Tiada Pergeseran, Anthony Loke Muat Naik Gambar Bersama Ahmad Zahid

 


Anthony Loke bergambar bersama Ahmad Zahid dan beberapa anggota Jemaah Menteri lain di Dewan Rakyat pada 19 Januari 2026. Foto Facebook Anthony Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memuat naik gambar bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid serta beberapa anggota Jemaah Menteri lain hari ini, membuktikan tiada pergeseran antara dua parti dalam Kerajaan Perpaduan itu.

Ini sekali gus ‘memadam’ kontroversi membabitkan kenyataan Ahmad Zahid semalam bahawa DAP mempunyai dua kem dan disahkan oleh Anthony Loke menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.

Anthony Loke memaklumkan, beliau menghadiri Majlis Perasmian Sidang Parlimen Penggal Kelima, Parlimen ke-15 bersama rakan-rakan Kabinet pagi tadi.

Turut kelihatan dalam foto berkenaan ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Menurutnya, perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam sebuah kerajaan, namun itu tidak mengganggu fokus utama kerajaan dalam mentadbir negara.

“Walau apa pun perbezaan dalam kalangan kita, Kerajaan Madani terus kukuh dan stabil demi sebuah pentadbiran yang boleh memajukan negara dan mensejahterakan rakyat,” katanya.

Hantaran itu dilihat sebagai isyarat bahawa pimpinan kerajaan memilih pendekatan matang dengan mengutamakan kestabilan politik dan kepentingan rakyat.

Anthony Loke sebelum ini menafikan wujud beberapa kem dalam DAP yang mengeluarkan kenyataan bercanggah.

“DAP tidak mempunyai pasukan A, B atau C. Sebaliknya, kami hanya mempunyai satu pasukan iaitu ‘Team DAP’,” katanya pada Konvensyen Tahunan DAP Selangor.



No comments: