PAS MELAKA GESA DAP MELAKA LETAK JAWATAN TIMBALAN SPEAKER DUN, EXCO
PAS Melaka menggesa DAP negeri itu membuktikan pendirian moral dan integriti politik mereka dengan melepaskan jawatan EXCO dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Ahli Jawatankuasa Lajnah Politik PAS Melaka, Datuk Kamaruddin Sedik, berkata ia selari tindakan berprinsip oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang meletak jawatan EXCO Melaka secara sukarela.
Beliau yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Melaka berkata, Dr Muhamad Akmal sudah mengotakan janji dengan berundur daripada jawatan itu kerana berpegang kepada prinsip mendahulukan tanggungjawab memperjuang serta mempertahankan agama, bangsa dan raja Melayu.
Katanya, tindakan diambil Dr Muhamad Akmal tanpa tekanan daripada pimpinan UMNO atau kerajaan negeri itu membuktikan keberanian dan kejujuran Ahli DUN (ADUN) Merlimau terbabit dalam berpolitik.
"Bagi saya, tindakan itu adalah sindiran sangat tajam kepada DAP yang kini perlu membuktikan tahap moral mereka sendiri.
"Sekurang-kurangnya, sudah tiba giliran DAP Melaka pula untuk melepaskan jawatan EXCO serta Timbalan Speaker DUN," katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Dr Muhamad Akmal mengumumkan peletakan jawatannya sebagai EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, berkuat kuasa minggu depan.

No comments:
Post a Comment