16 𝘔𝘢𝘤 2026

Kami yang bertandatangan di bawah, Ahli-Ahli Parlimen PKR, mengalu- alukan kenyataan yang dibuat semalam oleh Menteri MITI, YB Datuk Seri Johari Ghani, bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang telah ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat kini telah terbatal.
Walau bagaimana pun, seperti mana gesaan kami sebelum ini (termasuk di dalam kenyataan media pada 23 Februari 2026), keseluruhan proses berhubung ART perlulah ditangani secara telus oleh kerajaan.
Pada ketika ini, kenyataan Menteri MITI belum lagi menjawab dan mengesahkan perkara-perkara berikut:
(1) Adakah Kerajaan Malaysia telah menulis secara rasmi kepada Kerajaan Amerika Syarikat menyatakan bahawa perjanjian ART telah terbatal secara muktamad?
(2) Sekiranya itu telah berlaku, apakah maklum balas rasmi dari Kerajaan AS mengenai hasrat Kerajaan Malaysia itu? Adakah Kerajaan AS telah mengesahkan bahawa perjanjian ART telah terbatal?
(3) Sekiranya Kerajaan Malaysia masih belum menulis dan belum ada apa-apa komunikasi rasmi mengenai perkara ini, apakah asas yang digunakan kerajaan untuk membuat kesimpulan bahawa perjanjian ART telah terbatal?
Kami mencadangkan supaya Kerajaan Malaysia menulis dan mengesahkan secara rasmi pembatalan ART, serta berusaha mendapatkan persetujuan rasmi Kerajaan AS bahawa perjanjian ART telah terbatal.
Kita tidak mahu perkara ini tergantung dan Malaysia terdedah kepada pelbagai tafsiran perjanjian yang dibuat oleh Kerajaan AS, lebih-lebih lagi jika ada pertukaran pentadbiran kerajaan di masa akan datang.
Oleh itu, kami menyeru supaya Menteri MITI membuat kenyataan rasmi yang menjelaskan perkara-perkara di atas secepat mungkin dan mengesahkan bahawa pembatalan perjanjian ART telah diikat secara rasmi melalui saluran diplomatik di antara kedua-dua buat negara.
Pada masa yang sama, kita tidak boleh menutup kelemahan-kelemahan yang berlaku semasa perjanjian ART dirundingkan.
Pandangan-pandangan yang menasihati kerajaan supaya tidak terburu-buru menandatangani perjanjian sehingga kes diputuskan di mahkamah tertinggi Amerika Syarikat diketepikan oleh kerajaan. Akhirnya, perjanjian yang ditandatangani dilihat berat sebelah, merugikan dan menjejaskan kedaulatan negara.
Oleh itu, bagi memastikan bahawa kegagalan perjanjian perdagangan seperti ini tidak berulang pada masa hadapan, kami menyeru supaya satu siasatan boleh dimulakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) Perdagangan dan Hubungan Antarabangsa yang dipengerusikan Ahli Parlimen Subang, YB Wong Chen.
Siasatan tersebut boleh meliputi perkara-perkara berikut:
i) memanggil individu-individu utama yang terlibat dalam penandatanganan ART, khususnya Tengku Zafrul, bekas Menteri MITI, untuk memberi keterangan di hadapan PSSC;
ii) meneliti langkah-langkah perlindungan yang lebih kukuh pada masa hadapan, termasuk memastikan bahawa semua perjanjian perdagangan disertakan dengan analisis kos faedah yang komprehensif dan boleh diakses oleh rakyat Malaysia terlebih dahulu; dan
iii) memastikan bahawa semua perjanjian perdagangan pada masa hadapan memerlukan kelulusan undi Parlimen sebelum ditandatangani.
Walaupun PSSC telah bersidang sebelum ini mengenai perkara ini, ada kecenderungan segelintir yang dipanggil untuk mengelak dan tidak hadir ke sesi pendengaran.
Kami ingin menyeru kepada semua pihak yang terlibat supaya menghormati kedudukan Parlimen dalam sistem demokrasi negara dan hadir ke sesi pendengaran, apabila mereka dipanggil kelak.
Kami juga ingin mengingatkan Kerajaan Madani bahawa dasar perdagangan Malaysia yang sekian lama berpegang kepada prinsip berkecuali secara aktif serta perdagangan bebas dan adil dengan semua negara mesti terus dihormati dan dipertahankan.
Kita mesti terus mengelakkan daripada memihak kepada mana-mana blok geopolitik dalam era persaingan perdagangan dan ekonomi yang semakin sengit antara China dan Amerika Syarikat.
𝗬𝗕 𝗧𝘂𝗮𝗻 𝗪𝗼𝗻𝗴 𝗖𝗵𝗲𝗻
Ahli Parlimen Subang
𝗬𝗕 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗦𝗲𝗿𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗥𝗮𝗳𝗶𝘇𝗶 𝗯𝗶𝗻 𝗥𝗮𝗺𝗹𝗶
Ahli Parlimen Pandan
𝗬𝗕 𝗧𝘂𝗮𝗻 𝗡𝗶𝗸 𝗡𝗮𝘇𝗺𝗶 𝗯𝗶𝗻 𝗡𝗶𝗸 𝗔𝗵𝗺𝗮𝗱
Ahli Parlimen Setiawangsa
𝗬𝗕 𝗧𝘂𝗮𝗻 𝗟𝗲𝗲 𝗖𝗵𝗲𝗮𝗻 𝗖𝗵𝘂𝗻𝗴
Ahli Parlimen Petaling Jaya
𝗬𝗕 𝗗𝗮𝘁𝗼 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗕𝗮𝗸𝗵𝘁𝗶𝗮𝗿 𝗯𝗶𝗻 𝗪𝗮𝗻 𝗖𝗵𝗶𝗸
Ahli Parlimen Balik Pulau
𝗬𝗕 𝗧𝘂𝗮𝗻 𝗞𝗲𝘀𝗮𝘃𝗮𝗻 𝗮/𝗹 𝗦𝘂𝗯𝗿𝗮𝗺𝗮𝗻𝗶𝗮𝗺
Ahli Parlimen Sungai Siput
𝗬𝗕 𝗣𝘂𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗷𝗮𝗵 𝗥𝗼𝗱𝘇𝗶𝗮𝗵 𝗯𝗶𝗻𝘁𝗶 𝗜𝘀𝗺𝗮𝗶𝗹
Ahli Parlimen Ampang
𝗬𝗕 𝗜𝗿. 𝗧𝘀. 𝗭𝗮𝗵𝗶𝗿 𝗯𝗶𝗻 𝗛𝗮𝘀𝘀𝗮𝗻
Ahli Parlimen Wangsa Maju
No comments:
Post a Comment