Malaysia Sumbang RM500 Kepada Pelajar Indonesia Terkesan Bencana – PMO

 


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru di Johor Bahru pada 11 Disember 2025. Foto PMO

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Kerajaan Malaysia akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM500 setiap seorang sebagai bantuan permulaan kepada pelajar Indonesia yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi Malaysia dan terkesan akibat bencana banjir di Aceh dan Sumatera Utara.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi satu kenyataan hari ini berkata, pemberian itu sebagai tanda ihsan dan persahabatan antara dua negara jiran yang berkongsi hubungan kekeluargaan.

“Malaysia menzahirkan rasa simpati dan dukacita kepada Kerajaan Indonesia dan seluruh rakyatnya atas bencana yang menimpa Aceh dan Sumatera Utara, dan bersolidariti bersama saudara kita yang sedang melalui detik sukar ini,” katanya.

Tambahnya, pelajar Indonesia di Malaysia yang terkesan boleh mendaftar dengan institusi pengajian masing-masing bagi membolehkan bantuan diselaras dan disalurkan mengikut keperluan mereka.

Ikhtiar Kerajaan MADANI itu susulan bencana banjir dan tanah runtuh yang mengorbankan lebih 1,000 mangsa di wilayah Aceh dan Sumatera Utara pada 7 Disember lalu.



No comments: