19 April 2026
Naib Presiden PKR, Amirudin Shari meminta mana-mana ahli atau pemimpin yang merasakan mereka tidak lagi sehaluan dengan perjuangan PKR supaya meninggalkan parti itu.
Bagaimanapun, ketua PKR Gombak itu berkata, mesej dalam ucapan perasmiannya bukan ditujukan kepada sesiapa, termasuk bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
“Ia bukan hanya Rafizi. Saya percaya isunya adalah berkenaan dengan siapa yang rasa tidak lagi secocok dengan parti boleh meninggalkan (parti), itu cadangannya,” kata Menteri Besar Selangor itu.
Amirudin menjelaskan, nasihat umum yang diberikannya bertujuan memastikan semua pemimpin dan ahli PKR kekal fokus terhadap mandat parti tanpa mengganggu kestabilan dalaman.
“Keutamaan mesti diberikan kepada agenda besar parti berbanding polemik peribadi yang boleh menjejaskan imej organisasi di mata rakyat,” tambahnya lagi.
Berkaitan hal di atas, sebenarnya tidak memadai dengan dengan Amirudin atau PKR hanya menyuruh mereka yang tidak sehaluan supaya meninggalkan parti.
Yang lebih penting, bahkan terpaling penting adalah parti mesti ada keberanian untuk memecat mereka yang tidak lagi sehaluan itu.
Apatah lagi jika mereka yang tak sehaluan itu hari-hari mengkritik dan mengecam parti dan kepimpinannya.
Mereka yang tidak sehaluan itu bukanlah tidak mahu meninggalkan parti, tetapi ada sebab-sebab tertentu yang menghalang mereka berbuat demikian.
Misalnya mereka yang bergelar Ahli Parlimen dan Adun, selain mereka terikat dengan Akta Lompat Parti yang mana jika keluar parti, kedudukan sebagai wakil rakyat akan tergugur secara automatik, kekangan lain ialah ada perjanjian bon RM10 juta yang perlu dibayar.
Siapa pun tidak akan keluar parti dengan hambatan yang sedemikian itu.
Tetapi, jika PKR memecat mereka, bukan saja kedudukan pemimpin itu sebagai Ahli Parlimen atau Adun tidak terjejas, bahkan tiada apa-apa denda perlu dibayar kepada parti.
Dengan itu, lebih mudah untuk PKR memecat saja mereka yang tidak sehaluan itu.
Soalnya, kenapa dalam kes Rafizi misalnya, PKR tiada keberanian itu?
Bagi ahli PKR yang bukan bergelar Ahli Parlimen atau Adun pula, sebahagian mereka yang tidak sehaluan itu sebenarnya sudah pun keluar meninggalkan parti.
Bagi ramai yang lain, mereka sebetulnya masih menunggu ketua mereka, contohnya Rafizi dipecat dahulu atau ada parti baharu ditubuhkan, ketika itu barulah mereka akan meninggalkan PKR.
Jika ingin melihat berapa ramai akan keluar PKR, cuba pecat Rafizi dengan segera?
Yang pasti, semua mereka ini tidak lagi akan mengundi PKR pada PRU akan datang.
Pokoknya di sini, jika PKR pun takut-takut nak memecat ahli yang tidak lagi sehaluan itu, tak usahlah membazir air liur bercakap menyuruh mereka keluar parti.
Parti ada kuasa, guna sajalah kuasa itu. - ShahbudinHusin 19April2026.
No comments:
Post a Comment