Tiada pihak selain pemegang Permit Khas dibenarkan untuk membeli minyak sehingga 20 liter ke atas dan diisi ke dalam tong di stesen-stesen minyak.
Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Adzman Adam berkata, kementerian itu mengambil maklum isu tular di media sosial berhubung pengisian petrol ke dalam tong yang berlaku baru-baru ini.
Di bawah peruntukan undang-undang Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, setiap stesen minyak yang berurusniaga minyak petrol dan diesel dibenarkan menjual bahan api diesel dan semua gred petrol kepada tangki asal kenderaan berkenaan atau yang telah diluluskan oleh agensi berkaitan.
Ia termasuklah kepada mana-mana pihak yang mendapat kebenaran Permit Khas dari KPDN di bawah peruntukan undang-undang AKB 1961.
“Bagi mengelakkan barang kawalan dan bersubsidi seperti petrol dan diesel ini diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, mana-mana syarikat, organisasi atau individu yang ingin membeli petrol dan diesel di stesen minyak untuk kegunaan selain tangki asal kenderaan dan bagi tujuan kegunaan persendirian, mereka perlu memohon dan mendapat kelulusan Permit Khas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Pembelian menggunakan Permit Khas ini adalah untuk kuantiti 20 liter keatas sahaja dan berdasarkan kepada harga pam semasa di stesen minyak,” maklum KPDN dalam kenyataan hari ini.
Bagi tujuan permohonan Permit Khas ianya boleh dilaksanakan melalui Sistem Permit Bekalan secara dalam talian (online) menerusi portal https://spb.kpdn.gov.my. Permit Khas ini adalah percuma dan terbuka kepada semua pihak yang berkelayakan.
Sehingga kini terdapat 10 kategori yang layak memohon Permit Khas daripada pihak Kementerian seperti forklift, pengangkutan air, penduduk di kawasan pendalaman dan pulau, pengusaha industri makanan, rekreasi air, pertanian dan penternakan, bantuan kecemasan, penyelenggaraan, pelancongan, pembinaan berskala kecil.
Mana-mana pihak yang telah diberi kebenaran untuk membeli minyak petrol dan diesel melalui Permit Khas ini boleh menggunakan tong drum, plastik atau apa-apa bekas yang selamat dan bersesuaian mengikut kuantiti, alamat stesen minyak, tempoh dan kekerapan belian yang telah diluluskan.
Sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan melalui saluran berikut: WhatsApp 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN (https://eaduan.kpdn.gov.my); Call Centre 1-800-886-800; dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.
No comments:
Post a Comment