OPR: Penurunan 25 Mata Asas Langkah Berhemah, Proaktif – PM Anwar

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah yang diambil oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM itu berpandukan unjuran ekonomi dan inflasi semasa yang teliti. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 9 Jul – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus adalah satu langkah yang berhemah dan proaktif di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global.

Mengulas mengenai keputusan itu di laman Facebook, Perdana Menteri berkata, langkah yang diambil oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM itu berpandukan unjuran ekonomi dan inflasi semasa yang teliti.

“Walaupun sektor eksport berdepan cabaran, kerajaan telah melaksana pelbagai inisiatif sokongan termasuk Skim Jaminan Pembiayaan untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan penerokaan pasaran baharu,” ujar Anwar.

Terdahulu, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM hari ini mengambil keputusan untuk mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.

Kali terakhir BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus adalah pada Mac 2023 sebelum ia menaikkan kadar itu kepada tiga peratus pada Mei 2023.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata reformasi di bawah Ekonomi MADANI terus mengukuhkan daya tahan negara apabila kadar inflasi sehingga Mei 2025 turun ke 1.2 peratus, terendah dalam 51 bulan, malah kadar penyertaan tenaga buruh pula mencecah rekod 70.8 peratus.

“Kita mesti terus mara dalam reformasi merencana masa depan negara kerana di sebalik cabaran, ada ruang untuk maju disandarkan tatakelola lebih baik, inovasi berani dan semangat juang yang utuh,” kata beliau.




No comments: