Ancaman sebenar orang Melayu adalah dadah dan kemiskinan

 


Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ancaman sebenar terhadap Melayu adalah apabila mereka terus dibelenggu kemiskinan dan gejala penagihan dadah yang serius.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan kedudukan orang Melayu di negara ini tidak terancam disebabkan kewujudan kaum lain.

“Saya ingin kata bahawa orang Melayu dan orang Islam terancam bukan kerana kewujudan kaum lain di negara ini, Melayu tidak terancam kerana ada orang Cina di negara ini. Melayu tidak terancam kerana ada orang India dalam negara ini.

“Melayu terancam kalau orang Melayu miskin. Melayu terancam kalau orang Melayu paling banyak terlibat dengan masalah dadah, ini ancaman terhadap orang Melayu,” katanya.

Saifuddin yang kini menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) kelmarin.

Trend membimbangkan

Menurutnya, secara purata kira-kira 560 bagi setiap 100,000 rakyat terjebak dengan gejala penagihan dadah, memetik data Kementerian Kesihatan dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Malah, angka itu menunjukkan trend membimbangkan di beberapa negeri majoriti Melayu yang mencatatkan angka melebihi 1,000 bagi setiap 100,000 penduduk.

“Bila angka itu saya petik dari Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, di negeri ini semuanya melebihi 1,000 bagi setiap 100,000 penduduk (terlibat dengan penagihan dadah).

“Maksudnya, ancaman terbesar orang Melayu ialah kerana anak-anak Melayu terjebak dengan dadah, kebetulan atau tidak, suratan atau kebetulan, yang paling tinggi adalah negeri-negeri (ramai) Melayu,” tegasnya.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu berkata, kumpulan umur antara 15 hingga 39 tahun mencatatkan penglibatan tertinggi dalam aktiviti tidak sihat itu.

Jelasnya, mereka mempunyai tahap pendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bila kami tidak tumpukan kepada membangunkan negeri, kamu hanya bangkitkan DAP, DAP, DAP, (tetapi negeri) kamu tak jaga, peluang pekerjaan tidak wujud, anak muda terlibat dengan dadah.

“Kalau ditanya kepada saya bagaimana Melayu terancam, Melayu terlibat dengan dadah ini ancaman kepada bangsa Melayu,” tegas Saifuddin lagi.





No comments: