Aidilfitri 2026: Cuti Tambahan, Skim Harga Musim Perayaan Harap Bantu Persiapan Rakyat – PM Anwar

 


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman cuti tambahan kepada tiga hari dan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2026 diharapkan dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat. Foto X Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Beberapa pengumuman khusus untuk rakyat yang diumum hari ini dapat memberikan kemudahan menjelang Aidilfitri, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran platform X hari ini, Perdana Menteri berkata, pengumuman cuti tambahan kepada tiga hari dan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2026 diharapkan dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat, memastikan harga barangan kekal berpatutan, selain memudahkan perjalanan pulang ke kampung halaman.

“Semoga Syawal yang bakal tiba membawa lebih kebahagiaan, keberkatan dan kesejahteraan buat seluruh rakyat Malaysia,” ujar Anwar.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan satu hari cuti tambahan bersempena dengan sambutan Aidilfitri tahun ini bagi menghargai usaha dan dedikasi rakyat yang bekerja keras sepanjang Ramadan.

Penetapan tarikh cuti tambahan itu bagaimanapun tertakluk kepada tarikh pengisytiharan 1 Syawal, iaitu sekiranya Aidilfitri disambut pada Jumaat atau 20 Mac, Isnin (23 Mac) ditetapkan sebagai cuti tambahan.

Namun sebaliknya, jika tarikh Aidilfitri disambut pada Sabtu (21 Mac), cuti tambahan adalah pada Jumaat (20 Mac).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan kira-kira 30 minit mengunjungi Bazar Ramadan University Apartment (UA), di Sepanggar pada 15 Mac 2026. Foto PMO

Bagi SHMMP Aidilfitri 2026 pula, ia dilaksanakan dari 14 hingga 28 Mac bagi mengawal harga barangan keperluan semasa musim perayaan melibatkan 27 jenis barangan berbanding 26 pada tahun lepas.

Tambahan itu memberi kelegaan kepada rakyat menguruskan persiapan menyambut lebaran yang dijangka jatuh pada Jumaat atau Sabtu ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir bagi merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di Suria Sabah, Kota Kinabalu pada 15 Mac 2026. Foto PMO

Perdana Menteri juga mengarahkan sambutan rumah terbuka bagi kementerian dan agensi kerajaan dibatalkan tahun ini kerana menangani konflik Asia Barat yang sedang berlaku kiniz

Pun begitu, pembatalan tersebut bukan bertujuan mengurangkan kemeriahan Aidilfitri tetapi bagi menyediakan ekosistem kondusif sekiranya krisis berlaku dalam tempoh panjang.



No comments: