Ramai tak sedar Johor rupanya terima RM16 bilion dari Putrajaya, lebih tinggi dari cukai dikutip

 


Kerajaan Persekutuan menyalurkan purata perbelanjaan tahunan sebanyak RM16 bilion kepada Johor bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Jumlah itu lebih tinggi berbanding purata hasil cukai yang dikutip dari negeri itu berjumlah RM14 bilion.

Perkara itu didedahkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi Kementerian Kewangan Malaysia, data tersebut menunjukkan bahawa hampir semua negeri menerima perbelanjaan Kerajaan Persekutuan yang lebih tinggi berbanding jumlah hasil cukai masing-masing.

Bagi Johor, angka itu membuktikan negeri berkenaan terus menerima komitmen kewangan besar dari Kerajaan Persekutuan bagi memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secara berterusan.

Dalam penjelasannya, Anwar turut memberikan contoh lain apabila Kelantan menerima purata perbelanjaan tahunan sebanyak RM8.9 billion.

Angka tersebut hampir 10 kali ganda lebih tinggi berbanding purata hasil cukai negeri itu yang hanya sekitar RM946 juta bagi tempoh sama.

Pada masa sama, Kerajaan MADANI juga meningkatkan jumlah peruntukan kepada semua negeri, dengan purata kenaikan sekitar 37 peratus pada tahun 2026 berbanding 2022.

Peningkatan itu melibatkan perbelanjaan mengurus, perbelanjaan pembangunan serta pemberian kepada kerajaan negeri dalam usaha memperkukuh pembangunan di seluruh negara.

Kerajaan turut memaklumkan bahawa dalam merangka Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dan Belanjawan 2026, projek-projek pembangunan baharu akan diselaraskan berdasarkan keutamaan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri masing-masing, dengan purata kadar kelulusan melebihi 80 peratus.

Menurut Anwar lagi, prinsip asas Kerajaan Persekutuan adalah memastikan perbelanjaan negara dibuat berdasarkan keperluan rakyat dan pembangunan negara secara keseluruhan, bukannya ditentukan semata-mata berdasarkan jumlah hasil cukai yang berjaya dikutip di sesebuah negeri.





No comments: