Saya telah bercakap dengan pemangku Perdana Menteri Afghanistan Mullah Mohammad Hasan Akhund mengenai perkembangan semasa di rantau Asia Selatan dan sekitarnya, khususnya mengenai ketegangan Afghanistan-Pakistan dan gencatan senjata melibatkan kedua-dua negara tersebut, lantas berharap ia dapat diterjemah serta diolah ke arah kestabilan yang berkekalan, berpaksi pada nilai ihsan, dan ukhuwah. Saya turut menyampaikan ucapan Eid Mubarak bersempena Aidilfitri kepada beliau dan seluruh rakyat Afghanistan.
Malaysia malah konsisten dalam mendukung segala usaha dan ikhtiar diplomasi, termasuk yang telah digerakkan negara sahabat seperti Arab Saudi, Qatar dan Türkiye. Dalam konteks yang sama, bantuan kemanusiaan terus diperkasa melalui kerjasama strategik bersama Global Peace Mission dan MERCY Malaysia yang antaranya mencakup pembaikan prasarana pendidikan, latihan kepakaran perubatan serta kesiapsiagaan bencana dan malapetaka. Justeru, segala inisiatif ini mencerminkan iltizam Malaysia dalam menyemarak solidariti di kalangan ummah secara tuntas dan berkesan.
Dalam kerangka yang lebih luas, Malaysia akan terus berperanan aktif melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam menilai isu pengiktirafan pihak berkuasa semasa Afghanistan (de facto) dengan penegasan terhadap prinsip keadilan, keterangkuman serta pemeliharaan hak wanita dan golongan minoriti, selain akses kepada pendidikan. Walhasil, pendekatan Malaysia kekal berpaksikan keseimbangan antara prinsip dan pragmatisme yakni menyemarak harapan, membina keyakinan, dan mempertunjukkan kepimpinan sebagai wahana damai dalam dunia yang semakin kacau.
#MalaysiaMADANI
#RancakkanMADANI
#MADANIbekerja

No comments:
Post a Comment