
Ketua Pas Kawasan Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad (kiri) bersetuju sekiranya Ahmad Samsuri dilantik Ketua Pembangkang tetapi tidak bersetuju sebagai calon perdana menteri Perikatan Nasional (PN).
KUALA LUMPUR, 16 Mac – “Antara Hamzah (Zainudin) dan Dr. Sam (Ahmad Samsuri Mokhtar), saya berpendapat lebih baik Dr. Sam dilantik sebagai Ketua Pembangkang kerana ia dapat memudahkan penyelarasan gerak kerja.”
Demikian kata Ketua Pas Kawasan Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad ketika mengulas kenyataan Ahli Parlimen Larut, Hamzah yang menyatakan kesediaannya untuk akur sekiranya tidak lagi dipilih sebagai Ketua Pembangkang.
Beliau yang juga menantu Presiden Pas, Abdul Hadi Awang berkata, semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) diharap dapat membuat keputusan terbaik dengan memilih Pengerusi PN yang baharu, Ahmad Samsuri atau Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan sebagai Ketua Pembangkang.

Bagaimanapun, Zaharuddin berkata, walaupun beliau bersetuju sekiranya Ahmad Samsuri dilantik sebagai Ketua Pembangkang, pendiriannya berhubung calon Perdana Menteri kekal tidak berubah.
“Bagi posisi Ketua Pembangkang, saya bersetuju. Namun bagi jawatan Perdana Menteri, saya tetap konsisten dan sependapat dengan Mursyidul Am (Hashim Jasin) bahawa Tuan Ibrahim Tuan Man atau Idris Ahmad lebih layak sekiranya Perdana Menteri datang daripada Pas.
“Justeru, kedudukan Ketua Pembangkang di Parlimen tidak melibatkan pentadbiran negara atau pentadbiran kerajaan pusat,” katanya.
No comments:
Post a Comment