KJ Sahut Cabaran Debat Kaji Semula Fakta Kemerdekaan



KUALA LUMPUR 5 SEPT : Hasrat PAS Kelantan untuk mengadakan sesi debat bagi menggesa agar dikaji semula fakta sejarah kemerdekaan negara, disahut Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Beliau dilaporkan menyatakan kesediaannya itu menerusi laman sosial Twitternya semalam.

Sesi debat itu dijangka akan diadakan pada akhir bulan ini di Balai Islam, Kota Baru.

Bagaimanapun jemputan debat itu tidak dapat dipastikan disyorkan oleh Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam atau dari kerajaan negeri Kelantan, memandangkan Khairy berkata jemputan itu datang terus daripada kerajaan negeri.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang semalam, Tuan Ibrahim berkata, PAS bersedia untuk berbahas dengan Umno berhubung kontroversi tragedi Bukit Kepong dan fakta sejarah negara — yang kini menjadi senjata terbaru parti Melayu itu untuk menyerang kepimpinan Mohamad.

Tuan Ibrahim berkata, ramai pejuang kemerdekaan yang tidak diiktiraf dalam sejarah termasuk Muhammad Indera atau Mat Indera, salah seorang yang terlibat dalam tragedi Bukit Kepong.

“Mat Indera dan ramai para pejuang kemerdekaan yang tidak diiktiraf dalam sejarah yang telah menjadi fokus utama serangan media perdana pro-Umno kepada PAS memerlukan satu penyelesaian konkrit.

“PAS berasa simpati kepada kesan mendalam kepada waris Mat Indera dan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang lain yang bangun menentang penjajah tetapi jasa mereka digugurkan dan tidak diiktiraf dalam sejarah akibat terpaksa menanggung pelbagai tuduhan liar ‘pejuang-pejuang pertahanan sejarah versi Umno’ tanpa ruang untuk menjawab,” katanya.

Gesaan agar dikaji semula fakta sejarah kemerdekaan negara tercetus apabila Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu semasa berceramah di Tasek Gelugor di Georgetown pada 21 Ogos, menyifatkan tentera komunis yang terlibat dalam tragedi Bukit Kepong tidak diiktiraf sebagai pejuang negara walaupun mereka tatkala itu berjuang menentang penjajah British ditanah Melayu.

Malah mereka menjadi mangsa serangan propaganda media perdana pro- Umno yang memomokkan kononnya tentera komunis itu adalah pengkhianat dan pengganas yang perlu dihapuskan.

Kenyataan Mohammad Sabu itu bingkas diputar belit media arus perdana dengan mendakwa pemimpin PAS itu mendewakan komunis dan tidak menghargai jasa serta pengorbanan pejuang kemerdekaan negara.

Natijahnya Mohammad Sabu diserang bertali arus tanpa langsung diberikan ruang untuk memberikan penjelasan bagi setiap tomahan yang dilontarkan kepadanya.

Beliau menerusi satu kenyataan media menganggap serangan bertali arus media arus perdana terhadap dirinya bermula 27 Ogos lalu sebagai amat keterlaluan dan menjijikkkan.