
PGA mengesan modus operandi yang dilakukan penyeludup berkenaan adalah melakukan pengisian petrol secara berulang dalam tempoh yang singkat.
KOTA BHARU, 20 Apr – Pasukan Gerakan Am (PGA) mendedahkan masih terdapat kenderaan yang digunakan penyeludup untuk pembelian berulang bagi mengisi petrol meskipun stesen minyak berkenaan dalam pemantauan pihaknya.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, modus operandi yang dilakukan penyeludup berkenaan adalah melakukan pengisian petrol secara berulang dalam tempoh yang singkat.
“Bekalan bahan api berkenaan akan disedut untuk diisi ke dalam tong jerikin sebelum diseludup ke Thailand menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok sebelum pengisian seterusnya dilakukan.

“Setakat kita melakukan pemantauan di sembilan stesen di kawasan sempadan di Kelantan, satu kes direkodkan dengan penangkapan lelaki kelmarin yang membuat pengisian berulang di Tumpat.
“Kita akan melakukan pemantauan rapi terhadap stesen minyak yang dipantau dan anggota kita yang ditempatkan di stesen berkenaan bukan hanya duduk semata-mata sebaliknya memantau setiap kenderaan yang melakukan pengisian,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, sembilan stesen yang di dalam pemantauan pihaknya bermula Khamis lalu membabitkan empat daerah iaitu Tumpat, Jeli, Tanah Merah dan Pasir Mas.

“Anggota PGA ada berada di premis berkenaan sepanjang stesen minyak berkenaan beroperasi dan kita mengingatkan semua pihak supaya tidak melakukan kegiatan penyeludupan membabitkan bahan api,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Jemaah Menteri mempersetujui syor menempatkan anggota polis di stesen minyak untuk memperkasakan pemantauan dan penguatkuasaan kerana peningkatan risiko ketirisan bahan api akibat krisis tenaga global.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 April lalu mempersetujui syor berkenaan sebagai peluasan kepada penempatan secara statik penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang dilaksanakan sejak 20 Mac lalu.
No comments:
Post a Comment