PAS TOLAK PERPADUAN MELAYU: SIAPA SEBENARNYA MENGANCAM MELAYU-ISLAM?

 






1. Kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang menolak gagasan “Rumah Bangsa” sambil melabelnya sebagai “tipu daya syaitan” bukan sahaja keterlaluan, malah membongkar sikap sebenar PAS terhadap usaha menyatukan kekuatan politik Melayu.
2. Hakikatnya, gagasan Rumah Bangsa hanyalah satu usaha membuka pintu dialog bagi meredakan perpecahan politik Melayu yang semakin meruncing. Namun PAS memilih untuk menutup pintu tersebut sebelum perbincangan pun bermula. 3. Sikap ini menimbulkan persoalan besar. jika PAS benar-benar ikhlas memperjuangkan perpaduan Melayu-Islam seperti yang sering mereka laungkan, mengapa usaha untuk duduk berbincang demi perpaduan bangsa pun ditolak mentah-mentah?
4. Lebih ironik, selepas Pilihan Raya Umum ke-15, Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menitahkan agar parti-parti politik mencari jalan membentuk kerajaan perpaduan demi kestabilan negara.
5. Namun Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin bersama Hj Abd Hadi Awang memilih untuk menolak saranan tersebut, walaupun negara ketika itu berdepan kebuntuan politik yang memerlukan penyelesaian segera. Akhirnya kerajaan perpaduan terbentuk di bawah pimpinan Anwar Ibrahim bagi memastikan negara tidak terus terjerumus dalam krisis politik.

6. Persoalannya ialah, Apabila Yang di-Pertuan Agong menyeru kepada perpaduan, PAS menolak. Apabila usaha dialog politik Melayu dibuka melalui gagasan Rumah Bangsa, PAS sekali lagi menolak. Namun pada masa yang sama, PAS terus melaungkan bahawa Melayu dan Islam sedang terancam.
7. Jika benar Melayu-Islam terancam, maka perpaduan sepatutnya menjadi kewajipan. Tetapi apabila setiap usaha perpaduan ditolak, rakyat berhak bertanya sama ada naratif ancaman tersebut hanyalah propaganda politik untuk mengekalkan sokongan.
8. Sejarah juga menunjukkan bahawa PAS pernah bekerjasama dengan Democratic Action Party dalam pakatan politik selama bertahun-tahun. Ketika itu tidak pula kedengaran label “syaitan” atau tuduhan pengkhianatan kepada Islam.
9. Hakikatnya semakin jelas.Politik yang dibina atas ketakutan dan perpecahan tidak akan menguatkan bangsa Melayu atau memartabatkan Islam. Sebaliknya, ia hanya akan melemahkan masyarakat dan merosakkan masa depan negara.
10. Apabila perpaduan ditolak, dialog ditutup dan perpecahan terus dipelihara, rakyat berhak menilai sendiri siapa sebenarnya yang menjadi ancaman kepada perpaduan Melayu dan keharmonian umat Islam di negara ini. MAHFUZ OMAR NAIB PRESIDEN PARTI AMANAH NEGARA 15 MAC 2026 POKOK SENA,KEDAH



No comments: