11 December 2025
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki membayangkan akan menamatkan perkhimatannya mengetuai agensi itu tahun depan.
Ini bermakna, beliau enggan menyambung lagi kontraknya apabila ia berakhir pada 12 Mei 2026 nanti.
Azam sebelum ini telah disambung kontraknya sebanyak tiga kali mengetuai agensi anti rasuah itu, meskipun beliau begitu dimusuhi oleh PH ketika gabungan itu bergelar pembangkang.
Azam berkata, di sebalik kontraknya telah dilanjutkan tiga kali sebelum ini, tetapi keberadaannya mengetuai agensi itu mendapat kritikan daripada sesetengah pihak.
“Sudah tiga kali sambung, orang pun dah tak suka dengan saya.
“Rafizi (Ramli) tak suka dengan saya, dia kata jangan sambung (kontrak) Azam Baki dan sebagainya.
“Insya-Allah mungkin tahun depan saya akan tamatkan perkhidmatan,” katanya.
Berdasarkan kenyataan itu, secara khusus Azam menyebut faktor Rafizi tidak suka dengannya sebagai alasan utama beliau enggan menyambung kontraknya lagi.
Ertinya, kritikan Rafizi selama ini memberi kesan kepada jiwa Azam, walaupun beliau tahu Anwar amat sayang kepadanya.
Jika Anwar tidak sayang, tentulah tidak mungkin kontraknya disambung sebanyak tiga kali.
Berdasarkan sayang Anwar kepada Azam itu, banyak pihak sebelum ini berpendapat tidak mustahil jika kontrak Azam disambung lagi buat kali keempat apabila ia tamat pada 12 Mei tahun depan.
Tetapi, dengan Azam sendiri ingin berhenti dan enggan kontraknya disambung lagi, maka boleh dianggap mustahillah Anwar akan menyambungnya.
Lagi pun, setelah tiga kali disambung kontraknya, biarkanlah Azam berehat dengan pencennya sambil membuka ruang kepada orang lain menerajui agensi tersebut.
Apa pun, dengan keinginan Azam untuk berhenti dan menjadikan alasan Rafizi tidak suka kepadanya sebagai alasan utama, ini boleh dikira suatu kejayaan buat bekas Timbalan Presiden PKR itu.
Jarang kritikan orang di luar kerajaan dijadikan alasan untuk seseorang ingin berhenti, walaupun diketahui Perdana Menteri sendiri begitu sayang kepadanya.
Keadaan ini boleh disimpulkan suara Rafizi ada kesan yang besar kepada mereka yang sedang memiliki kuasa.
Walaupun Rafizi sebenarnya memang tidak suka kepada Azam sejak zaman PH bergelar pembangkang lagi, tetapi sebagai pemimpin nombor dua dalam PKR ketika itu, beliau difahami mempunyai pilihan yang terhad untuk menyaingi sayang Anwar kepada KP SRRM itu.
Sebab itu, ada bagusnya juga bila Rafizi “dikerat” dan tidak lagi berada dalam kabinet kerana beliau lebih bebas bersuara dan memberi pandangan demi kebaikan negara.
Dan pandangannya mengenai Azam terbukti berkesan sehingga Azam sendiri akhirnya memilih tidak mahu kontraknya disambung lagi. – ShahbudinHusin 11Disember2025.
https://shahbudindotcom.net/2025/12/azam-baki-tak-mahu-disambung-lagi-suatu-kejayaan-buat-rafizi/
No comments:
Post a Comment