Payung MADANI: Perpaduan Hadapi Krisis Global
Dunia hari ini sedang berdepan tekanan global yang semakin mencabar. Lonjakan harga minyak mentah melepasi paras US$100 setong memberi kesan besar kepada banyak negara.
Di Hong Kong, harga petrol mencecah sekitar RM14 seliter. Di Singapura pula, sekitar RM10 seliter. Inilah realiti yang sedang dihadapi dunia hari ini.
Namun di Malaysia, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengambil pendirian yang jelas: RAKYAT MESTI DILINDUNGI.
Kerajaan MADANI faham betapa peritnya jika beban ini dilepaskan ke bahu rakyat. Oleh itu, kerajaan mengambil keputusan tegas untuk terus menjadi "perisai" rakyat.
Harga RON95 bersubsidi di bawah program Budi95 dikekalkan pada RM1.99 seliter. Malaysia kekal antara negara dengan harga petrol paling murah di dunia.
Walaupun harga di pam minyak kekal RM1.99, kos sebenar yang perlu dibayar oleh Kerajaan telah meningkat secara mendadak. Bil subsidi bahan api negara kita telah melompat enam kali ganda, dari RM700 juta kepada RM4 bilion setiap bulan.
Sebagai sebuah "keluarga besar", kita perlu membuat pilihan yang bijak. Kita tidak boleh membiarkan RM4 bilion wang rakyat "terbakar" di atas jalan raya setiap bulan.
Wang penjimatan subsidi ini amat diperlukan untuk membina lebih banyak sekolah, menaik taraf hospital, dan memberikan bantuan tunai terus kepada rakyat yang lebih memerlukan.
Bagi memastikan keseimbangan ini, Kerajaan MADANI akan menyelaraskan had kelayakan kuota Budi95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, bermula 1 April 2026.
Berita baiknya: Majoriti rakyat tidak terkesan langsung dengan perubahan ini .
Mengapa? Data menunjukkan bahawa hampir 90% rakyat Malaysia hanya menggunakan secara purata 100 liter petrol sebulan. Ini bermakna, kehidupan harian majoriti besar rakyat (9 daripada 10 orang) akan berjalan seperti biasa tanpa sebarang kos tambahan.
Pemandu e-hailing juga tidak perlu risau kerana kuota
mereka dikekalkan pada 800 liter sebulan demi kelangsungan rezeki mereka.
Bagi 10% pengguna yang mencatatkan penggunaan lebih daripada 200 liter sebulan, saya menyeru kita semua untuk melihat penyelarasan ini sebagai satu dorongan ke arah gaya hidup yang lebih lestari.
Di saat negara sedang menguruskan kesan krisis global ini, golongan berpendapatan dan berbelanja lebih besar ini digalakkan berbelanja dengan lebih berhemah.
Susun semula perjalanan anda, kurangkan pemanduan yang tidak perlu, amalkan perkongsian kereta (carpool), atau gunakan kemudahan pengangkutan awam.
Sedikit pengorbanan daripada kita semua membawa penjimatan yang besar buat kelangsungan hidup rakyat yang lebih memerlukan.
Kerajaan MADANI telah melakukan yang terbaik dengan menyerap kenaikan harga dunia supaya kos sara hidup anda tidak terjejas secara drastik. Kini, tiba masanya untuk kita semua memainkan peranan. Mari kita jadi masyarakat yang lebih jimat cermat dan bijak menguruskan penggunaan petrol kita.
Langkah ini adalah sementara sehingga keadaan dunia kembali stabil.
Inilah kekuatan Malaysia MADANI - ketika negara lain terpaksa melepaskan beban kepada rakyat, Malaysia memilih untuk melindungi.
Kerajaan MADANI bertindak sebagai payung—melindungi ketika ribut melanda.
Rakyat pula menjadi kekuatan—memastikan payung ini terus kukuh dan memberi manfaat kepada seluruh keluarga besar Malaysia!
No comments:
Post a Comment