Ini ‘Kaedah Dan Taktik’ Warga Pakistan Lolos Sebelum Dicekup Sembilan Hari Kemudian

 


Muhammad Hassan, 24, ditahan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat JIM, pada jam 5 petang di Kilometer (KM) Batu 14, Jalan Gombak Lama pada 19 April 2026.

GOMBAK, 19 Apr – Pelbagai kaedah serta taktik digunakan seorang tahanan lelaki warga Pakistan bagi mengelakkan diri daripada dicekup selama sembilan hari ‘kejayaan’ meloloskan diri daripada tahanan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik banduan berkenaan yang dilakukan bermula pada 9 April lalu dengan bersembunyi di hutan dan menyelinap masuk ke tapak pembinaan akhirnya terbongkar apabila ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.

Suspek Muhammad Hassan, 24, ditahan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat JIM, pada jam 5 petang di Kilometer (KM) Batu 14, Jalan Gombak Lama di sini.

Muhammad Hassan, 24, ditahan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat JIM, pada jam 5 petang di Kilometer (KM) Batu 14, Jalan Gombak Lama pada 19 April 2026.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tangkapan dibuat hasil risikan selama enam hari serta perkongsian maklumat perisikan daripada Kedutaan Pakistan.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semasa kejadian, suspek cuba melarikan diri namun digagalkan oleh pasukan operasi.

“Siasatan awal seterusnya mendapati suspek mengaku melarikan diri ketika turun daripada trak polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, suspek mengaku bersembunyi di hutan berhampiran tapak pembinaan pada waktu siang sepanjang tujuh hari melarikan diri, sebelum menyelinap masuk ke kawasan itu pada waktu malam untuk berlindung daripada ancaman binatang buas.

Selain itu, katanya, bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa, suspek memakai pakaian yang dicuri daripada kawasan pembinaan.

“Hasil semakan, suspek tiba di negara ini pada 11 Januari 2025 melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan diberi kemudahan Pas Lawatan Sosial (PLS) selama 30 hari.

“Proses temubual dan pengecaman oleh wakil Kedutaan Pakistan pada hari yang sama juga telah mengesahkan suspek adalah warganegara Pakistan yang meloloskan diri daripada tahanan polis pada 9 April lalu,” katanya.

Menurutnya, suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan ditahan di Depot Imigresen bagi tujuan tindakan lanjut.



No comments: