Syed Saddiq ‘Mastermind’ Pecah Amanah Dana Armada – Pendakwaan

 


Syed Saddiq tiba di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 11 Disember 2025. Foto Faiz Alif Zubir

PUTRAJAYA, 11 Dis – Pihak pendakwaan hari ini berhujah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah dalang atau ‘mastermind’ dalam perlakuan pecah amanah jenayah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika berhujah, Mahkamah Rayuan juga telah gagal melihat setiap keterangan mengikut kronologi kes sekali gus tidak dapat menilai kesemua keterangan secara objektif dan menyeluruh.

“Apabila Mahkamah Rayuan gagal melihat keterangan mengikut kronologi kes, berlakunya pemutusan rantaian keterangan yang relevan sedangkan kesemua keterangan itu menjurus kepada kesalahan persubahatan. Syed Saddiq telah memberikan arahan untuk mengeluarkan wang milik Armada disebabkan alasan-alasan yang jahat dan tidak jujur.

Syed Saddiq tiba di Istana Kehakiman Mei lalu untuk pendengaran rayuan hari kedua terhadap sabitan dan hukuman bagi empat pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana ARMADA. Foto Bernama

“Malah, keterangan saksi ke-13, bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, menunjukkan dengan jelas bahawa beliau tidak akan mengeluarkan wang tersebut sekiranya tidak menerima arahan daripada Syed Saddiq,” kata Wan Shaharuddin.

Berhujah lanjut, Wan Shaharuddin berkata, Mahkamah Rayuan terdahulu gagal menilaikan keseluruhan keterangan yang memihak kepada pendakwaan apabila dari awal telah bertindak membuat suatu inferens yang tidak berlandaskan kepada keterangan dengan membuat dapatan bahawa saksi utama pendakwaan ke – 13 (SP13) telah memberikan keterangan untuk menenangkan hati (appease) pihak SPRM dan menyesuaikan (tailored) kepada kehendak SPRM.

“Ini merupakan suatu allegations yang amat serius oleh Mahkamah Rayuan apabila membuat inferens yang tidak berlandaskan undang-undang apabila mengatakan keterangan SP13 adalah untuk menyesuaikan (tailored) kepada versi pihak pendakwaan,’ katanya.

Kenyataan media Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan Syed Saddiq pada 26 Jun 2025. Foto AGC

Berhujah lanjut, Wan Shaharuddin memberitahu Mahkamah Rayuan tidak boleh pick and choose (ambil dan pilih) keterangan apa yang Mahkamah Rayuan rasa perlu dan sesuai di dalam membuat keputusan Mahkamah Rayuan untuk membebaskan Syed Saddiq.

“Mahkamah Rayuan mengambil langkah untuk memilih keterangan yang memihak responden sahaja dan hanya memilih hujahan peguambela pihak responden sahaja dalam membuat keputusan.

“Adalah hujahan kami apabila Mahkamah Rayuan sepatutnya pertimbangkan kesemua keterangan pihak pendakwaan yang ada dalam rekod-rekod rayuan dan bukannya melakukan pemilihan keterangan yang Mahkamah Rayuan rasa perlu dan sesuai diambil kira,” tegasnya.

Syed Saddiq disabit dengan empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang. Foto Arkib

Dalam isu lain, Wan Shaharuddin berkata, panel Mahkamah Rayuan sepatutnya melihat keterangan tiga saksi pendakwaan terbabit yang menyatakan mereka tiada motif untuk mengenakan bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Mereka adalah pemilik sebuah syarikat pembekalan pakaian dan aksesori, Muhammad Naqib Ab Rahim, 32; bekas EXCO Armada, Abdul Hannaan Khairy; bekas Penolong Setiausaha Armada Ahmad Redzuan Mohamed Shafi; dan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali.

“Saksi pendakwaan ini adalah rakan Syed Saddiq dan menyatakan bahawa mereka tiada motif untuk mengenakan dan ‘menambah perencah’ dalam keterangan mereka. Jika hendak menyatakan semua ini sudah diatur, kena tunjukkan ada perbalahan. Ketika diperiksa balas, Syed Saddiq sendiri menyatakan hubungan dengan saksi adalah baik.

Syed Saddiq didapati bersalah pada November 2023 atas pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dana Pemuda Bersatu lebih RM1 juta.

“Malah sebelum perbicaraan di Mahkamah Tinggi, saksi pendakwaan iaitu Rafiq datang bertemu Syed Saddiq untuk memperagakan baju Melayu,” katanya.

Prosiding berhubung pembebasan Syed Saddiq, 33, di Mahkmah Persekutuan di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais yang mengetuai panel tiga hakim bersambung lagi esok.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Che Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.



No comments: