Che Ibrahim
Rm3.5 juta tu peruntukan pembangunan untuk rakyat. Rm1500 tu masuk poket YB... Itupun kamu berdengki???
Mansuhkan peruntukan RM3.5 juta setiap Ahli Parlimen kerajaan, dapat buat penjimatan besar' - Ketua Penerangan PAS.

KUALA LUMPUR: Pemimpin PAS mencadangkan supaya kerajaan memansuhkan peruntukan khas RM3.5 juta yang diagihkan kepada setiap Ahli Parlimen blok kerajaan sebagai langkah penjimatan susulan ketegangan berterusan di Asia Barat.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata jika langkah sedemikian dilaksana, ia bakal menyaksikan penjimatan lebih besar, berbanding menerima cadangan supaya elaun petrol Ahli Parlimen berjumlah RM1,500 dikurangkan.
"Penjimatan lebih besar (jika peruntukan khas RM3.5 juta dimansuhkan). Kerajaan boleh terus bantu rakyat (di kawasan Parlimen kerajaan) seperti kerajaan bantu rakyat di kawasan Parlimen pembangkang.
"Bukankah itu lebih berkesan? Penjimatan sekitar setengah bilion (ringgit) untuk setahun. Saya yakin kerajaan boleh bersetuju. Kemudian jika mahu mansuhkan elaun petrol juga, terpulanglah," katanya di Facebook beliau hari ini.
Beliau mengulas laporan memetik Majlis Belia Malaysia (MBM) yang mengemukakan empat cadangan utama kepada kerajaan sebagai langkah mengimbangi impak tekanan global akibat ketegangan di Asia Barat termasuk menyemak semula elaun petrol 222 Ahli Parlimen.
Setiausaha Agung MBM, Ahmad Farhan Rosli, berkata langkah untuk menyemak semula dan mengurangkan elaun petrol semua Ahli Dewan Rakyat itu boleh dianggap sebagai simbol kepimpinan melalui teladan dan solidariti nasional.
MBM juga menyarankan kerajaan memperluas subsidi BUDI diesel dan melonggarkan syarat pemilik kenderaan persendirian dengan kuota munasabah sekitar 300 liter sebulan serta mempercepat usaha mempelbagaikan sumber tenaga negara dengan meneroka bekalan alternatif di luar negara Teluk.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, secara peribadi beliau tiada masalah jika kerajaan mahu melaksanakan cadangan mengurangkan elaun petrol itu.
"Tetapi penjimatan diperoleh tidaklah signifikan sangat, RM1,500 didarab dengan 222 Ahli Parlimen, itu pun jika dipotong jumlah ahli Kabinet yang tiada peruntukan elaun petrol, berapakah penjimatan sebulan," katanya.


No comments:
Post a Comment