan itu dilakukan Amerika Syarikat sebagai mematuhi kehendak sekatan yang dikenakan oleh Jabatan Pembendaharaan Amerika ke atas Syria baru-baru ini.

Selain daripada Kad Visa, kumpulan Master Card menyatakan kesediaan mereka bahawa pihak mereka akan mengikuti langkah yang sama.

Amerika Syarikat mengumumkan dua minggu lalu bahawa ia telah mengenakan sekatan ke atas Bank Perdagangan Syria dan Bank Perdagangan Lubnan dengan mengatakan bahawa Amerika tidak akan terlibat dalam urusniaga komersial atau kewangan dengan entiti.

Pegawai bank di Syria memberitahu bahawa penggunaan Kad Visa di bank Syria atau bank-bank yang mempunyai cawangan di Syria telah berhenti beroperasi semenjak rabu lalu.

Tv Selangor pada 18 Ogos lalu telah menyiarkan keluh kesah pelajar Malaysia di Syria yang tertanya- tanya apakah usaha yang dilakukan pihak kedutaan dan Wisma Putra bagi membela nasib mereka dibumi bergolak itu.

Berita berjudul "Kami Pun Rakyat Malaysia, Jangan Sisihkan Kami - Pelajar Syria", berkongsi pengalaman beberapa pelajar Malaysia disana termasuk Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di Syria, Mohammad Hazuanuddin Sofuan.

Pendedahan itu juga membawa kepada kunjungan Duta Besar Malaysia ke Syria, Mat Dris Yaacob ke rumah salah seorang pelajar disana, Hairul Faizal pada 31 Ogos lalu.

Ketika kunjungan itu berlangsung, Mat Deris sempat mengulas laporan berita Tv Selangor bersabit hubungan dua hala pihak kedutaan dan pelajar.

Tanpa menafikan bahawa pihak kedutaan sentiasa melakukan tugas dengan baik, Hairul mewakili semua pelajar disana menyatakan harapan mereka agar pihak kedutaan meluangkan lebih masa untuk melihat sendiri permasalahan yang terpaksa ditanggung mereka.

Bangsa tidak berjaya jika tidak hargai sejarah sendiri

Bangsa tidak berjaya jika tidak hargai sejarah sendiri

Er Teck Hwa | Sep 06, 2011

Tragedi Bukit Kepong bukan hanya sekadar membuktikan siapa benar atau siapa salah semata-mata. Peristiwa telah pun berlaku, sejarah telah merekodkan tragedi ini. Lebih daripada itu, Bukit Kepong menuntut perhatian masyarakat betapa tapak warisan sejarah kemerdekaan Negara ini telah dibiarkan sepi dan terbiar tanpa perhatian sesiapa.

Menyelusuri tapak Rumah Pasung Bukit Kepong tersebut kita akan dapat melihat warisan sejarah ini menjadi usang. Sejak dilanda tragedi Banjir Besar tahun 2006, tidak kelihatan tanda-tanda usaha pemuliharaan serius terhadap tapak warisan ini. Bahkan, terdapat perancangan untuk membaikpulih tapak warisan sejarah ini di dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9). Tetapi, entah mengapa perancangan itu telah tidak menjadi kenyataan.

Walaupun saya tidak mempunyai pendidikan yang tinggi, namun saya amat menyedari kepentingan warisan bersejarah Negara kepada tatapan generasi akan datang. Atas keinsafan tersebut maka saya telah mengadakan lawatan ke tapak tesebut dua minggu selepas Bencana Johor 2011 dan membuat pertanyaan mengenai isu pembaikpulihan di dalam Sesi Perbahasan di Dewan Rakyat berhubung perkara ini pada bulan Mac. Malah Timbalan Menteri secara sinis mengatakan beliau tidak menyediakan jawapan lisan sambil tertawa. (Rujuk kepada DR 11.03.15 Mukasurat 38 dan DR 11.03.21 Mukasurat 142)

Jawapan bertulis yang diberikan oleh pihak Timbalan Menteri adalah isu ini bukan di bawah tanggungjawab Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi sebaliknya merupakan tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri. Persoalan, adakah Jabatan Warisan Negara terletak dibawah Kementerian Dalam Negeri?

Di manakah keseriusan kita mempertahankan khazanah warisan sejarah Negara? Atau kita hanya menjadi jaguh retorik yang menjerit mengalunkan lagu perjuangan hanya untuk kepentingan politik sendiri sahaja? Cukuplah bersandiwara. Jangan jadikan nasib Balai Muzium ini seperti sebiji bola yang boleh ditendang kepada sesiapa sahaja. Tindakan pemuliharaan perlu dilakukan segera.

Jika di Eropah, kawasan-kawasan warisan Sejarah ini akan dipelihara dan dipulihara agar generasi akan datang dapat melihat sendiri monument atau bangunan bersejarah tersebut sama ada untuk membuat kajian ataupun sekadar menziarahi. Malahan, terdapat satu Istana di Cornwall (Tintagel Castle), United Kingdom yang dijaga rapi sebagai tapak warisan sejarah King Arthur walaupun kisah King Arthur ini masih menjadi perdebatan sama ada ia benar-benar berlaku ataupun lipur lara masyarakat.

Di Malaysia, sebuah Negara yang telah mengecapi erti Kemerdekaan selama 54 tahun, aspek pemuliharaan monumen atau tapak bersejarah sering tidak mendapat tempat di hati Pemerintah. Tidak diangkat sebagai tapak warisan Negara. Contoh popular adalah kompleks Penjara Pudu yang telah menjadi mangsa kerakusan kapitalis tanpa pembelaan yang sewajarnya daripada pihak terbabit. Akhirnya kini, Penjara Pudu akan hanya tinggal dalam teks-teks sejarah sahaja.

Pemerintah hari ini dan Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi melalui Jabatan Warisan Negara perlu lebih serius dalam memulihara tapak bersejarah Bukit Kepong ini. Sangat menyedihkan dan malang sekali tatkala kita hebat berbahas di laman maya, di kedai kopi mengenai siapa benar atau siapa salah semasa tragedi Bukit Kepong tetapi monumen dan segala khazanah bersejarah yang tersimpan di Balai Muzium Bukit Kepong tersebut terus terbiar tanpa pembelaan sewajarnya.

Polemik dan perdebatan siapa benar dan siapa salah ini tidak akan berkesudahan, tetapi nasib Balai Muzium Bukit Kepong ini dan khazanah berharga Kemerdekaan Negara di dalamnya akan terus menjadi mangsa kealpaan dan sikap lalai kita.

Andainya tiada usaha pemuliharaan tapak ini, kemungkinan satu masa nanti anak cucu kita akan hanya mengingati cerita Bukit Kepong melalui penulisan buku ataupun filem Jins Shamsudin sahaja.

Dan apalah yang dapat anak cucu kita nanti untuk melakukan kajian sejarah terhadap peristiwa ini melainkan hanya melalui teks-teks dan gambar-gambar sahaja. Akhirnya, sejarah Negara tidak dapat diperkayakan, yang tidak bersalah tidak dapat diperjuangkan dan Negara kehilangan satu sumber kekayaan sejarah kebangkitan rakyat menentang penjajah Inggeris. Hayati petikan kata-kata ini "Bangsa yang tidak menghargai sejarah sendiri, ia tidak akan menjadi bangsa yang berjaya".

*Kenyataan media oleh Er Teck Hwa (gambar kiri) selaku ahli parlimen Bakri-DAP.




KUALA LUMPUR 6 SEPT : Di sebalik kontroversi berhubung dakwaan timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu bahawa Mat Indera atau nama penuhnya Muhammad Indera adalah salah seorang pejuang kemerdekaan, parti itu hari ini mendesak Putrajaya membentuk sebuah jawatankuasa Kabinet untuk meneliti semua fakta sejarah.

Hal ini kerana menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Umno selama ini telah membohongi umum dengan menggambarkan Mat Indera sebagai seorang komunis.
Menurut Mustafa, sejarah negara perlukan penelitian semula memandangkan versi rasmi hanya mengiktiraf Umno sebagai pejuang kemerdekaan.

“Perjuangan mendapatkan kemerdekaan tidak bermula dengan Umno... yang menentang British ialah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM),” katanya.

Mustafa berkata PKMM ditubuhkan pada 1945 sedangkan Umno dibentuk setahun kemudian.

Beliau bagaimanapun mengakui peranan pemimpin-pemimpin Umno dalam perjuangan kemerdekaan sambil berkata pengasas Umno Datuk Onn Jaafar dan Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj telah mengambil pendekatan kerjasama dengan menjadi pegawai pentadbiran British.

“Bagaimanapun sejarah telah dilarikan apabila dikatakan bahawa pejuang kemerdekaan hanyalah Umno. Ia tidak betul. Jangan menafikan pejuangan lain yang dimulakan oleh PKMM,” kata Mustafa lagi.

Dalam pada itu, naib presiden PAS, Salahuddin Ayub pula berkata, jawatankuasa itu dipertanggungjawabkan untuk menulis semula sejarah kemerdekaan yang sebenar.

“Jika beliau ikhlas, (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak) boleh mengadakan sebuah jawatankuasa Kabinet untuk menulis semula sejarah kemerdekaan,” katanya.

Sidang media sama turut dihadiri ahli jawatankuasa kerja Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Aziz Bari : 'Secara Teknikal Tidak, Pada Hakikat British Jajah Kita'



KUALA LUMPUR 6 SEPT : Pakar perlembangaan Prof Abdul Aziz Bari berkata meskipun negeri-negeri Melayu bukan atau tidak pernah dijajah oleh British, tetapi pada hakikatnya telah “dijajah kerana pentadbiran negeri dikawal” oleh kuasa Eropah itu sehingga negara merdeka lima dekad lalu.

“Pendeknya dari segi teknikal memang negeri-negeri Melayu bukan atau tidak pernah dijajah... hatta pentadbiran agama pun dipantau oleh British,” kata beliau, dipetik dari portal The Malaysian Insider.

“Secara teknikal memang betul bahawa kita tak pernah dijajah; negeri-negeri Melayu hanya negeri lindungan. Hanya Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang pernah dijajah,” kata beliau.

Bagaimanapun menurut ahli akademik ini, negeri-negeri Melayu bukan negeri yang bebas dan berdaulat kerana mereka tidak bebas mengadakan hubungan luar.

“Raja-raja, contohnya, dipaksa menerima kejatuhan Empayar Uthmaniah yang dihancurkan oleh British dan sekutu-sekutunya pada 1924. Ini semua berlaku kerana Raja-raja di bawah tangan British meskipun mereka tidak dijajah.

“Selain itu meskipun di sisi undang-undang, yakni secara teknikalnya, mereka berdaulat kita semua tahu dasar dan undang-undang semuanya ditentukan oleh British,” kata beliau sambil menambah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim tidak harus membesar-besarkan kedudukan teknikal itu sehingga menafikan hakikat yang berlaku ketika itu.

Aziz mengulas mengenai kritikan beberapa pihak ekoran pandangan tokoh sejarah itu bahawa negara ini sebenarnya tidak pernah dijajah oleh British, sebaliknya berada di bawah naungan negara Eropah itu.

Khoo melahirkan pandangan itu dalam satu temu bual dengan akhbar arus perdana kelmarin ketika kontroversi berkaitan kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hangat diperkatakan sehingga ada yang mahu fakta sejarah diteliti semula.

Negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-54 bersama hari pembentukan Malaysia — buat julung kali pada 16 September ini.

Menjawab soalan mengenai kenyataan Mohamad bahawa Allaharham Datuk Onn Jaafar dan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bukan pejuang kemerdekaan sebenar kerana mereka pegawai British, Khoo berkata: “Mereka tidak pernah bekerja dengan British. Kerajaan Melayu tidak pernah menjadi jajahan British. Kerajaan Melayu dulu secara rasmi dikenali sebagai Negeri Melayu Naungan iaitu di bawah perlindungan British, tetapi tetap diperintah oleh Raja.”

Katanya, kehadiran British adalah berasaskan perjanjian dengan raja setiap kerajaan dan pegawai British ditugaskan menjalankan pentadbiran, kedaulatan tetap pada raja.

“Maksudnya dari segi undang-undang, British tidak pernah menjajah kerajaan Melayu, hanya Negeri-Negeri Selat yang dikenali sebagai Tanah Jajahan Mahkota British. Pegawai British utama di Negeri-Negeri Selat dikenali sebagai gabenor, padahal kedudukan pegawai yang sama di kerajaan Melayu dikenali sebagai Pesuruhjaya Tinggi.

"Gabenor Hugh Clifford dalam ucapannya kepada Majlis Persekutuan pada Januari 1949 mengatakan apabila beliau merujuk kepada kerajaan Melayu: ‘They were, they are and they must remain Malay states. These states were when our cooperation in government was first invited Mohamedan monarchies. And such they are today. We have neither the right nor the desire to vary the system of government’,” katanya lagi.

Kata beliau, dalam undang-undang ada dua keadaan iaitu ‘de jure’ dan ‘de facto’.

“Datuk Onn mula-mula bekerja dengan kerajaan Johor dan Tunku dengan kerajaan Kedah. Mereka bekerja di negeri yang dianggap Negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Raja masih ada banyak autonomi.

“Selepas perang, mula-mula Datuk Onn kemudian Tunku diterima oleh British sebagai presiden Umno yang diakui British sebagai parti politik orang Melayu. Oleh sebab orang Melayu menentang Malayan Union, British tidak melaksanakan Malayan Union. British selanjutnya berunding dengan Raja-Raja juga Umno untuk menentukan sistem lebih sesuai,” kata Khoo lagi dan menambah, “akibatnya pada Februari 1948, Persekutuan Tanah Melayu diwujudkan.”

Mengulas lanjut, Aziz berkata, Khoo perlu faham beza antara kedudukan teknikal dan formal dengan kenyataan atau hakikat, yakni sesuatu yang benar-benar berlaku.

“Sama seperti hari ini, Raja-raja adalah ketua agama. Soalnya apakah mereka benar-benar ketua agama dalam erti kata yang sebenar? Tidakkah pentadbiran agama dijalankan oleh kerajaan?” kata beliau lagi.

KJ Sahut Cabaran Debat Kaji Semula Fakta Kemerdekaan



KUALA LUMPUR 5 SEPT : Hasrat PAS Kelantan untuk mengadakan sesi debat bagi menggesa agar dikaji semula fakta sejarah kemerdekaan negara, disahut Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Beliau dilaporkan menyatakan kesediaannya itu menerusi laman sosial Twitternya semalam.

Sesi debat itu dijangka akan diadakan pada akhir bulan ini di Balai Islam, Kota Baru.

Bagaimanapun jemputan debat itu tidak dapat dipastikan disyorkan oleh Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam atau dari kerajaan negeri Kelantan, memandangkan Khairy berkata jemputan itu datang terus daripada kerajaan negeri.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang semalam, Tuan Ibrahim berkata, PAS bersedia untuk berbahas dengan Umno berhubung kontroversi tragedi Bukit Kepong dan fakta sejarah negara — yang kini menjadi senjata terbaru parti Melayu itu untuk menyerang kepimpinan Mohamad.

Tuan Ibrahim berkata, ramai pejuang kemerdekaan yang tidak diiktiraf dalam sejarah termasuk Muhammad Indera atau Mat Indera, salah seorang yang terlibat dalam tragedi Bukit Kepong.

“Mat Indera dan ramai para pejuang kemerdekaan yang tidak diiktiraf dalam sejarah yang telah menjadi fokus utama serangan media perdana pro-Umno kepada PAS memerlukan satu penyelesaian konkrit.

“PAS berasa simpati kepada kesan mendalam kepada waris Mat Indera dan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang lain yang bangun menentang penjajah tetapi jasa mereka digugurkan dan tidak diiktiraf dalam sejarah akibat terpaksa menanggung pelbagai tuduhan liar ‘pejuang-pejuang pertahanan sejarah versi Umno’ tanpa ruang untuk menjawab,” katanya.

Gesaan agar dikaji semula fakta sejarah kemerdekaan negara tercetus apabila Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu semasa berceramah di Tasek Gelugor di Georgetown pada 21 Ogos, menyifatkan tentera komunis yang terlibat dalam tragedi Bukit Kepong tidak diiktiraf sebagai pejuang negara walaupun mereka tatkala itu berjuang menentang penjajah British ditanah Melayu.

Malah mereka menjadi mangsa serangan propaganda media perdana pro- Umno yang memomokkan kononnya tentera komunis itu adalah pengkhianat dan pengganas yang perlu dihapuskan.

Kenyataan Mohammad Sabu itu bingkas diputar belit media arus perdana dengan mendakwa pemimpin PAS itu mendewakan komunis dan tidak menghargai jasa serta pengorbanan pejuang kemerdekaan negara.

Natijahnya Mohammad Sabu diserang bertali arus tanpa langsung diberikan ruang untuk memberikan penjelasan bagi setiap tomahan yang dilontarkan kepadanya.

Beliau menerusi satu kenyataan media menganggap serangan bertali arus media arus perdana terhadap dirinya bermula 27 Ogos lalu sebagai amat keterlaluan dan menjijikkkan.



Mat Sabu : Kisah Mat Indera Makin Popularkan Saya

SHAH ALAM 6 SEPT : Timbalan Presiden PAS, Mohamad Mat Sabu atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu menganggap pelbagai tuduhan dan dakwaan yang dikenakan ke atasnya berhubung isu Mat Indera tidak sama sekali menjejas kedudukannya dalam bidang politik, sebaliknya lebih meningkatkan popularitinya.

Menurut beliau, sejak isu Mat Indera yang disifatkannnya sebagai pejuang sebenar kemerdekaan, beliau menerima pertambahan sokongan dari kalangan blogger yang menyokong pendiriannya itu.

Menyentuh mengenai gesaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Hussein agar sesiapa yang merasa tersinggung dengan kenyataan Mat Sabu berhubung tragedi serangan Balai Polis Bukit Kepong lebih 60 tahun lalu, Mat Sabu berkata, beliau sedia menerimanya.

“ Tak ada masalah, kalau mereka nak saman itu hak mereka, kita pun sudah menawarkan peguam untuk mereka kalau mereka nak tuntut pampasan dari kerajaan British. Kita sanggup menyediakan peguam.

"Ada peguam yang sanggup membela mereka tuntut pampasan daripada kerajaan British , mereka dulu bukan dalam kerajaan Malaya, kerajaan British,"katanya kepada Tv Selangor.

Hishamuddin semalam berkata, tindakan saman di mahkamah mungkin antara yang boleh dilakukan oleh pihak yang tersinggung terutamanya anggota keluarga pejuang kemerdekaan negara serta persatuan-persatuan bekas polis.

"Saya rasa pihak yang berkepentingan perlu mengambil tindakan kerana kadangkala nak tunggu siasatan dari pihak polis dan Peguam Negara mengambil masa.

"Ramai yang kecewa dengan kenyataan Mat Sabu, dan saya sendiri sebagai cucu Datuk Onn (Jaafar) terasa terhadap dakwaan-dakwaan yang berunsur politik, tapi ada had dan batasan dalam nak politikkan sesuatu. lebih-lebih lagi bila ianya bersandarkan kepada sejarah," katanya kepada pemberita semalam.

Dalam pada itu, muka tujuh Utusan Malaysia hari ini turut menyiarkan berita bertajuk “Persatuan Bekas Polis Malaysia Kuantan labelkan Mat Sabu sebagai komunis era baru".

Mengulas laporan akhbar itu, Mat Sabu menerimanya dengan hati terbuka dan sekali lagi menegaskan, ia tidak memberi apa-apa kesan kepada dirinya.

Bahkan katanya, PAS sendiri pernah dicop sebagai komunis oleh mantan Perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“ Mereka cop (PAS), tak ada masalah, Tuan Guru Bakar Bakir dulupun dicop komunis. Dr Burhanudin mereka tuduh komunis. Itu bukan perkara baru,ulang siaran daripada British,"tambah beliau.

Menyentuh soal debat berhubung isu ini, Mat Sabu berkata, beliau hanya mahu berdebat dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya pun tak tau kalau (saya kena) debat dengan Khairy (sebab) selama ini Khairy bukannya maki saya,tetapi yang maki saya Timbalan Perdana Menteri, kalau nak debat pun biarlah dengan dia,"tambah beliau lagi.

Ujarnya, Umno kini menggali lubang sendiri dan akhirnya akan memakan diri sendiri dalam usaha menguburkan karier politiknua.

“ Makan diri.. mereka sedang gali lubang. Macam dalam kes Mat Indera dia telah kalah. Mat Indera diiktiraf sebagai pejuang oleh negeri Johor.

“ Memanglah, Umno itu pengampu British. Orang menghentam British duduk dalam penjara, orang Umno tidak dipenjarakan kerana dia pengampu,"katanya lagi.

Lapan Fakta Tentang Muhammad Indera

SHAH ALAM 6 SEPT : Individu yang dilabel sebagai Komunis, Muhammad Indera (yang dianggap pejuang kemerdekaan sebenar Pakatan Rakyat) didakwa pernah menjadi anak murid kepada bapa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah Muhammad Indera juga dikatakan hampir menikahi kakak kepada Muhyiddin, namun dihalang bapa Muhammad Indera, dedah Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat.
"Mat Indera mahu berkahwin dengan kakak Timbalan Perdana Menteri, Muhyuddin Yassin tapi tidak dipersetujui oleh bapa Mat Indera," kata Suhaizan.
Menulis di laman Facebook, Suhaizan berkata, Mat Indera pernah menegaskan bahawa beliau bukan komunis dalam pertemuan terakhir dengan adik kandungnya, Johan Shah di Penjara Air Molek, Johor Bahru.
"(Sebaliknya) British (yang) tuduh Mat Indera Komunis," tegas Suhaizan.
Dibawah adalah beberapa fakta mengenai Muhammad Indera yang kurang diketahui umum :-
1- Mat Indera anak kedua daripada lapan adik beradik. Ibunya meninggal ketika Johan (bongsu) berusia dua tahun.
2- Johan, bapa Mat Indera, ibu tiri dan neneknya diseksa British dan dibuang daerah ke Singapura selama 5 tahun daripada tahun 1950 hingga 1954.
3- British tawar $25,000 sebelum Peristiwa Bukit Kepong untuk tangkap Mat Indera. Selepas peristiwa itu, tawaran dinaikkan kepada $75,000.
4- Mat Indera datang ke Bukit Kepong di saat akhir peristiwa tersebut dan tidak terlibat dalam serangan tersebut.
5- Mat Indera pernah menyelamatkan anggota polis pada masa itu Yusof Rono.
6- Mat Indera dilantik oleh kerajaan Johor sebagai guru agama. Beliau diberikan baju dan songkok rasmi. Beliau pernah belajar dengan ulama dikenali sebagai Tuan Guru Fadil.
7- Beliau digantung di Kampung Jambu Air, Taiping pada tahun 1953 dan kuburnya diasingkan daripada kubur utama.
8- Mat Indera tidak pernah berkahwin.

Biar Pemuda PAS Berdepan Dengan Khairy - Suhaizan Kayat




SHAH ALAM 5 SEPTEMBER : Sebaik sahaja Ketua Pemuda Umno menyatakan kesanggupannya untuk berdebat mengenai kebenaran fakta sejarah kemerdekaan negara, kali ini Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kayat pula menyatakan kesediaanya untuk berdebat dengan Kahiry Jamaluddin.

Suhaizan menegaskan, pemimpin tertinggi PAS seperti Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu tidak perlu melayan cabaran Khairy sebaliknya cukup sekadar dirinya yang berdepan dengan Ahli Parlimen Rembau itu.

"Saya menegaskan disini, jika sekadar isu ‘Mat Indera’ ini yang menjadi modal ‘pentas patriot’ Khairy untuk menyerang PAS, biar Pemuda PAS Johor sahaja yang berhadapan dan ‘selesaikan’ perkara ini," kata Suhaizan.

Beliau berkata, Mohammad Sabu dan pimpinan tertinggi yang lain mempunyai banyak misi nasional untuk dipantau termasuklah isu lapan tuntutan BERSIH 2.0 terhadap penambahbaikan sistem pilihan raya negara, kenaikan harga barang, peningkatan tarif elektrik, kontroversi komisyen pembelian Scorpene, dan sebagainya.

Suhaizan berkata pihaknya akan menyediakan pentas dan mengesyorkan sesi debat itu diadakan di daerah Muar, Johor tempat dimana terjadinya tragedi Bukit Kepong.

"Isu ini berlaku di Johor (Bukit Kepong). Mat Indera kami angkat sebagai hero kemerdekaan anak Melayu dari Johor dalam perjuangan menyingkirkan penjajah. Saya sendiri orang Johor. Jika Khairy anak jantan, turun ke Muar Johor, kita akan sediakan pentas debat untuk cari kebenaran sejarah ini!," tegas Suhaizan.

Debat itu penting bagi merungkai kontroversi yang menyelubungi Mohammad Sabu dan pimpinan Pakatan Rakyat yang ditomah media arus perdana kononnya mereka mendewakan fahaman Komunis dan tidak menghargai jasa serta pengorbanan pejuang kemerdekaan.

Sejak 27 Ogos bulan lalu sebanyak 49 laporan polis dibuat diseluruh negara, menggesa polis melakukan siasatan dan media arus perdana berhempas pulas menyerang Mohammad Sabu tanpa langsung memberikan peluang untuknya membela diri.

Selain itu, Suhaizan memberi jaminan akan menggerakkan seluruh jentera Pemuda PAS Johor untuk mengadakan pentas-pentas penerangan bagi memastikan kebenaran fakta berkaitan Mat Indera dan tragedi Bukit Kepong ini sampai ke pengetahuan rakyat khasnya rakyat di negeri Johor.

Suhaizan berkata, Pemuda PAS arif dengan modus operandi Umno yang bertindak membangkitkan isu Komunis demi mengalih pandangan rakyat daripada terus mempersoalkan pendirian kerajaan pemerintah bersabit banyak isu termasuk jawapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan pimpinan Najib berhubung lapan tuntutan BERSIH 2.0.

Tidak kurang juga pegangan kabinet Perdana Menteri Najib Razak berhubung komitmen Jawatankuasa Khas Parlimen yang ditubuhkan untuk mengkaji perjalanan sistem Pilihan Raya negara.

Dan terbaru, apakah jawapan Najib akan ketiadaannya di Malaysia tatkala rakyat menyambut kemerdekaan yang ke- 54 dan keseriusannya dalam membela nasib rakyat apabila besenang- lenang bercuti di Perth, Australia dikala rakyat mengikat perut merayakan Aidilfitri dalam keadaan harga barangan asas semakin meningkat.

Warganegara segera lebih bahaya dari Komunis

Warganegara segera lebih bahaya dari Komunis
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Memberikan hak warganegara kepada warga asing dan seterusnya mendaftarkan mereka sebagai pemilih adalah lebih bahaya dari pengganas Komunis, kata Salahudin Ayub.

"Kita nak beritahu kepada Umno BN, memberikan warganegara kepada warga asing dan mendaftarkan mereka sebagai pemilih lebih bahaya dari pengganas Komunis," kata Naib Presiden PAS itu kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata demikian sebagai membidas tindakan Umno BN yang menyerang Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam isu Mat Indera.

Mohamad pada satu ceramahnya sebelum ini mendakwa Mat Indera sebagai pejuang sebenar menentang penjajah dengan menyerang British di rumah pasung Bukit Kepong.

Umno bagaimanapun menuduh Mat Indera sebagai pengkhianat bangsa kerana bersekongkol dengan Komunis dalam serangan itu sekaligus menghentam Mohamad yang membela perjuangan Mat Indera.

Mengulas lanjut Salahudin berkata, Umno menggunakan isu tersebut semata-mata bagi menutup isu pemberian MyKad kepada pemegang kad merah yang didedahkan Pakatan Rakyat sebelum ini.

PAS dan pelbagai pihak sebelum ini mendedahkan wujudnya sendikit memberikan taraf warganegara kepada penduduk tetap dan didaftarkan sebagai pengundi dipercayai untuk Pilihan Raya Umum ke-13.

Perkara itu dikesan melalui semakan dalam Sistem Pendaftaran Negara (JPN) yang mendapati sehingga suku kedua (Mac-Jun) 2011, terdapat 1,108 kes pemegang kad pengenalan Merah diberikan MyKad khususnya di Selangor.

Turut menggemparkan negara sebelum ini, pertukaran status warganegara dalam masa singkat iaitu penduduk tetap pada sebelah pagi dan bertukar menjadi warganegara sebelah petang.

Ekoran itu, ahli parlimen Pakatan Rakyat mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memanggil sidang Khas Parlimen.

Najib bagaimanapun enggan berbuat demikian dan hanya mengumumkan akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen bagi Pembaharuan Sistem Pilihan Raya.


Parti Komunis China Tetamu Kehormat Persidangan Umno

IPOH 5 SEPT : Parti DAP Perak menganggap Umno sebagai 'meludah ke langit' apabila mendedahkan perjanjian kerjasama antara parti Melayu itu dengan Parti Komunis China pada Ogos 2010.

Perjanjian itu ditandatangani di Beijing, China oleh Setiausaha Agungnya ketika itu, Datuk Seri Tengku Andan Mansor yang mendapat liputan meluas media tempatan.

Pemimpin Umno sebelum ini termasuk Presidennya yang juga Perdana Menteri, Najib Tun Razak mengecam pemimpin Pakatan Rakyat kononnya mendewakan fahaman Komunis dengan menyifatkan tentera Komunis yang terlibat dalam tragedi Bukit Kepong sebagai pejuang kemerdekaan sebenarnya.

Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu semasa berceramah di Tasek Gelugor di Georgetown, 21 Ogos lalu berkata tentera Parti Komunis Malaya sepatutnya diiktiraf sebagai pejuang merdeka berikutan mereka menentang penjajah yang sebenar di tanah Melayu, iaitu British.

Namun jasa mereka dipadamkan dari sejarah kemerdekaan negara dan dituduh sebagai pengganas.

Umum mengetahui Parti Komunis Malaya (PKM) adalah jaringan kepada Parti Komunis China.

Justeru, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming menganggap Umno tidak layak untuk mengecam pemimpin Pakatan Rakyat berikutan parti perkauman itu secara jelas menjalinkan kerjasama dengan parti Komunis China.

“Adalah jelas ini terbukti bahawa apabila UMNO mengutuk komunis dan melemparkan segala fitnah terhadap parti Komunis Malaya serta cuba menodai nama baik Mat Sabu, UMNO secara terbuka telah menjalin hubungan intim dengan bapa Komunis Parti Comunist Malaya (PCM), Parti Komunis Cina.

“Bah kata pepatah Melayu, apabila meludah ke langit, akhirnya kena pada muka sendiri. Inilah akibat melakukan dosa fitnah,” katanya menerusi kenyataan medianya.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping, menambah hubungan Parti Komunis China dengan Umno sangat erat ekoran parti itu sering dijemput menjadi tetamu kehormat khas setiap kali Perhimpunan Agung Umno diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
“Adalah jelas Parti Komunis Cina sering diundang menjadi tetamu kehormat khas perhimpunan Agong UMNO yang diadakan di PWTC, KL. Apa nak dikata sekarang?,” soalnya.

Anak Kedua Anwar Mungkin Tanding Di Nibong Tebal

SHAH ALAM 5 SEPTEMBER : Anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha mungkin membuat penampilan pertama dalam politik apabila dikatakan bakal bertanding di parlimen Nibong Tebal dalam pilihan raya umum akan datang.

Semalam, Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman mengesahkan cabang PKR Nibong Tebal menamakan Nuha sebagai calon berpotensi untuk bertanding di kawasan campuran separa bandar itu.

"Namanya muncul sebulan lalu. Ia akan disahkan sama ada beliau calon akhir. Semuanya akan diumumkan sebelum pilihan raya umum," Mansor dipetik sebagai berkata oleh China Press.

Mansor turut mendedahkan, selain cadangan daripada cabang, pemimpin lain di peringkat nasional turut mengesyorkan PKR mempertaruhkan Nuha.

Anwar bagaimanapun menulis di Twitter pagi ini bahawa Nuha tidak berminat menggalas tanggungjawab itu.

Wawasan 2020 semakin jauh meninggalkan kita

Senarionya seolah-olah kembali semula kepada keadaan sebagaimana yang berlaku dalam krisis ekonomi global tahun 2008. Dalam keadaan di mana permintaan luar semakin menurun, negara Asia hanya boleh bergantung kepada permintaan dalaman untuk menyokong pertumbuhan ekonominya. Seandainya negara Amerika-Eropah, dan ekonomi dunia mengalami kemelesetan sekali lagi, maka negara-negara Asia terpaksa menjana semula dasar pengembangan fiskal untuk menstabilkan permintaan dalam dan langkah pertumbuhan ekonomi dalam negara.

Agak sukar untuk ekonomi negara kita mengelakkan diri daripada malapetaka ini, lantaran daripada krisis ekonomi global yang mungkin berlaku. Berdepan dengan ribut ekonomi yang bakal melanda, Kerajaan Najib Razak menaruh harapan terakhirnya pada Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk merangsang pasaran dan pelaburan, agar negara kita kembali kepada landasan menuju ke Wawasan 2020.

Namun demikian, nampaknya Najib terlupa bahawa krisis global bukanlah punca masalah struktur ekonomi negara kita, paling banyak ia sebagai pemangkin yang menyebabkan masalah semakin ketara. Untuk jangka pendek, belum pasti lagi sama ada ETP mampu menyelamatkan Malaysia dari ribut ini.

Cuma, apa yang pasti, jikapun ekonomi negara kita mampu terselamat daripada krisis kemelesetan dalam tempoh dua tahun ini (seandainya krisis ekonomi global berlaku untuk kali kedua) - dari segi jangka sederhana dan jangka panjang, wawasan Najib untuk mencapai negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020, akan ditundakan, malah mungkin untuk had tempoh yang tiada penghujungnya.

Terdapat beberapa rasional untuk kita percaya bahawa "Mitos Najib" mungkin perlu dibubuhkan noktah. Mungkin sudah tiba masanya mereka yang yakin bahawa "ETP mampu mengubah masa depan" terjaga dari khayalan ini untuk berdepan dengan realiti.

Krisis global perlahankan langkah pertumbuhan

Pertama, krisis ekonomi global pada tahun 2008/09 telah memperlahankan langkah kita untuk merealisasikan Wawasan 2020. Menurut maklumat dari EPU (Unit Perancang Ekonomi), krisis ekonomi global ini telah mengheret paras Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) kita sebanyak 26% lebih rendah daripada sasaran Wawasan 2020.

Negara
Musim pertama 2011
Musim kedua 2011
Amerika Sykt
2.2%
1.6%
Europah
2.5%
1.7%
Britain
1.6%
0.7%
Jepun
-3.6%
-1.3%
China
9.7%
9.5%
Indonesia
6.5%
6.5%
Hong Kong
7.5%
5.1%
Taiwan
6.5%
4.9%
Korea
4.2%
3.4%
Singapura
9.3%
0.9%
Malaysia
4.9%
4.0%

Selain itu, maklumat rasmi menunjukkan bahawa ekonomi negara kita mencatat pertumbuhan 5.5% setahun secara puratanya, antara tahun 2000 hingga 2008. Namun seandainya kita memanjangkan setahun lagi, iaitu memasukkan tahun 2009 (tahun di mana ekonomi kita menyusut) dalam perhitungan, maka kita hanya mendapati pertumbuhan ekonomi kita pada purata 4.3% setahun, antara 2001 hingga 2009.

Menurut matlamat ETP yang disasarkan kerajaan Najib, Malaysia perlu mengekalkan pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya pada 6% setahun, dan pertumbuhan pelaburan swasta pada 12.8% setahun secara puratanya - agar Malaysia mencapai status sebagai negara berpendapatan tinggi, dengan purata pendapatan tahunan perkapita sejumlah USD 15,341.

Seandainya negara kita terjerat semula ke dalam kemelesetan ekonomi, yang seterusnya mengakibatkan kita gagal mencapai matlamat dalam dua tahun ini - maka ia akan memperlebarkan jurang antara matlamat GDP dengan GDP yang sebenarnya. Dengan kata lain, ekonomi kita perlu bertumbuh dengan kadar berlipat ganda untuk menghambat langkah wawasan 2020, dalam masa 10 tahun ini.

Ekonomi kita yang kurang kental

Lebih penting, seandainya dibanding dengan negara maju atau negara Asia Tenggara yang lain, kita memerlukan lebih masa untuk meleraikan Contagion Effects yang disebabkan krisis global, lantas langkah pemulihan kita lebih perlahan daripada negara lain.

Misalnya, pertumbuhan ekonomi negara kita memperlihatkan penyusutan pada musim pertama 2009, setelah krisis global tercetus pada tahun 2008. Kemelesetan ekonomi yang disebabkan penyusutan nilai eksport bukan sahaja memberi kesan terhadap bidang industri yang berorientasikan eksport, malah juga memberi kesan negatif secara tidak langsung terhadap bidang pembuatan, perkhidmatan lain yang memenuhi permintaan dalaman.

Malah, momentum pemulihan ekonomi Malaysia pada tahun 2010 (+7.2%) jauh ketinggalan berbanding dengan negara kecil-kecilan lain yang berorientasikan eksport, misalnya Singapura (+14.5%) dan Taiwan (+10.8%).

Pada dasarnya, ia mencerminkan masalah struktur ekonomi kita yang kurang kental dan kurang fleksibel. Untuk sekian lama ekonomi negara kita berada pada peringkat rantaian nilai rendah - dengan kebanyakan daripada bidang kita, sama ada pembuatan, pertanian mahupun perkhidmatan, ditunjangi buruh kurang mahir (atau bergaji rendah), yang akhirnya menjejaskan produktiviti dan daya saing negara kita.

Maklumat Rancangan Malaysia ke-10 menunjukkan bahawa produktiviti buruh negara kita hanya berada pada paras 2.4% secara puratanya, antara tahun 2000 hingga 2009 - lebih rendah daripada China (9.1%), India (5%) dan Indonesia (3.4%) pada tempoh yang sama. Di samping itu, Overall Productivity kita pada tahun 2009 hanya mencecah 12.8%, jauh ketinggalan di belakang Singapura (45.3%), Taiwan (39.2%) dan Korea (32.1%).

Akhirnya, negara kita terperangkap dalam satu dilema, di mana kita gagal bersaing dengan negara ketiga yang lebih rendah kos pembuatannya dari segi rantaian nilai rendah. Dari segi rantaian nilai tinggi pula, kita ketinggalan di belakang negara seperti Singapura, Hong Kong, Korea dan Taiwan. Oleh itu, bukan sahaja ekonomi negara kita berada pada tahap yang lembap dalam tempoh 10 tahun ini (dengan purata 4.3%), malah memperlihatkan kurangnya kekentalan dan fleksibeliti sebelum dan selepas krisis ekonomi.

Pertumbuhan nilai tambahan semakin perlahan

Dalam satu laporan berjudul The Global Financial Crisis and the Malaysian Economy: Impact and Responses, yang ditulis bersama pakar ekonomi tempatan Mahani Zainal Abidin dan Rajah Rasiah (gambar bawah), bidang pembuatan negara kita telah memperlihatkan pola menurun sejak zaman 1990-an. Manufacturing value-added growth telah diperlahankan dari 11.6% pada tahun 1990-1995, kepada 5.8% pada tahun 1995-2000, malah menyusut kepada 4.9% pada tahun 2000-2005.

Antaranya, pertumbuhan sektor bukan elektrik dan elektronik, dan sektor jahitan menunjukkan penurunan mendadak antara tahun 2000-2005, malah, sektor elektronik yang merupakan sektor terbesar dalam bidang pembuatan, memperlahankan manufacturing value-added growth-nya dari 26.8% antara tahun 1990-1995 kepada 0.5% dari tahun 2000-2005.

Ketika krisis ekonomi global pada 2008/09, manufacturing value-added growth bidang pembuatan terperangkap dalam penyusutan, dari -7% pada musim pertama 2008, kepada -14.5% pada musim kedua 2009. Mahani Zainal Abidin dan Rajah Rasiah menganggap krisis ekonomi global bukan punca utama penyusutan ini, tetapi hanya mempercepatkan penyusutan bidang pembuatan.

Mereka menambah, kita terlalu awal untuk memasuki fasa "deindustrialisation" sebelum bidang pembuatan negara kita memasuki pembuatan bernilai tinggi.

Keadaan ini menyebabkan nisbah bidang pembuatan dalam GDP memperlihatkan trend berkurang, malah purata produktiviti sektor-sektor, termasuk makanan, jahitan, kasut, kayu, perabot, pencetakan, getah, kertas, mineral semula jadi bukan logam, mesin dan peralatan pengangkutan menunjukkan penurunan antara tahun 2000 hingga 2005. Misalnya, produktiviti buruh sektor elektrik dan elektronik diperlahankan dari 12.4% antara tahun 1990-1995 kepada 1.4% antara tahun 2000-2005.

Pada hakikatnya, terdapat hubungan positif antara nilai tambahan tinggi dengan produktiviti buruh. Produktiviti negara kita yang rendah mencerminkan realiti bahawa negara kita kekurangan "kekreatifan". Ia memerlukan kordinasi dari bidang pendidikan. Namun demikian, ETP yang digerakkan kerajaan Najib lebih memberi tumpuan kepada infrastruktur, daripada latihan dan pembangunan modal insan.

Di samping itu, kekurangan sektor nilai tambahan dan produktiviti yang rendah turut memberi kesan kepada pelaburan swasta. Selain dipengaruhi economic cycle, pelaburan domestik dan pelaburan asing (FDI) agak merudum untuk tahun-tahun kebelakangan ini, dan ia disebabkan;-

Pertama, pasaran dalam negara menjadi tepu (sama ada terlebih atau terkurang pelaburan), ditambah pula kurangnya nilai tambahan dan produktiviti yang rendah, ekonomi negara terperangkap dalam rantaian nilai rendah, sehingga gagal menerokai bidang baru. Dalam keadaan ini, pelabur sama ada tempatan mahupun asing mengalih tumpuan mereka ke pasaran lain dalam rantau ini.

Keduanya, bidang ekonomi dimonopoli dan didominasi pelaburan awam dan GLC, sehingga tiada ruang untuk sektor swasta. Maka mereka yang berdepan dengan fenomena "crowding out", terpaksa memilih untuk meninggalkan pasaran tempatan.

Pelaburan: Lebih banyak mengalir keluar


Misalnya, ketika zaman kegemilangan ekonomi Malaysia antara tahun 1990-1997, kita mencatat purata pertumbuhan ekonomi 9.1% setiap tahun. Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) pelaburan swasta mencatat 16.2% secara purata; sebaliknya, ketika ekonomi kita jatuh merudum, pertumbuhan ekonomi kita hanya mencatat purata pertumbuhan 5.5% setahun antara tahun 2000 hingga 2008, dengan purata pertumbuhan pelaburan swasta 1%, dan purata pertumbuhan pelaburan awam pada 4.9%

Begitu juga dengan FDI antara tahun 2000 hingga 2007, hanya mencatat purata pertumbuhan 1%. Maklumat UNCTAD menunjukkan bahawa hanya 2.6% pelaburan asing yang masuk ke Malaysia, daripada kesemua pelaburan asing yang masuk ke negara Asia pada tahun 2007. Pada zaman tahun 1990-an, negara kita pernah mencatat 8%.

Secara perbandingan, negara Asia yang lain mencatat pelaburan asing yang lebih tinggi, misalnya China, India, Taiwan, Singapura, Thailand, Filipina, Vietnam dan sebagainya, dengan peratusan antara 8% hingga 30% dalam tahun 2000-2007.

Pada masa yang sama, antara tahun 2000 hingga September 2009, pengaliran pelaburan tempatan ke luar negeri bertumbuh pada purata kadar 28% setiap tahun. Dalam tempoh ini, sebanyak RM110.2 bilion pelaburan dialir keluar, 1.7 kali lebih tinggi daripada FDI yang mengalir masuk ke negara kita.

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut dan diterjemah dari teks asal yang disiarkan pada 2 September 2011.

KHAIRY...MAT SABU BUKAN BACUL..TAPI TAK DAK STANDARD NAK BAHAS DENGAN PEMUDA Umno


Aku terpanggil untuk memberikan komen berhubung dengan tindakan siKhairy ini untuk berdebat dengan Mat Sabu.Siapa Khairy jamaluddin nak berdebat dengan Mat sabu yang merupakan Tim Presiden PAS.SedangkanKhary belum tentu layak untuk berdebat dengan Ketua Pemuda PAS Nasrudin Tantawi.


Khairy bukan sahaja tidak akan dicalonkan oleh Umno pada masa akan datang, namun kedudukan beliau juga tidak jelas.Pertama kali dalam sejarah Umno ketua Pemuda Umno tidak diberi sebarang jawatan.Khairy perlu menonjolkan diri beliau pada masa ini untuk membolehkn beliau diteriama sebagai calon.

Adalah amat menjatuhan maruah seorang timbalan presidien PAS untuk berdebat dengan ketua pemuda umno yang masih dianggap ingusan dan naik disebabkan bekas Perdana Menteri adalah bapa mertua beliau.

Ketika Mat Sabu berceramah dan melibatkan diri dengan politik.......Khairy masih lagi budak ingusan...maka oleh sebab yang demikian..adalah selayaknya lah perdebatan ini di lakukan bersama dengan ketua pemuda Umno dan ketua Pemuda PAS....


AKU MEMANG SUKA KALAU DISIARKAN SECARA LANGSUNG DALAM SIARAN TV3 SUKU..ATAU TV1 SUKU ATAU TV 2 SUKU....




Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mendakwa Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sebagai "bacul dan tiada maruah" apabila menyerahkan peranan berdebat dengannya berkaitan isu kemerdekaan kepada pihak lain. NONE"Yang pasti, saya sedar hari ini PAS pilih timbalan presiden yang bacul dan tiada maruah. Takut sebab salah. "Tewas sebelum tempur," katanya. Mohamad Sabu pagi ini berkata, beliau menyerahkan tugas kepada Pemuda PAS Johor untuk berdebat dengan Khairy (kiri) berhubung isu itu kerana kedua-dua sayap PAS dan Umno itu lebih sesuai berbuat demikian. Katanya, beliau "tidak tolak" berdebat, tetapi biarlah Pemuda PAS dan Pemuda Umno yang mengambil bahagian "kerana mereka layak". Dalam tulisan yang bertubi-tubi di Twitter berhubung perkara itu, di samping berkata tiada masalah berdebat dengan Ketua Pemuda PAS, Khairy menyifatkan Mohamad "takut dan lari".

Sejarah bagai gadis disolek sesuka hati

Sejarah bagai gadis disolek sesuka hati

Tongkat Bahaman | Sep 05

54 Soalan untuk renungan anak-anak muda pasca merdeka sempena 54 tahun "merdeka…"

1. Benarkah UMNO tidak pernah berperang dengan British dan pemimpinnya hanya berunding untuk mendapat kemerdekaan. Jadi Tunku adalah perunding atau pejuang?

2. Sebelum Merdeka British begitu terancam dengan PKM selepas merdeka UMNO pula, walaupun sudah berdamai (1989) tetapi tetap gelabah. Apakah mereka bimbang mengenai hakikat sejarah yang akan terbongkar?

Benarkah ramai tentera British telah menjadi korban gerila Tentera Pembebasan Rakyat Malaya (TPRM) yang terdiri dari seluruh bangsa rakyat Malaya yang bergabung tenaga bersama PKM?

4. Bilakah semboyan MERDEKA bermula dan siapakah pemulanya ?

5. Benarkah ramai perajurit TPRM juga telah terkorban menentang tentera penjajah Inggeris sejak darurat 1948 hinggalah merdeka. Apakah maksud pernyataan ini ?

6. Kalau merdeka tanpa pertumpahan darah kenapa begitu ramai nama-nama askar Inggeris yang yang mati direkodkan di tugu negara kita. Kenapa mereka mati? Mempertahankan siapa - tanah jajahan atau rakyat Malaya?

7. Benarkah Darurat 1948 adalah perang terhadap rakyat yang berjuang bersemboyankan merdeka. Mereka ditangkap, dipenjara dan dibunuh yang terlepas menyusup ke hutan bergerila membentuk TPRM.

8. Akta darurat 1948 adalah demi keselamatan negara atau keselamatan imperialis Inggeris di Malaya?

9. Benarkah Darurat 1948 ini diisytiharkan sesudah kuasa penjajah Inggeris melihat PKMM, AWAS, API, PKM, BATAS, Kesatuan Buruh dan lain-lain telah berjaya mengumpulkan berjuta rakyat Malaya di bawah PUTERA-AMCJA untuk mengusulkan negara merdeka berpelembagaan.

10. Benarkah Darurat 1948 diistiharkan bagi mengekang tekanan dan suara merdeka di bawah PUTERA-AMCJA pelbagai kaum rakyat Malaya ketika itu.

11. Benarkah HARTAL yang dilancarkan pada 1948 adalah antara penyebab kuasa imperialis Inggeris melancarkan akta darurat 1948…. dan kenapa?

12. Siapakah yang sebenarnya dalam keadaan darurat - imperialis Inggeris atau rakyat kerana kebangkitan seluruh rakyat ketika itu… ?

13. Benarkah akta ini adalah muslihat untuk British tidak mengisytiharkan perang sedangkan ia suatu perang terhadap rakyat yang berjuang menuntut Merdeka dengan membawa masuk 400,000 tentera dari tanah-tanah jajahannya ke Malaya?

14. Kerana akta ini ramai pemimpin PKMM, AWAS, API serta lain-lain parti yang berjuang untuk menuntut merdeka telah bersama PKM dan berjuang dengan senjata menentang Inggeris dan kenapa?

15. Jika mereka tidak memilih hutan dan gerila apakah pilihan yang ada untuk mereka kerana seluruh parti-parti progresif telah diharamkan. Apakah mereka perlu memilih rumah pasung Inggeris (balai polis), penjara atau tali gantung (UMNO sahaja yang tidak diharamkan ketika itu kerana ia ditaja oleh British).

16. Kenapa perang dalam negeri terus berlangsung selepas merdeka. Bukankah ini antara syarat yang dikenakan Inggeris untuk merundingkan kemerdekaan? Apakah signifikan syarat ini? Tidakkah untuk memberi masa kepada British bagi mengelak "premature withdrawal", dan apakah signifikannya terhadap soal perniagaan senjata jangka panjang ke Malaya oleh British serta kepentingan mempertahankan harta mereka (kolonial) yang masih ada?

17. Benarkah Inggeris memberi kemerdekaan kepada Malaya kerana mereka hormat orang Melayu yang mereka pernah tulis sebagai bangsa yang tinggal di atas pokok (1786) atau kerana mereka sudah tidak dapat tahan terhadap ribuan serangan bertubi-tubi dari gerila PKM yang menyebabkan beribu-ribu askarnya cedera dan terkorban.

18. Setujukah kalau kita katakan bahawa kita hanya ada sebelah buku sejarah iaitu versi UMNO sedangkan Inggeris mempunyai buku sejarah tentang negara kita yang lebih lengkap yang tersimpan di London.

19. Bolehkah wira-wira Melayu silam seperti Tok Janggut, Datok Bahaman, Mat Kilau, Dato Sagor, Dato Maharajalela dan yang lainnya yang dituduh oleh British sebagai pengganas itu adalah sebahagian dari pejuang kemerdekaan.

20. Benarkah pada tahun 1948 UMNO hanya sebuah parti (gerombolan) kecil minoriti seperti PERKASA hari ini ?

21. Kenapa semboyan UMNO adalah hidup Melayu dan bukan Merdeka, adakah ini kerana mereka pada awalnya memperlekehkan gerakan untuk merdeka atau takut atau ingin mengambil hati Inggeris?

22. Kenapa rundingan Baling 1955 gagal. Tidakkah Tunku di bawah tekanan David Marshall yang merancang untuk menggagalkan rundingan ini? (Said Zahari (17 tahun pernah merengkok dalam penjara) Ketua Pengarang Utusan Melayu ketika itu - adalah penulis cerita ini masih hidup serta boleh diwawancara).

23. Kenapa Rundingan Baling II yang dijanjikan oleh Tunku tidak menyusul bagi menamatkan perang dalam negeri. Apakah kesannya, jika berdamai bukankah tiada tentera kita yang terpijak periuk api dan menjadi korban perang yang sia-sia.

24. Ramai pemimpin-pemimpin Melayu termasuk Ulama' telah ditangkap dan dipenjara kerana mereka tidak sealiran dengan UMNO. Mereka telah dicap sebagai pengganas kemudian ditangkap - kenapa?

25. Di manakah pemimpin Melayu yang progresif seperti Dr. Burhanudin al-Helmi, Mustapha Hussein serta Pak Sako, Ahmad Buestamam, Ustaz Abu Bakar al-Bakir dan lain-lainnya telah menghabiskan usia mereka kalau bukan dalam penjara sedangkan mereka adalah nasionalis?

26. Jika PKM adalah anti Agama dan Tuhan, bagaimana ulama' seperti Ustaz Abu Bakar al-Baqir dan ramai pemimpin progresif Melayu boleh berjuang dalam satu pasukan yang sama menentang Inggeris.

27. Kenapa di setiap daerah (province) di China terdapat masjid malah jumlah orang Islam di China lebih dua kali ganda dari penduduk Islam di Malaysia? Begitu juga penganut agama lain bebas mengamal agama mereka.

28. Kenapa orang Melayu selalu ditakut-takutkan dengan fikiran lapuk terhadap komunis yang dituduh tidak percaya kepada Tuhan serta anti agama sedangkan UMNO menjunjung sistem ekonomi riba sedang Allah menganjurkan perang terhadap riba dan memberi ancaman dengan api neraka (al-Baqarah: 279 dan 275).

29. Kenapa ulama-ulama upahan UMNO lebih gemar menyerang sosialisme yang anti riba daripada menyerang capitalism yang mendukung sistem ekonomi riba?

30. Kenapa dalam setiap ulang tahun perayaan kemerdekaan UMNO tidak menonjolkan pejuang-pejuang lain yang sepanjang abad bergerila menentang kuasa penjajah Inggeris seperti Tok Janggut, Datok Bahaman, Mat Kilau Datok Maharajalela, Datok Sagor serta yang sebelumnya. Adakah hanya Tunku sahaja yang berjasa kerana dia dipilih oleh Inggeris menjadi wakil untuk berunding?

31. Kenapa UMNO sangat benci dan memusuhi pemimpin progresif Melayu hingga sanggup melebelkan mereka sebagai komunis agar mereka dijauhi oleh masyarakat dan tidak mengganggu takhta kuasa yang sedang berada di tangan UMNO.

32. Siapakah yang menggerakan gerakan menentang Malayan Union 1948 sedangkan pada waktu itu UMNO hanya gerombolan dan sangat kecil jumlahnya.

33. Benarkah PUTERA-AMCJA telah menggerakan seluruh rakyat Malaya keluar menentang Malayan Union pada 1948. Kenapa tidak nampak satu pun bendera UMNO ketika itu sedangkan terdapat ribuan kibaran bendera yang lain.

34. Pernahkah UMNO menjelaskan tentang makna merah dan putih benderanya dan dari mana mereka telah menciplaknya ?

35. Betulkah MCA itu berasal daripada Parti Kuomintang (bukan PKM) yang pernah mengganas selama 14 hari ketika Jepun tewas pada tahun 1945 ?

36. Kenapa rakyat Malaysia disuruh mendewakan Tunku Abdul Rahman sahaja dan tidak boleh menghargai pejuang-pejuang kemerdekaan yang lain yang telah menyumbangkan bakti menghalau Inggeris keluar dari negara ini?

37. Kenapakah UMNO terus memusuhi PKM walaupun mereka sudah berdamai pada tahun 1989. Adakah ini suatu cara untuk mereka terus menipu rakyat.

38. Adakah mana-mana rekod jenayah yang pernah dilakukan oleh ratusan bekas-bekas perajurit PKM yang dapat kita jadikan bukti bahawa mereka adalah spesis pengganas selepas 22 tahun mereka bersama rakyat.

39. Kenapa UMNO perlu gelabah apabila kisah sebenar Bukit Kepong didedahkan. Jika versi UMNO benar kenapa perlu gelabah kerana kebenaran tetap kebal.

40. Kenapa tidak diadakan perdebatan, forum secara terbuka mengenai perkara ini ?

41. Kenapa orang yang berbeza pandangan tentang sesuatu kisah boleh dituduh pengganas hanya kerana dia tidak bersetuju dengan kerajaan.

42. Jika kisah ini tidak betul kenapa ianya tidak dibetulkan sahaja melalui pembentangan fakta-fakta dan bukti yang sahih ?

43. Adakah rakyat semakin kelihatan cenderung untuk tidak mempercayai sejarah yang ditulis oleh UMNO - apakah dosa UMNO hingga ia semakin dibenci.

44. Adakah ini tanda awal bahawa kuasa dan sejarah sedang mengalami perubahan?

45. Kenapa UMNO masih memaksa rakyat melihat sejarah dari perspektif penjajah - tidakkah ini suatu kecurangan yang besar terhadap rakyat?

46. Adakah rakyat akan menolak kenyataan bahawa Tunku itu adalah salah seorang perunding untuk kemerdekaan di samping itu terdapat juga ramai lagi tokoh dan pejuang yang lain yang juga berjasa?

47. Adakah salah kalau kita menerima orang lain juga berjuang dan mereka juga perlu diberi sanjungan kerana jasanya sama ada besar atau kecil.

48. Peristiwa Bukit Kepong berlaku pada tahun 1950 (sebelum Merdeka) yang menggariskan pertentangan di antara anak tempatan dengan penjajah - kenapakah UMNO terus-terusan mahu membela penjajah? Adakah kita masih belum merdeka?

49. Kepada anak muda Malaysia sesekali pergilah melawat tugu negara dan fikirkan fakta-fakta yang terpahat di situ kemudian cuba fikirkan dari siapa kita merdeka. Dari Inggeris atau PKM ?

50. Tidakkah sejarah negara bangsa kita begitu comot, kotor dan curang, hingga amat sedikit daripada rakyat Malaysia (termasuk professor, guru sejarah dan pelajar serta pemimpin dan ahli-ahli UMNO) yang benar-benar faham dan dapat menceritakan rentetan sebenar perjuangan menentang penjajah dan mencapai kemerdekaan?

51. Tidakkah ia bagai seorang gadis yang telah disolek sesuka hati hingga tiada yang dapat mengenalinya dari kalangan anak muda Malaysia hari ini.?

52. Abdullah CD pernah bertemu Jins Samsudin mengenai fakta filem Bukit Kepong yang jauh terpesong namun beliau telah mengelak diri untuk janji temu kedua yang telah dipersetujui untuk membetulkan fakta ini. Kenapa Jins mengelak kalau bukan kerana Jins sebenarnya berniat memesongkan sejarah kerana ini adalah projek untuk menipu rakyat oleh UMNO?

53. Benarkah kita sudah Merdeka sedang kita boleh saja masuk penjara hanya kerana kita memakai baju kuning sesudah dituduh komunis atau subversive oleh pemerintah.

54. Jika sejarah kita umpama seorang gadis, apakah harus dia disolek sesuka hati hanya untuk mempertahankan kuasa yang diperolehi hasil dari perjuangan orang lain?