JIKA UEC DIIKTIRAF, PKR BERPOTENSI DITOLAK PENGUNDI
11 December 2025
Pada 9 Disember lalu, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming berkata, kepimpinan partinya akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk meminta agar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf untuk kemasukan ke pusat pengajian tinggi kerajaan.
Beliau mengulangi pendirian DAP dalam usaha tersebut dan meminta masyarakat Cina supaya bersabar dan jangan khuatir.
Semalam, 10 Disember pula, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memberi kata dua kepada Anwar agar melaksanakan reformasi yang bermakna dalam tempoh enam bulan akan datang.
Katanya, jika perkara itu gagal dilaksanakan, DAP akan memikirkan semula kedudukan parti itu dalam kerajaan madani.
Bagaimanapun, kata Menteri Pengangkutan itu, ia tidak bermakna DAP akan menarik sokongan dan menjatuhkan kerajaan.
Walaupun tidak menyatakan secara khusus, penilaian semula itu dilihat termasuk keluar dari kabinet dan DAP hanya menjadi penyokong kerajaan sahaja.
Jika ada yang tertanya-tanya apakah reformasi bermakna yang mungkin boleh dilaksanakan dalam tempoh enam bulan akan datang, ia tidak lain ialah mengiktiraf UEC.
Ini bermakna, kata dua DAP itu adalah suatu bentuk tekanan kepada Anwar.
Selepas keputusan PRN Sabah yang menyaksikan DAP beroleh “telur ayam”, adalah dirasakan parti itu melihat hanya dengan kerajaan memberi pengiktirafan kepada UEC saja yang mampu memulihkan sokongan pengundi Cina kepada mereka.
Jangkaan itu dikira munasabah kerana masyarakat Cina amat mementingkan bidang pendidikan.
Ertinya, meskipun ekonomi mengalami kemuraman berikutan perluasan skop SST dan pengenalan e-invois sehingga perniagaan mengalami kesukaran, hati pengundi Cina barangkali dapat dilembutkan dan akan terus menyokong DAP pada PRU16 akan datang jika usaha mereka memastikan UEC diberi pengiktirafan beroleh kejayaan.
Dalam hal ini, meskipun barangkali dengan mengiktiraf UEC itu akan memulihkan sokongan pengundi Cina kepada DAP selepas mereka menunjukkan penolakan pada PRN Sabah, tetapi keputusan itu, jika dilakukan, akan menyebabkan PKR pula semakin kehilangan sokongan pengundi Melayu.
Anwar dan PKR pasti akan berdepan penolakan yang sangat ketara daripada pengundi Melayu kerana beliau dirasakan telah tunduk kepada tuntutan DAP serta sanggup mengabaikan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.
Lagi pula, sejak tahun 1975, Tun Mahathir Mohamad yang ketika itu Menteri Pelajaran telah pun membenarkan UEC dilaksanakan di sekolah swasta di negara ini.
Pada 2012 pula, ketika Najib Razak menjadi Menteri Pendidikan, UEC telah mendapat pengiktirafan separa/bersyarat bagi tujuan pengambilan guru pelatih ke institut pendidikan guru (IPG) bagi bidang bahasa Cina.
Cukupkah setakat itu kelonggaran diberi kepada UEC dan agak keterlaluan jika ia diberi pengiktirafan yang setara dengan Sijil SPM.
Untuk itu, jika Anwar tidak mahu PKR tumbang dan semua calon Melayunya berpotensi kalah pada PRU16 akan datang, beliau harus bertegas dan tidak melayan sama sekali tuntutan DAP berkaitan UEC itu.
Jika dengan tindakan itu, DAP mahu keluar daripada kabinet – biarkan saja.
Bahkan, kalau DAP mahu keluar daripada kerajaan sekali pun – biarkan juga dan jangan dihalang daripada berlaku.
Yang penting, jangan dengan memberi laluan kepada DAP untuk beroleh kemenangan melalui pengikrirafan UEC, ia dalam masa yang sama akan menjadikan PKR sengaja menempah tiket untuk tumbang. – ShahbudinHusin 11Disember2025.
https://shahbudindotcom.net/2025/12/jika-uec-diiktiraf-pkr-berpotensi-ditolak-pengundi/
No comments:
Post a Comment