IRAN PULA NYATAKAN TUNTUTAN DAMAI


Nazri Hamdan





 Setelah menolak pelan gencatan senjata yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat, Iran tampil dengan pendekatan yang jauh lebih keras dengan meletakkan lima syarat utama sebelum perang boleh ditamatkan. 


Berikut adalah tuntutan Iran:


1. Penamatan sepenuhnya segala bentuk “kekerasan dan pembunuhan sasaran” oleh Amerika Syarikat dan Israel.


2. Meletakkan jaminan keselamatan yang konkrit bagi memastikan tiada lagi tindakan ketenteraan terhadap Republik Islam Iran pada masa hadapan.


3. Pampasan yang jelas dan dijamin bagi semua kerugian serta kerosakan yang berpunca daripada peperangan.


4. Penamatan perang di semua barisan depan melibatkan semua kumpulan penentangan yang aktif di seluruh rantau tersebut.


5. Iran menegaskan bahawa kedaulatannya ke atas Selat Hormuz adalah hak undang-undang yang telah lama wujud, yang menjamin komitmen pihak lain dan mesti diiktiraf secara rasmi.


Dari tuntutan tersebut, nampak jelas Iran mahu gencatan senjata, tetapi mahu “reset” keseluruhan struktur kuasa di Timur Tengah mengikut syarat mereka sendiri. 


Malah, kenyataan bahawa Iran akan hanya menamatkan perang “pada masa yang dipilih sendiri” memberi isyarat jelas bahawa Tehran tidak lagi tunduk kepada tekanan diplomatik Washington. 


Iran juga mahu hantar signal bahawa sebarang serangan pada masa depan akan datang dengan kos yang sangat tinggi, bukan sekadar balasan ketenteraan tetapi juga gangguan ekonomi global. 


Bila Iran kaitkan tamat perang dengan kawalan Selat Hormuz dan pampasan, ia sebenarnya menggabungkan elemen ketenteraan dan ekonomi sebagai senjata serentak. Ini strategi klasik asymmetric warfare: mereka tahu tak boleh kalahkan AS secara konvensional, jadi mereka jadikan pasaran tenaga global sebagai “pressure point”.


Dari sudut geopolitik dan ekonomi, ini sebenarnya meletakkan AS dalam dilema besar. Jika AS menerima syarat Iran, ia dilihat lemah dan memberi kemenangan strategik kepada Tehran. 


Tetapi jika ditolak, konflik berpotensi berlarutan dan menolak harga minyak lebih tinggi, yang akhirnya memberi tekanan inflasi global termasuk kepada AS sendiri.


Dengan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia melalui Selat Hormuz, sebarang gangguan berpanjangan bukan sahaja menjejaskan pasaran tenaga, tetapi juga boleh mencetuskan gelombang stagflasi global seperti yang pernah berlaku pada era 1970-an.




No comments: