
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden kebakaran yang melanda 200 buah rumah di Sandakan pada 19 April 2026. Foto JBPM Sabah
KUALA LUMPUR, 19 Apr – Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Sabah sedang menyelaraskan bantuan asas dan penempatan sementara secepat mungkin untuk mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan.
Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri berkata, beliau terkesan ketika menerima laporan kebakaran di kampung itu yang telah memusnahkan ratusan buah rumah.

“Justeru, keutamaan kini adalah keselamatan mangsa serta bantuan segera di lapangan,” ujar Anwar menurut hantaran itu.
Terdahulu media melaporkan, kira-kira 200 rumah musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada awal pagi tadi di perkampungan atas air terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 1.32 pagi dan seramai 35 anggota bomba termasuk dari BBP Sandakan serta Kinabatangan dikejarkan ke lokasi untuk operasi pemadaman.
Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan PPR Batu Sapi diaktifkan pada jam 7 pagi tadi bagi menempatkan penduduk yang terjejas.
No comments:
Post a Comment